Man Bi To Hicham

Without YOU, I'm nothing

Aku sudah bisa tersenyum dan hidupku penuh makna. Sungguh nikmat tidak terjangka untuk mempelajari tentang hidup dan hakikatnya dari seorang yang sangat muda.

Hati emas mana yang Dia kurniakan padanya?

Sahabat muda saya itu, muda sangat usianya. Tetapi ketrampilannya memukau. Dia tidak pernah mahukan gemerlapan podium untuk berpidato, undi untuk mengetuai perwakilan pelajar dan meraih perhatian, atau memerlukan apa-apa dana untuk melakukan apa-apa kebaikan dan kebaikan. Dia hanya berbekalkan hati yang mahu, percaya, percaya diri, buat apa sahaja selagi apa daya, usia bukan penghalang, muda bukan untuk dibazirkan. Orang tidak bercerita tentang usahanya pun tidak mengapa. Dia melangkah keluar dengan berani, seorang pun tidak mengapa, kerana yang akan menemani adalah yang Pertama, DIA. Idea baginya bukan apa-apa kalau kita tidak berani bertindak.

Saya sehingga sekarang masih terdiam, dan berfikir. Kerdil sangat semangat yang saya kumpulkan ini. Tidak berbekas pun dengan semangat yang ada dalam dada sahabat muda.

Kata dia, "di hari akhir nanti, Tuhan tidak akan bertanya tentang gred peperiksaan, tetapi apa yang kita lakukan."

Ayat akhir itu memukul benak seperti bunyi gong yang bergema tidak hilang. Berkali-kali dan bergaung-gaung.

"Saya tidak kisah tentang gred, tetapi saya peduli tentang kelebihan yang ada tetapi tidak dikongsi dengan yang lebih memerlukan."

Bunyi gong yang kedua memukul.

Dengan kesibukan kuliah, projek, tugasan dan peperiksaan, dia tetap melangkah ke rumah anak-anak yatim guna untuk memberi anak-anak kesayangan Nabi senyum dan harapan, bahawa masih ada yang sayang, masih ada yang peduli.

Saya memejam mata. Berfikir tentang diri. Di usia ini, hati keluli saya melebur di kawah api semangat anak muda yang sudah faham tentang hakikat. Makrifat telah terbuka di depan matanya, dia percaya ilmu itu hanya berkesan dengan amal.

Man Bi To Hicham, Without YOU I'm nothing. Saya berdoa Tuhan juga akan memandu saya seperti dia, sahabat muda saya. Saya berdoa agar Allah akan memudahkan segala urusan dia, dunia dan akhirat. Semoga Allah memelihara kami dan memperkuatkan langkah kami di jalan yang kami pilih ini.

Man Bi To Hicham.




Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK