Totto Chan: Gadis di Jendela

Totto Chan adalah kisah waktu kecil seorang gadis kecil yang mempunyai kenakalan tersendiri sehingga dibuang sekolah seawal Gred 1. Peristiwa pahit ini adalah satu rahmat, apabila Totto Chan diterima masuk ke sekolah Tomoe. Paling penting pada peringkat awal, ibu bapa Totto Chan tidak menceritakan kenapa dia perlu berpindah sekolah, sebaliknya tetap menyakinkan gadis kecil itu bahawa peluang itu terbuka dimana-mana. Totto Chan tetap berada dalam keadaan positif, meski hakikat sebenar pahit untuk ditelan.

Sekolah Tomoe adalah utopia pendidikan awal kanak-kanak yang pernah wujud sebelum perang dunia ke II. Model sekolah ini perlu dibaca dengan sepenuh sedar, sekolah seperti ini pernah wujud. Tidak kiralah pada zaman bila. Paling penting untuk memahami novel kecil ini, penuh dengan naratif bersahaja, dengan model-model pendidikan anak-anak diterapkan sepenuh sedar oleh Guru Besar Kobayashi, tetapi ditangani secara alamiah oleh kanak-kanak. Kata kuncinya memahami psikologi kanak-kanak yang sebenar dengan memasukkan alam semulajadi sebagai guru. Memasukkan elemen-elemen realis ke dalam jiwa anak-anak seperti membuat lawatan ke rumah mangsa perang, belajar memasak, menerima setiap orang sebagai individu tidak kira sempurna atau cacat, dan banyak lagi. Termasuk belajar kemahiran bercucuk tanam dengan mengangkat petani mahir sebagai guru.

Pendidikan awal kanak-kanak perlu ditanam dengan ideal-ideal yang terbukti untuk mandiri manusia. dengan maksud ideal yang hakikat bukan temporal. Sebagai contoh, potensi itu ada pada setiap individu sesuai dengan kecenderungan. Membuat anak-anak cintakan ilmu, sekolah dan guru. Model ini sangat penting kerana dengan itu minat belajar akan datang dengan sendirinya. Kanak-kanak itu sendiri akan tahu dan rela diajari, kerana kesedaran sendiri bukan paksaan. Menyediakan persekitaran pembelajaran yang cukup seronok tanpa perlu belanja mewah, cukup sekadar apa yang ada tetapi digunakan secara maksima mungkin. Mengajari bahawa standard itu satu ruang yang akan menyempitkan kreativiti, seperti baju seragam sekolah, duduk di satu tempat tetap, pemaksaan terhadap rutin.

Silibus sekolah rendah perlu digubal sesuai dengan perkembangan psikologi anak-anak yang diambil kira secara purata supaya tiada isu anak-anak keciciran dan ditinggalkan. Pelajaran etika, percaya diri, kemahiran ekspresi, kreativiti, nilai-nilai positif perlu diterapkan dan ini akan membentuk masyarakat secara positif.

Totto Chan dari awal sehingga akhir adalah berkenaan pengalaman, rasa, indera yang diaktifkan, momen-momen kecil tetapi signifikan, keindahan, ceria, warna-warni, kesederhanaan, harapan dan percaya, kemanusiaan, harga diri, respon kepada alam persekitaran dan realisme masa. Tentang anak-anak yang gembira meski dalam keadaan kekurangan, sempit, sukar dan kurang upaya. Di akhirnya menceritakan satu: tiada yang lebih indah dan bermakna, menjadikan seseorang individu itu kaya kecuali dengan pengalaman. Pengalaman yang akan lebih berakar dan mendarah daging ialah dengan mengalami sendiri, bukan dari pembacaan, bukan dari bertukar-tukar pengalaman.

Memandang ke belakang, sekolah rendah yang ditinggalkan, saya tidak ada banyak peristiwa yang dapat diingat kembali kecuali peristiwa-peristiwa penting. Semuanya tentang hari kecemerlangan sekolah. Bukan peristiwa penuh warna dan makna yang dialamai seperti Totto Chan yang menjadikan beliau hebat ketika menjadi dewasa.

28 Ramadhan (tahun lepas), selesai baca Totto-Chan. Saya mendapat resolusi baru. Sekolah utopia Tomoe perlu ada, di Malaysia. Tentu dengan penerapan nilai-nilai budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Saya percaya setiap anak-anak punya potensi berkembang, dengan personaliti dan individualiti tanpa perlu ada tekanan akademik yang keterlaluan. Utopia pendidikan, kami datang!


p/s: terima kasih merindui, semoga Allah membalas kasih sayang itu dengan penuh belas dan rahmat!

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK