Jangan Sampai Terlepas Peluang
Dua hari ini saya perlu
berbengkel sampai malam. Dari pagi sehingga ke jam 10.30 malam. Seperti
kerja-kerja yang perlu dipanjangkan masanya, saya tidak pernah menyukainya,
siapa akan suka pun?
Tapi dua hari ini bawa saya untuk
menilai diri, ada memori yang perlu saya putar kembali. Saya akan ceritakan
sepanjang penulisan ini.
Ada banyak perkara yang saya
tidak berbangga dengan diri sendiri, dan salah satunya apa yang diperolehi
dalam bengkel sampai ke malam yang baharu sahaja sudah sebentar tadi.
Guru yang datang untuk mengajari
adalah guru lama saya. Yang saya kenali beliau ketika saya masih berusia
belasan tahun. Saya percaya, dia selalu menyokong perkembangan profession
dengan sokongan yang begitu teguh, cuma saya tidak pernah benar bersungguh menghargai
dia. Yang dia kenali nama saya, dan kekal mengingat walau sudah begitu jauh
masa menjarakkan. Sewaktu saya bergelar pelajar, dan beliau sebagai pensyarah.
Saya sudah katakan, ada beberapa
perkara yang saya tidak berbangga dengan diri sendiri, malah menyesali, ini salah
satu darinya.
Semalam ketika beliau memulakan
ucapan, katanya, “pihak pengurusan telah meluluskan cuti separuh gaji saya, dan
jika tidak ada aral melintang, saya akan bersara seawal bulan Julai.”
Saya memandang beliau dengan mata
tidak berkerdip. Pensyarah saya ini rupanya sudah sampai ke penghujung karier,
walau saya selalu menganggap beliau tidak akan meninggalkan kami. Tidak untuk
masa terdekat ini. Serentak itu, saya melihat garis-garis usia yang telah
berkesan di wajah, di kulit, dan warna-warna putih yang semakin bersemarak di rambut.
Beliau yang saya kenali sangat berusaha, tidak pernah menolak cabaran, selalu
bersungguh, sentiasa mementingkan kebajikan dan untuk kebaikkan pelajar, akan
mula bercuti untuk persaraan. Saya lupa,
saya bukan lagi pelajar beliau. Sudah lama jarak yang memisahkan. Meski
sekarang, saya tetap merasakan beliau muda kerana tenaga yang tidak pernah
habis.
Cerita 1
Pertama kali saya bertemu beliau,
ketika di kelas matematik. Beliau sebenarnya mengajar peringkat lebih tinggi,
tetapi menyanggupi mengajar level rendah kerana mahu memberi pelajaran
peringkat asas dengan kukuh. Kata beliau, “saya melihat pelajar senior yang
tidak dapat menguasai matematik dengan baik, jadi saya tawarkan diri untuk
mengajar awak semua.” Itu cerita ketika belasan tahun.
Cerita 2
Ketika saya perlu menghabiskan projek
akhir, saya sangat buntu. Supervisor sangat garang. Ada banyak perkara yang
asas yang masih tidak faham, tetapi jika saya mengambil langkah untuk berjumpa
Supervisor, itu adalah langkah yang tidak bijak. Saya dan rakan berjumpa
pensyarah kami ini, duduk berhadapan dan memohon pertolongan agar dapat
mengajari kami. Kata beliau, “kenapa tidak berjumpa sahaja Supervisor awak?
Supervisor awak kan seorang Profesor?” Kami tunduk. Ya, tidak sewajarnya
tindakan itu, tapi tidak ada jalan keluar yang lain. Kami perlu menadah ilmu,
supaya projek berjalan mengikut waktunya. Tetapi pensyarah ini, satu dalam
sejuta. Meski beliau berkata demikian, beliau tetap mengajar kami satu persatu
dengan sabar. Dan ilmu yang kami dapat dalam beberapa detik waktu itu, adalah
penyumbang terbesar dalam melengkapkan projek tahun akhir yang begitu mencekik
perasaan, tenaga, waktu, dan otak. Itu cerita di tahun akhir.
Cerita 3
Ketika saya baru mendapat kerja
di Pahang, tahun 2001. Saya masih ingat lagi. Ada peristiwa besar berlaku di
fakulti kami. Supervisor saya kemalangan yang menyebabkan beliau kehilangan
darah yang banyak. Antara usaha yang boleh dilakukan ialah untuk menderma
darah. Pensyarah ini jugalah yang menghantar mesej pesanan ringkas, dua tiga
kali memaklumkan tentang kemalangan, kemudian tentang keperluan untuk menderma
darah, kemudian yang akhirnya, memaklumkan tentang pemergian supervisor ke
tanah abadi. Dalam keadaan begitu mencemaskan, beliau masih ingat saya adalah
anak murid kepada supervisor. Betapa beliau rasa berkewajipan untuk memberitahu
hal ini kepada saya, terus masuk ke dalam telefon bimbit, sedang belum sepekan
saya menanggalkan gelar sebagai seorang pelajar. Itu cerita di awal masuk
kerja.
Cerita 4
Ketika belum pun usia
perkhidmatan masuk satu tahun, pensyarah ini jugalah yang menawarkan diri untuk
datang ke Pahang. Saya juga hairan kenapa beliau begitu bersungguh. Rupanya
beliau samada risau tentang pelajar saya, atau risau pada saya (?) yang masih
sangat amatur. Dua hari suntuk waktu yang diperuntukkan untuk pelajar saya
menadah ilmu dari guru yang sangat berpengalaman dalam bidang. Semua yang
diterangkan untuk dua hari tersebut mengukuhkan lagi kefahaman, malah menampung
kekurangan saya yang banyak ketika saya sendiri mengajar dalam kelas. Lebih
mengharukan, beliau bergerak dari Shah Alam selepas jam 12 malam, sampai di
Jengka jam 2-3 pagi saya tidak ingat, dan keesokkan hari jam 8 pagi kelas tambahan
pun dimulakan.
Cerita 5
Makmal kami masih belum sempurna.
Saya perlu membawa pelajar ke Shah Alam untuk latihan amali mereka. Selama dua
hari mereka akan berkampung di makmal, untuk menyudahi semua latihan amali yang
diperlukan. Saya datang menjadi pegawai pengiring sahaja, selebihnya staf Shah
Alam akan menguruskannya. Ya, sekali lagi, yang menjadi tulang belakang untuk
semua ini tetaplah pensyarah saya yang sangat berbudi ini. Malang waktu itu,
saya tidak mempunyai kenderaan. Tempat tinggal saya dan pelajar berjauhan. Yang
membawa kami bas panjang. Waktu malam masih perlu saya bergerak ke fakulti
kerana ada program. Adalah sangat tidak logik untuk sebuah bas mengambil saya
dan seorang rakan lagi. Cuba teka apa yang berlaku? Ya, baik anda semua memang
bijaksana laksana ahli hikmah. Pensyarah yang banyak budi pada saya inilah yang
mengambil dan menghantar kami pulang walau waktu sudah lewat malam.
Saya mahu ingatkan berkali-kali
dalam diri, bahawa seharusnya pelajarlah yang berbudi kepada guru, bukan
sebaliknya.
Cerita 6
Dalam tempoh yang panjang ini,
masih banyak lagi yang beliau telah curahkan ilmu tanpa lokek untuk saya, malah
saya percaya untuk semua pelajar yang pernah menadah ilmu dengan beliau. Tetapi
percaya tidak, saya tidak benar bersungguh menghargai dan adakalanya saya
membuat perkara yang tidak patut.
*********************************************************************************
Saya manusia biasa. Kadangkala
boleh jadi kita tidak nampak kebaikkan yang melimpah, kerana mata disibukkan
dengan perkara lain yang lebih berkilau dan memukau. Saya manusia biasa, yang kadangkala
tidak dapat merasa, perhatian dan ambil berat, kerana mungkin ada yang merasuk
dan meracun otak dan fikiran.
Di kala saya menulis dan
berkempen tentang akhlak murid dan guru, saya lupa, saya juga telah
melanggarnya. Dua hari bengkel sampai ke malam membuat saya ingat kembali.
Tadi mungkin kali terakhir
berjumpa, mungkin Allah menakdirkan persimpangan lain yang membolehkan kami
berjumpa kembali.
Sebelum bergerak ke tempat
bengkel jam 8 malam tadi, otak saya ligat berfikir. Semasa Supervisor saya
ditahan dalam hospital akibat dari kemalangan, meski saya sudah dimaklumkan
Prof memerlukan sumbangan darah, saya masih berlengah. Sehinggalah Prof menghembuskan
nafas terakhir. Kemudian selepas itu saya menyedari bahawa darah saya
berpadanan, tetapi untuk peluang berbakti itu saya terlepas kerana
berlambat-lambat.
Saya tidak sempat untuk membeli
apa-apa. Dalam hati dan fikiran berasak-asak pesanan, “jangan sampai lepas
peluang untuk kau tunjukkan, betapa benar kau hargai dia.”
Saya merangka untuk mengimbas
kembali Cerita 1 hingga 6 di atas, mungkin dengan suara dan susunan ayat yang
melonkolik. Sekiranya saya berpeluang untuk bersembang dengan beliau (walau
sehingga sekarang rasa segan terhadap guru sangat tinggi). Saya lupa bahawa
kebanyakkan rakan di bidang ini bukanlah orang romantik, jadi ayat melankolik
tentulah menyebukan perut dan mengembangkan tekak. Walau itulah hadiah paling
baik saya dapat tunjukkan. Kerana saya mahu beliau tahu, saya mengingat setiap
jasa yang ditaburkan, tidak luput dalam gen dan pembuluh darah. Walau sebelum
ini saya lupa dan buat tidak peduli, dua hari sampai ke malam ini, bagai
filem-filem lama menyerbu fikiran saya.
