Saya Pasti Akan Pulang

Musim Haji yang bakal datang.

Salam sejahtera ayahanda guru Nabi Ibrahim, selamat datang dan pulang. Kami mendengar panggilan Ayahanda bergema ribuan tahun dahulu, dengan takzim kami datang. Memperbaharui janji kami untuk sentiasa berada di agama hanif Ayahanda, agama yang benar. Ditangan Ayahandalah sunnah untuk memusnahkan berhala-berhala yang wujud secara fizikal di luar, dan yang bersarang di jiwa kami.


Ayahanda dan keluarga, selamat datang, selamat pulang ke pangkuan. Selamat menunjukkan kami jalan, di Thariq Ibrahim Al Khalil kami akan berada. Di jalan yang lurus itu, kami mempersembahkan pengorbanan demi Tuhan, Lillahi Taala.

********************intermission*********************

Semalam saya berbalas sembang dengan rakan teman Haji yang saya sayangi. Kami mengulangi cerita-cerita berjalan di Thariq Ibrahim Al Khalil dan Hotel Taibah. Hotel yang menempatkan kami lebih dari 30 hari itu sudah dirobohkan pemerintah. Bila direzekikan kami kembali, kenangan indah, pahit, manis tidak dapat kami kenangi dari bangunan itu. Semuanya harus dirakam dalam otak, dalam ingatan kami yang entah berapa lama boleh bertahan dan semoga sampai ke hujung nyawa.

Di Hotel Taibah kami mempunyai pelayan, Muhammad namanya. Dia adalah warga negara Indonesia. Saya tidak berapa ingat sudah berapa lama Muhammad berada di Makkah ketika kami sampai dahulu pada tahun 2011, dan pada tahun ini Muhammad masih berada di Makkah.

Kata Muhammad, dia tidak lagi bekerja di Hotel Taiba kerana hotel Taibah sudah musnah. Muhammad bekerja di Hotel Haneem, tidak salah yang disebutkan kepada saya. Muhammad masih mengutus ucapan kepada rakan saya dengan mengucapkan Selamat Hari Raya. 

Saya katakan kepada rakan, "belum balik lagi Muhammad kembali ke kampung?"

Jawab rakan, "kalau saya jadi Muhammad, saya juga tidak akan kembali." Saya kira rakan begitu mencintai tanah Haraam yang dekat dengan Kaabah. Merasa naungan kasih Tuhan. Tidak syak, saya juga mempunyai rasa dan rindu yang sama.

Saya: "tapi kalau saya jadi Muhammad, saya akan kembali."

"Kenapa?"

Saya: "Kerana saya mahu kembali berkhidmat kepada masyarakat."

"Muhammad di sana juga berkhidmat kepada masyarakat."

Saya terdiam beberapa saat mengakui kebenaran dalam kata-kata rakan dan menjawab, "Setuju."

Malam ini saya tidak boleh tidur lena. Aura Dzulhijjah itu kembali menyengat, seperti meminta untuk saya kembali untuk menilai perjalanan, dan apa selepas perjalanan Haji itu patut diisikan. Dan ketika saya menjawab, saya akan pasti kembali pulang ke kampung halaman untuk berkhidmat pada masyarakat, itu adalah pernyataan sepenuh sedar yang saya sebutkan lewat teks di mesej BBM.

Saya pasti akan pulang.

Ketika ini masjid dan surau bergema dengan qunut nazilah. Rakan-rakan memberi pesan supaya membacanya dalam solat, berdoa keselamatan Mesir yang rakyatnya disembelih di hujung senjata tentera (coup d'etat) di dataran Rabiah Adawiyah. Rentetan peristiwa kebangkitan rakyat Mesir menjatuhkan Morsi, meski beliau dipilih melalui pilihanraya. Sebelum itu jatuhnya Hosni Mubarak. Demokrasi sudah mati?

Di Malaysia yang kata ramai masih aman, bergelumang dengan masalah sosial dan terbaharu kejadian tembak menembak, penculikan dan lebih buruk mengebom sesama manusia.

Saya pasti akan pulang.

Lewat hari-hari ini, selain merasai bahang kehangatan kembalinya bulan Dzulhijjah, mereka yang peduli pasti akan turut merasai bahang pergolakkan yang makin menggoncang. Meski sejauh mana kita mahu mengekalkan kestabilan dan pemikiran positif, reality check, dunia tidak seperti 10 atau 20 atau 30 tahun yang lalu. Dunia sudah sedemikian hebat dimainkan dengan sentimen ketakutan dan kebencian. Untuk saya, saya percaya ada tangan yang memainkan peranan untuk meletakkan keadaan dalam keadaan seburuk ini. 

