Dengarkan

Dengar tak?
 
Ayahanda memanggil, kalau pun belum tiba waktu menyahut, sekurang-kurangnya dengar. Suaranya bergema, merentasi zaman, merentasi tempat. Yang dipanggil menerusi Al Quran, dipanggil dengan suara, dari hati yang ikhlas.
Adakah kau dengar?
Hanya hati dan akal yang tidak peduli, tidak mendengar Ayahanda Ibrahim. Bapa yang kita hormati, sayangi, sang panutan ummat.
*****
Sabtu lepas adalah waktu jemaah berkumpul di masjid-masjid besar untuk program kursus Haji perdana. Simulasi praktikal, memberi gambaran kepada jemaah apa yang akan berlangsung di Haraam, untuk satu-dua minggu melengkapkan rutin dan aktiviti, sebelum dapat bergelar Haji.
Sudah sampai waktunya, untuk kita masuk ke mode untuk menyediakan diri memahami manusia di hadapan Tuhan itu perlu seperti apa.
Bagaimana rasanya memakai kain kapan sendiri? Lebih dari itu, sendiri yang memakai di badan sendiri. Dua helai kain, tutup bawah, dan tutup bahagian atas. Itu sahaja yang menutupi diri. Tanpa apa-apa, kita bergerak menuju Tuhan.
Kita jarang diajar memakai seragam Haji bukan setakat membayangkan tentang kematian, tetapi satu seruan untuk meninggalkan semua. Tugas pejabat, keluarga, pangkat, kemewahan, kesenangan, cinta pada anak-anak dan keluarga, harta yang telah dikumpul.
Di sebalik dua helai kain adalah kulit yang balut tubuh. Di sebalik tubuh ada apa?
Kata orang ada sukma (jiwa), akal dan ruh.
Ini sebenarnya yang kita bawa.
Dalam jiwa, akal dan ruh ada apa?
Semua yang kita rasa hasil dari benda dosa dan pahala yang kita lakukan, depan ramai atau tersembunyi, dah dipohon ampun taubat, atau masih dalam ego tidak mahu tunduk. Pengalaman hidup yang kita kutip, dari aktiviti fizikal, sentuhan, rasa, yang libatkan semua indera milik kita.  Itu yang kita bawa.
Fikiran-fikiran kita yang tunduk ataupun sombong menongkat langit. Yang kepandaian dari ilmu yang membuat kita sampai menekan orang kecil dan memandang hina mereka, atau kepandaian itu yang menjadikan kita berbakti pada orang yang memerlukan. Kepandaian yang kadangkala menyekutukan Tuhan atau, kepandaian yang memandu ke arah kebenaran. Akal itu yang kita bawa. Malah pada akal kosong tidak berfungsi dalam aktiviti fikir, itu juga yang kita bawa. Itu yang dipersembahkan.
Roh yang dicorakkan oleh rasa dan pemikiran. Roh yang tunduk atau menongkat. Roh yang kenal Tuhan atau separuh kenal, atau tidak kenal langsung. Itu yang kita bawa.
Hakikat ini yang perlu diulang bicara. Kerana Tuhan akan mengadili, ketidakpedulian kamu, ketidaksungguhan kamu, lokek kedekut kamu, kebodohan kamu yang malas berfikir dan berzikir, semua soalan yang ditanyakan dalam Al Quran.
Baik kamu akan haji musim ini, atau sudah haji musim lepas, atau akan haji musim mendatang, setiap tahun kenangkan musim ini. Dengan penghayatan sebenarnya, sebelum kain kapan dipakaikan oleh orang lain, bila jiwa, akal dan ruh, benar-benar diminta bertemu Allah yang Esa.

Comments

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?