Jumaat dan Uncle Roti
Entah bila bunyi hon roti menjadi sesuatu yang diperhatikan kalau pulang ke KL. Barangkali selepas catatan rakan dan foto yang merakamkan motor Uncle Roti yang perlu diberhentikan operasinya ketika hujan.
Begini catatan saya tentang Jumaat dan Uncle Roti semalam;
"Semalam ketika saya sampai, jam sudah masuk pukul 9 malam. Saya dengar hon uncle roti. Tetapi saya sibuk masukkan kereta ke garage. Dalam hati memang nak beli. Terlepas bila uncle roti laju je pergi.
Pagi ni, uncle roti parking depan rumah. Tawakal tinggalkan motor dan roti-rotinya bergerak ke masjid. Entah untuk singgah membuang air, solat dhuha atau sekadar menyegarkan wajah dengan air masjid.
Saya menunggu beliau sabar di depan rumah. Sehingga dapat memberi makan kucing-kucing jalanan yang takut mendekati.
Ketika uncle roti sedang mahu bergerak, saya berjalan mendekati beliau. Di wajahnya ada senyum, ikhlas masuk ke sukma.
Hari Jumaat ini, saya membeli bermacam-macam di motor rotinya yang masih sarat walau jam sudah menunjukkan jam 11 pagi.
Survival peniaga mobile seperti ini begitu kuat di mata saya. Pagi petang dan malam, tiada titik noktah dalam berusaha.
Mungkin di hati dia puas untuk bekerja, selagi tenaga kuat, kesihatan mengizinkan, walau tiada jaminan jumlah yang akan beliau perolehi setiap hari.
Jumaat selalu indah bagi mata-mata dan hati-hati yang mahu melihat. Salam Jumaat semua, doakan ibadah kita semua diterima meski dengan membeli di motor uncle roti."
Saya tahu Uncle Roti seorang India, cuma kebelakangan baru mendapat maklum beliau sudah masuk Islam. Selepas itu baru saya tidak ada rasa prejedis membeli dari motor Uncle Roti. Ya, dalam beberapa kecil walaupun kita mengaku kita bukan, kadangkala kita juga amalkan rasis atau sekurang-kurangnya bias kepada bangsa ataupun warna kulit.
Barangkali kita perlu menukar cara pandang dan tindakan. Walaupun kita perlukan sedikit persamaan, dalam kes ini sesama agama, baru menjadikan saya lapang dada untuk membeli. Sudah sampai masanya kita perhatikan tentang garis pemisah itu antara yang tertindas dan pelaku zalim. Peniaga-peniaga mobile seperti Uncle Roti sedar tak sedar sedang ditindas dengan kapitalis, dan kita sebagai pengguna yang merasakan membeli di hypermarket extra super cool berbanding membantu peniaga-peniaga kecil.
Mak kemudian bercerita, "Uncle Roti tu, setiap Jumaat dia akan bersedekah di Masjid."
Subhanallah.
Comments