Kontradiksi

Kenapa dunia ni nampak makin tak seimbang. Meski banyak sudah rancangan baik di TV, tapi seolah yang buruk pun makin subur sekali.

Sebab kita duduk dalam duality dan kontradiksi sepanjang masa. Kenapa boleh jadi macam ni, sebab apa yang kita cakap tidak sejalan yang kita buat.

Contoh senang, dalam rancangan tanyalah Ustaz atau rancangan motivasi dan agama, seruan untuk elak maksiat, buat perkara sia-sia, hukuman itu dan ini selalu diperingatkan. Tapi selang 30 minit rancangan baik itu selesai, kita dihidangkan dengan paparan imej bersepah maksiat sana sini.

Dalam cerita drama filem, akan dihidangkan kisah samseng, gangster, lendir sebanyak 90% dan selebihnya mungkin 10% atau kurang untuk keinsafan. Jarang sekali kisah perjuangan, amal bakti yang menyuntik semangat sedar dan kemanusiaan.

Banyak rancangan yang selalu menjejerkan teori. Saban tahun pun, kadang berulang setiap hari. Yang berubah mungkin wajah Ustaz Ustazahnya, tetapi pengisian tidak mencapai tahap mengajak orang berhenti sejenak dan berfikir. Apatah lagi bertindak dan bergerak.

Jarang sekali pak ustaz, alim ulamak tunjuk how to. Macamana nak buat. Step by step. Yang susah jadi mudah, yang mudah jadi amalan bersama.

Trend lebih buruk bila mereka menjadi ikon kosumerisme. Mempromosi produk, mengambil untung atas pengaruh.

Ramai orang memang seenaknya bercerita pasal kebaikkan. Tetapi kita tak pasti dalam percakapan itu dijiwai atau tidak. Kerana belum tentu itu yang mereka amal. Retorik yang ditunjukkan kadang-kadang berlebihan. Kata mereka, mereka berfungsi atas jalan memberi nasihat dan pesan. Untuk buat atas pilihan masing-masing.

Sedang Nabi menggali parit. Sedang Nabi membina masjid dengan tangan sendiri. Sedang Nabi sendiri berada dalam medan perang. Sedang Nabi sendiri berpanas untuk berhijrah.

Struktur masyarakat kita dilihat macam sangat rosak. Ada berita yang mak bapa kaki pukul, kaki rogol. Percakapan di rumah semua yang negatif, dan anak-anak diseret untuk menanggung sekali masalah orang dewasa sebelum waktunya. Ini yang berputar, anak-anak ini jadi dewasa, tidak nampak contoh lain dan jalan keluar, dia kembali mengulang 'dosa' ibu bapa.

Kita ada banyak Ustaz Ustazah, tapi tidak cukup ampuh untuk gerakan massa. Berbanding artis, pengaruh mereka lebih cepat diikut, viral pelusuk negara. Kadang menjadi ikutan tanpa sebab musabab yang kukuh. Melainkan ia adalah trend internasional. Seperti tarian oppa gangnam, harlem shake, gyomi. Sia-sia!

Nak senang memang jawapannya ialah, kita perlu contoh tauladan. Bukan contoh percakapan. Qudwah hasanah. Nak senang jawab lagi, kita menunggu ikon yang dijanjikan Tuhan. Bagi yang percaya mereka menunggu Imam Mahdi. Menunggu Isa (Yesus) as. Tapi menunggu kita statik, kita berpuas hati untuk hanya sekadar menunggu. Dalam hati kita memuji-muji mereka sebagai sang penyelamat, kekasih. Meminta mereka datang segera.

Soalnya, beginikah sikap orang menunggu kekasih yang akan tiba?

Contoh tauladan itu bermula dari kita. Tak ramai dikurniakan kelebihan pandai cakap. Tapi semua diberi kekuatan untuk buat kebaikkan walau perbuatan itu sangat mudah. Contoh, kutip sampah yang dilihat depan mata. Contoh, memberi senyum dan salam. Contoh, memberi sedekah dan sebar kebaikkan.

Dari cerita banyak, harap rancangan TV berevolusi. Tunjuk rancangan how to lebih banyak. Ajak ramai-ramai turun untuk kerja-kerja amal.

Kalau berbangga lihat ramai orang turun dengar ceramah, tentu kita akan lebih berbangga lihat ramai orang turun untuk bersih kawasan awam, rumah anak yatim dan perlindungan, dan bergotong royong jaga keselamatan.

Kita akan lebih bangga lagi kalau ada ramai yang mahu mengajar tanpa upah. Untuk adik-adik yang tak berpeluang pergi kelas tuisyen. Untuk adik-adik yang tak pergi sekolah, kerana mak bapa miskin, yang tak pergi sekolah kerana bapa habis duit di meja judi.

Mana tahu, ada Ustaz Ustazah yang ikonik, dari jadi duta jual kurma, mereka jadi duta kebersihan dan alam sekitar. Boleh jadi juga Duta kepada penaung orang-orang gelandangan kota. Boleh jadi jadi duta menentang kezaliman, penindasan, dari kekejaman sistem, kapitalis.

Barulah lebih manis kurma yang kita rasa. Dan doa yang dijampi beri kesan yang lebih bererti.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK