Memori
Barangkali perkara yang paling membahagiakan dan mengundang derita hanya terletak di satu tempat yang sama. Anis menimbangkan perkara ini ketika dia memutarkan lagu Terlalu Cinta. Serentak dengan suara Rossa berkumandang, semua memori bersama Shafiq saling bertayangan dalam kotak fikirannya.
Anis masih ingat bila pertama kali Shafiq menawarkan untuk belajar menaiki motor bersama. Pada waktu itu perasaan bercampur antara mahu dan takut. Tetapi melihat Shafiq begitu bersungguh dan berjanji, "jangan takut, Shafiq duduk belakang dan akan jaga jangan sampai jatuh," Anis memberanikan diri.
Waktu itu matahari sudah pun perlahan-lahan mahu terbenam, kenderaan sudah tidak banyak lalu lalang di taman perumahan itu. Ketika itulah Anis memegang pemegang motor, masuk gear pertama dan memulas minyak dengan perlahan-lahan dan takut-takut. Syafiq di belakang hanya senyum dan hanya tergelak kerana Anis begitu canggung.
Langit semakin menjingga, tetapi Syafiq masih sabar duduk di belakang dan menunjuk jalan. Beberapa kali Syafiq mengusulkan untuk menukar gear, tetapi Anis hanya mahu kekal di gear satu. Ketika melalui di hadapan tokong Cina yang sangat besar dan dihujungnya jalan mati, Anis berhentikan motor. Anis membebaskan gear, memandang Syafiq dan mengajak balik. Hampir sahaja Anis memutar kunci motor supaya enjin terus berhenti.
Syafiq tergelak kerana tahu Anis begitu takut untuk membuat pusingan ketika motor sedang berjalan. Dengan menggunakan kaki, Anis berusaha menolak motor untuk berpusing ke belakang.
"Boleh tak Syafiq turun sekejap, beratlah nak pusing."
"Boleh je pusing sambil enjin motor ni masih hidup. Kawal minyak, brek dengan handle motor perlahan-lahan."
Anis menolak. Serentak dengan itu Syafiq yang masih duduk di belakang, menghulurkan kedua-dua tangan mencapai handle dan membantu Anis memusingkan motor. Anis berdebar. Kedua-dua mereka tergelak dan Syafiq mengambil kesempatan untuk mengusik, "takut sangatlah!"
"Sukalah, pertama kali mestilah takut naik motor ni," begitu Anis membalas tidak mahu kalah.
Lamunan Anis hilang bila lagu Rossa selesai. Ada air mata di hujung mata. Anis mengusapnya dengan penuh hiba. Kenangan itu mengundang tawa dan tangis sekaligus. Fikir Anis, jika manusia tidak punya memori barangkali manusia tidak perlu rasa begitu terusik dan menderita.
Anis masih ingat dua minggu sebelum Syafiq pergi, Anis meminta dia untuk membeli sate untuk makan malam. Syafiq menolak, "Makju ni, kita ni dah banyak makan, penuh dah perut ni," sambil mengusap perut yang semangat dengan kedua-dua belah tangannya. Anis tahu anak buah yang berusia 17 tahun itu sedang berseloroh. Sedang Syafiq tidak pernah menolak makanan. Sepantas itu juga Syafiq mengambil duit dan terus keluar membeli makanan-makanan yang dipesan Anis di pasar malam. Syafiq tidak pernah menghampakan kalau disuruh untuk itu dan ini.
Dua minggu selepas makan malam yang penuh gelak ketawa bersama Syafiq, Ummi dan adik, Anis diberitakan dengan khabar tidak baik. Syafiq kemalangan dengan lori hantu pembinaan dan dia tewas di tempat kejadian.
Ketika sampai di halaman rumah, Anis hanya sempat melihat wajah Syafiq yang putih dengan seragam putih terakhir yang baru. Kata adik yang membantu memandikan jenazah, perutnya kelihatan lebih besar akibat dari kemalangan itu.
Anis memandang perut Syafiq yang sudah berbalut kain kapan. Dia masih ingat bagaimana Syafiq menggayakan penuh lucu yang dia sudah terlalu kenyang. Hari ini tangannya berada di perut itu dengan posisi qiam, posisi yang terakhir. Hari itu dan untuk hari-hari seterusnya, Syafiq tidak akan dapat makan lagi.
Anis mengalih perhatian ke skrin komputer. Anis tidak mahu mengingat lagi. Kenangan boleh jadi memberikan bahagia, kadangkala menyeksa nubarinya yang halus.
Di skrin Anis membaca status rakan di Facebook, "dalam kitabnya Zadul Ma'ad Allamah Al Majlisi berkata: Hendaknya yang hidup tidak melupakan orang yang telah meninggal, kerana mereka sangat terbatas memperoleh amal yang baik. Mereka mengharap dan mengintip kebaikkan dari anak-anaknya, kerabat dan saudara-saudaranya yang beriman. Khususnya doa-doa mereka dalam solat-solat malam mereka, sesudah solat-solat fardhu dan doa-doa di kuburan."
Anis beristighfar. Dia sudah salah menyalahkan memori. Memori bukan setakat dapat mengembalikan ke masa lalu yang bahagia dan derita, tetapi dengan memorilah kerabat terdekat dapat memanjangkan sedekah dan hadiah kepada mereka yang sudah berpindah alam.
Anis mengingatkan dirinya yang bahagia di atas motor bersama Syafiq. Anis masih ingat senyum dan tawa anak buah terunanya yang manis dan penurut kata. Anis masih teringat langit senja yang merah, angin yang menerpa ketika motor bergerak dengan perlahan. Dengan rasa bahagia itu, Anis memejam mata dan membacakan surah Al Fatihah sebanyak-banyaknya.
Anis beristighfar. Dia sudah salah menyalahkan memori. Memori bukan setakat dapat mengembalikan ke masa lalu yang bahagia dan derita, tetapi dengan memorilah kerabat terdekat dapat memanjangkan sedekah dan hadiah kepada mereka yang sudah berpindah alam.
Anis mengingatkan dirinya yang bahagia di atas motor bersama Syafiq. Anis masih ingat senyum dan tawa anak buah terunanya yang manis dan penurut kata. Anis masih teringat langit senja yang merah, angin yang menerpa ketika motor bergerak dengan perlahan. Dengan rasa bahagia itu, Anis memejam mata dan membacakan surah Al Fatihah sebanyak-banyaknya.
Comments