Bermaksud, semuanya tersimpan dalam
memori gen dan pembuluh darah. Ia cuma tidak diulang dipermukaan minda dan
ditunjukkan dengan tindakan. Walau saya masih akan mengaku salah yang ini.
Saya tidak punya harta yang
banyak, yang disimpan di rumah. Cuma otak mengingatkan kepada Al Quran kecil
yang saya simpan untuk kenangan balik dari umrah tahun 2007 yang lalu. Itulah
satu-satunya harta yang akan dapat menyangkut memori kembali ke 2007, dan kebetulan
Al Quran itu pula elok simpannya dalam kotak. Dengan maksud, ia tidak terdedah
kepada habuk dan pencemaran lain.
Walau hati saya bergetar untuk
berpisah dengan harta saya yang satu itu, ada suara lain memujuk, “jika mahu
memberi, memberilah yang paling baik dan paling kita sayang.”
Berat. Tetapi lagi berat bila
memikirkan, jika saya terlepas peluang yang satu ini untuk menunjukkan begitu
besar penghargaan saya pada jasa-jasa beliau yang tidak terbalaskan.
Saya pun mencari beg kertas yang
elok untuk mengisi Al Quran, dan beberapa cenderahati lain yang masih dalam
simpanan balik dari Haji yang lalu.
TIdak banyak, tetapi semua itu
pun item yang mempunyai tempat di hati.
********************************************************************************
Pensyarah saya masih lagi di
kerusi, ketika saya memohon izin mengundur diri. Alangkah bagusnya kalau saya
menunggu dan mengiring beliau ke kereta. Sebelum beliau berangkat balik ke Shah
Alam pada malam ini juga dengan memandu sendiri, sendirian. Beliau masih
ditempatnya, seperti di paku, menunggu rakan-rakan lain yang kelewatan
menghabiskan kerja. Saya sangat pasti, kalau saya berada di tempat beliau, saya
tidak akan menunggu mereka yang lewat. Saya akan sudahi kerja tepat pada waktu
dan tidak peduli lagi pada yang lain. Tetapi pensyarah ini istimewa, itulah
dia, orang yang sama sejak saya kenali seusia belasan tahun.
Sangat fokus, dedikasi,
bersungguh-sungguh, dan tidak kisah berkorban ke titisan keringat terakhir.
Jangan bayangkan bukan-bukan,
saya tidak sempat pun mengulang cerita yang saya simpan pada beliau. Ia hanya
berkitar di memori sahaja, bising di situ tetapi tidak keluar bila berada di
hadapan beliau.
Saya lihat beliau, yang sudah
punya banyak garis di wajah. Saya lihat jarinya yang sedikit cacat kerana
kemalangan di ketuk mesin penghentak ketika bekerja. Itu dedikasi, itu tanda
pengorbanan yang dilakukan untuk anak bangsa.
Saya menyerahkan cenderahati di
hadapannya, “saya balik dulu. Selamat bersara. Terima kasih kerana terlalu
banyak mengajari saya, curahkan ilmu. Dan halalkan semua ilmu yang dikongsi dan
diajari.”
Pensyarah saya senyum. Dan tanya “apa
ini?”
“Saya tidak tahu hadiah apa yang
selayaknya diberi. Tetapi semua ini kenangan yang saya simpan pulang dari
Makkah.”
Ya, sampai waktu tertutup pun,
beliau tidak akan tahu apa cerita di sebalik cenderahati yang Allah hadiahkan
padanya.
Seperti mana, penghargaan saya
pada beliau begitu tertutup sebelum ini, saya bersyukur tidak terlepas peluang
kali ini.
Dia memandang saya kembali dengan
senyum, saya mahu sahaja kata, “saya akan buat tuan berbangga dengan
pengorbanan yang dibuat, kerana saya akan terus bersungguh-sungguh dalam
lapangan apa yang diceburi, demi penghormatan kepada guru-guru yang tanpa lelah
membentuk diri saya.” Tetapi melankolik tidak diperlukan di sini.
Kata beliau tanpa penghayatan
saya kira, “insyaAllah kita akan jumpa lagi.” Begitu lurus bunyinya. Saya
menerima dengan senyum juga.
Saya bersalah dalam banyak hal
demi guru saya yang seorang ini. Namun, saya tidak punya alasan untuk mengelak
dari menyatakan syukur sebanyak-banyaknya, kerana, saya tidak terlepas peluang.
Saya rasa semua hadiah itu Allah
peliharakan khas untuk beliau.
Saya doakan beliau dikurniakan
sakinah, mawaddah dan rahmat. Juga sepenuh penjagaan dan kasih sayang Tuhan.
Selamat berehat dan bercuti, PM Abd Rahman Mahmood.
Comments