Hidup ini Pengorbanan
Perkataan korban itu, tidak semua orang suka dengar. Barangkali orang membayangkan banyak perkara perlu ditinggalkan atau dikesampingkan jika kita perlu melakukannya. Ada iringi bunyi syahdu dan sayu, ada bayangan kesusahan dan kepayahan, ada yang merasa mereka akan kerugian.
Stop membayangkan itu semua. Kerana hakikatnya puncak yang diterima hasil dari pengorbanan ialah gembira, ketenangan dan kepuasan, rasa bahagia.
Orang yang tidak pernah memikirkan satu detik pun dalam hidupnya untuk berkorban, saya anggap seperti manusia yang tidak tahu berterima kasih. Jika hari ini kita dapat menghirup udara hari yang baru, jantung kita masih mengepam darah ke seluruh saluran pembuluh darah, bermaksud kita telah hidup dari pengorbanan orang paling berjasa dalam 'hidup' kita, iaitu ibu yang bersusah payah melahirkan.
Pengorbanan yang ibu kita lakukan ialah dengan menahan kesakitan yang maha dahsyat ketika proses kelahiran itu sendiri, penat dan lesu ketika mengandungkan beban 2-3 kg di perut tanpa boleh diletakkan walau seketika sepanjang tempoh 9 bulan, selera yang berubah-rubah, emosi yang bercelaru sehingga mengundang tidak tenang dalam hati.
Tetapi apabila mendengar bunyi suara bayi yang menangis pertama kali dia menghirup nafasnya di dunia, ibu kita telah melupakan semuanya kerana yang masuk dalam dada ibu ialah bahagia dan kasih sayang.
Itu puncak pengorbanan, Allah beri hadiah dalam bentuk ketenangan jiwa dan rasa cinta. Semua itu bisa menyebabkan sang ibu melupakan segala hal yang menyusahkan hatinya ketika mengandung. Ini contoh dekat. Walau dekat, saya menganggapnya besar dan hebat. Bukan calang-calang orang yang Allah beri kelebihan menjadi seorang ibu.
Pagi tadi saya dikejutkan dengan cerita seorang rakan yang begitu besar hatinya yang sanggup mengorbankan pekerjaan, untuk cuti separuh gaji demi menjaga ibu bapa yang sudah tua. Ada sebak dalam dada saya, penuh memenuhi ruang. Entah, andai, akankah saya sanggup berjuang seperti itu jika tiba waktunya?
Ramai orang menyangka bahawa pengorbanan itu hanya dilakukan orang-orang penting dalam buku sejarah. Atau buku tokoh negarawan dan dalam arkib negara. Hanya mereka yang tercatat dan disebut-sebut sahaja layak melakukan pengorbanan. Ramai tidak pernah tahu, lebih ramai orang-orang kerdil melakukan pengorbanan, tetapi tidak diceritakan sana-sini.
Setiap dari kita punya peluang untuk berkorban. Kita yang kecil tidak signifikan ini pun, saya percaya tetap signifikan di pandangan Tuhan. Mungkin tidak terlalu berlebihan kalau saya mengatakan bahawa nadi agama, roh kemanusiaan itu sendiri ialah korban. Jika setinggi manapun kedudukan kita, jika konsep penting ini tidak dapat kita hayati, barangkali kita perlu mendefinisi semula apa-apa yang telah kita yakini sebelum ini.
Kenapa? Jalur sejarah yang saya kutip dari kisah-kisah para Nabi sangat sentral pada hal ini.
Ada yang begitu mewah dan diberi kesenangan dalam harta dan wang ringgit, sehingga melimpah-limpah dan tidak putus, tetapi begitu langkahnya berhenti apabila ada orang mengingatkan tentang ibadah umrah dan haji.
Ada yang mempunyai kapasiti intelektual begitu tinggi, yang boleh mencerna perkataan-perkataan asing yang tidak pernah didengar di telinga, memetik hujah-hujah bangsawan intelektual seperti Aristotle, Plato, Socrates, Al Farabi, Ibn Arabi, Edward Said segala bagai, apabila ada yang mengajak mereka untuk mengajar adik-adik A,B,C sehingga mereka boleh membaca, mereka jadi begitu berkira-kira.
Ada yang mempunyai badan perkasa, boleh mengangkat beban dalam gymnasium berpuluh-puluh kilo dan berulang-ulang. Betapa melihat ranting kecil di atas jalan yang menghalang perjalanan orang, atau sampah di tepi jalan, boleh terus dipejamkan mata seolah tidak melihat apa-apa.
Saya tidak tahu kritikan di atas betul atau salah. Barangkali ada masa saya salah menilai dan memberi pertimbangan. Tetapi selalu saya hanya mahu bayangkan Nabi, sejarah Baginda, petunjuk yang Rasulullah tinggalkan.
Sewaktu masjid akan didirikan di Madinah, Nabi juga turut bersama mengangkat bahan binaan di bawah sinar mentari terik dan berpeluh-peluhan. Ketika menggali parit untuk Perang Khandak, dalam keadaan yang sangat melelahkan, di bawah mentari, dengan bekalan makanan yang tidak mencukupi, Nabi berada di dalam parit turut menggali bersama-sama. Ketika berhijrah, Nabi berjalan sehingga sampai ke Madinah entah berapa ratus kilometer jauhnya, demi memastikan kelangsungan Islam, supaya kita hari ini turut dapat merasai nikmatnya mempunyai agama yang benar.
Kalau bukan berkorban, apa namanya? Jika tidak menempuh susah dan payah, meletak tepi kepentingan dan kesenangan diri, apa yang dilakukan Rasulullah sepanjang tempoh kehidupannya yang 63 tahun itu? Bukankah baginda sudah tiba di Sidratul Mumtaha di malam Isra' Mihraj, menemui 'kegembiraan mutlak', tetapi Baginda masih mahu turun ke bumi demi kita ummatnya yang jarang-jarang sekali berterima kasih.
Bukankah yang Nabi lakukan untuk kita adalah bentuk pengorbanan, yang jarang-jarang kita hayati dan ulangi kisahnya?
Saya merasai 'bahagia' yang tidak dapat diterangkan maksudnya, sekiranya dapat melakukan pengorbanan, meski ia hanya satu perbuatan kecil yang pada orang lain bukan apa-apa. Tetapi tetap pada saya, 'bukan apa-apa' itu bukan tertakluk pada penilaian manusia, tetapi penilaian Allah Yang Maha Esa.
Marilah kita dekat dengan Nabi, dengan membuat apa yang Nabi perbuat. Bersama orang-orang kecil, tidur di rumah tanah liat, yang mengasihi anak yatim, yang mengasihi ummat.
Untuk rakan yang bertekad dengan keputusan besarnya menjaga ayah dan ibu, saya doakan 'bahagia' akan masuk dalam sukmanya penuh-penuh, sehingga dia akan merasai kasih sayang Tuhan yang melimpah itu, dari pelbagai sudut dan ruang. Saya berdoa, saya berdoa.
Moga Allah merahmati, moga Allah merahmati kita semua.
Comments