Cintai Ilmu

Dalam beberapa minggu ini, ada perkara yang bermain di minda. Ada keputusan yang perlu dibuat tetapi masih bertangguh.

Saya berfikir adakah dengan membuat apa yang kita suka akan dapat menyelamatkan dunia? Cita-cita yang sangat besar, mungkin boleh disama tarafkan dengan Mat Jenin.

Hari ini saya bertuah apabila dapat mendengar langsung kuliah orang yang saya hormati, Prof Al Mahdi dicapaian ini. Saya mencadangkan untuk pembaca membaca tiga jilid buku Unified Theory of Existence, karangan Prof sebelum mengikuti kuliah beliau untuk pemahaman.

Sewaktu Prof memulakan kuliah ini, kemudian baharu dimuatnaik di dalam YouTube, Prof sudah faham dengan kondisi kesihatan beliau. Beliau menjangkakan mempunyai beberapa tahun lagi untuk menyempurnakan teori Law of Learning tetapi vonis penyakit kanser yang sudah mencapai tahap terminal telah menyebabkan Prof membuat rancangan lain. Beliau berusaha keras untuk menyiapkan kerja-kerja yang telah berlangsung lebih 30 tahun untuk kemudian nanti dapat digunakan oleh generasi penerusnya.

Dalam video yang sama, beliau secara sedar membayangkan hasil dari perkongsian ini dapat digunakan oleh lebih ramai orang di luar sana. Supaya manfaat dari kerja keras beliau, dipanjangkan. Meski masa depan itu secara pasti, beliau sudah berkalang tanah.

Ada beberapa pernyataan yang Prof sebut, memberikan saya kesedaran dan tanda (hint) untuk memecahkan kebuntuan kepada permasalahan. Beliau saya lihat adalah seorang manusia merdeka. Kehidupan awal yang begitu besar cabaran, tetapi akhirnya menjumpai Islam sebagai jawapan kepada pencarian beliau selama ini. Ketundukan beliau kepada Allah bukan pura-pura, bukan main-main, tetapi penuh (total submission). Itu telah menyebabkan Prof secara sedar kelebihan intelek yang dikurniakan Allah, perlu digunakan sepenuhnya untuk jalan Islam. 

Saya kagum kepada mereka yang percaya, yang faham, bahawa tidak ada perniagaan dan pelaburan yang lebih baik, selain melabur di jalanNya. Menyerah seluruh kehidupan kepada jaminan Yang Memberi Hidup itu sendiri.

Saya yakin bahawa Prof sepenuhnya faham, harta yang lebih berguna yang kita kumpul dan simpan, ialah ilmu yang kita sampaikan dan kongsi. Lebih luas perkongsiannya, lebih banyak yang terhimpun di pembendaharaan untuk ditimbang di hari akhirat kelak.

Semoga saya memahami semua ini, inshaAllah. 




Comments

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?