Lewat malam yang sunyi selalu mengundang kerinduan kepada Nabi. Lewat hari-hari ini saya diajak berfikir secara kritis apa yang Nabi rasai. Saya juga menyoal berapa banyak air mata Rasulullah yang tumpah kerana mengenangkan kita, ummat yang secara pasti akan ditinggalkan Baginda. Minda sedar saya mengatakan, kejadian-kejadian mutakhir inilah yang menyebabkan tidur kita tidak akan lena, dan air mata kita juga tidak akan kering.

Sedikit kenangan hari raya, yang akan saya jumpakan juga titik temunya dengan perbincangan di atas.

Di hari ke 3 Syawal ini, di waktu maghrib merembang, seorang lelaki tidak dikenali memberi salam di hadapan pagar rumah. Saya tahu tidak mengenali, tetapi dia tetap sahaja memberi salam berulang-ulang dan menyebut nama abang saya yang kami panggil Alang. Kebetulan Alang memang berada di hadapan rumah, menyambut salam dan melayani rakan lama yang sudah bertahun tidak berjumpa. Kata kawan abang, dia adalah rakannya sewaktu darjah enam. Ermmm berapa puluh tahun yang lalu, dan dia masih ingat. Mungkin boleh ingat, kata adik saya sebab Alang kami adalah seorang Ketua Pengawas.

Saya tidak tahu berapa lama Alang bersembang, tapi saya sempatkan juga menyediakan air sarsi dan kuih-kuih hari raya. Sewaktu azan bergema, hujan pun tiba-tiba mencurah-curah. Lelaki itu juga meminta diri untuk pulang. Setahu saya, dia hanya berjalan kaki. Alang saya menawarkan diri menghantarkan pulang ke rumah.

Selepas segalanya selesai, Alang saya membuka cerita.

"Dia kawan Alang sewaktu darjah enam. Dia adalah seorang pelajar OKU, pelajar lembam. Dalam kelas tak menumpukan perhatian, dan susah untuk menerima pelajaran. Mungkin selang 3 tahun sekali, dia cari Alang."

"Ingat pula dia."

"Itulah yang Alang respek. OKU pun boleh ingat orang meski sudah lama."

"Dia tak sambung sekolah ke tingkatan?"

"Masuk sekolah pun tak guna, sebab dia tidak mampu terima pelajaran."

Tiba-tiba suara Alang jadi perlahan, dan mula bercerita. 

"Sedih cerita kawan Alang ni. Dia OKU, dan sebenarnya waktu kecil dipelihara oleh ibu bapa angkat. Sekarang ibu bapa angkat pun sudah meninggal dunia. Bila ditanya, kenal tidak ibu dan bapa kandung, dia jawab, "saya tidak kenal Bang." Tadi Alang hantar dia ke rumah, rupanya dia tinggal dalam stor kedai makan berdekatan dengan kubur. Dan dia tinggal seorang."

Seisi ruang tamu terdiam (krik, krik, krik).

"Dia tak ada adik beradik angkat yang lain?"

"Ada, ramai. Tapi siapalah yang betul nak perhatikan. Orang OKU macam itu, anak angkat pula."

Krik. Krik. Krik.

"Tadi masa Alang nak hantar balik, dia menolak. Alang pun hendak menghulur sumbangan, dia menolak. "Tak apa Bang, saya ada duit. Abang nak hantar saya, nanti saya isikan duit minyak."

Saya tidak sedar bila masa mata saya sudah digenangi dengan air mata.

"Dah makan ke ni? Alang tanya. "Kenapa Bang, Abang nak makan? Saya boleh belanja KFC."

Saya sudah menyeka air yang mengalir di hujung mata.

"Kenapa dia datang cari Alang?"

"Dia kata saja cari kawan, sunyi sorang-sorang duduk kat rumah". Alang pergi jenguk dekat tempat dia tidur, tak ada tilam atau pun totto."

Hujan di luar rumah, hujan juga di hati saya. Adik beradik dan keluarga lain yang mendengar pun saya percaya mengalami beban emosi yang sama.

Bila saya sudah kuat untuk bercakap tanpa getar suara yang ketara, saya memandang Alang dan berkata, "nasib dia lebih baik kerana tidak hidup gelandang seperti ramai di ibu kota. Yang lebih tidak tentu alas tidur dan cuaca kering basah yang akan menyebabkan mereka tidur dalam kesejukkan atas simen konkrit yang tajam."

Saya menyambung, "bila-bila Alang balik ke rumah ini, tolonglah singgah dan jenguk dia."

3 Syawal itu buat saya kembali mengingati Pakcik Amran yang kami tinggalkan di hadapan dataran Maybank Kuala Lumpur, Ramadhan yang lalu. Yang sudah kehilangan banyak giginya, di ketiak kanan mengepit kotak yang berlipat, tangan kiri plastik berisi makanan yang kami berikan. Juga t-shirt baru yang masih berada dalam plastik dengan cop Barisan Nasional.

Berbanding Pakcik Amran, kawan Alang nasibnya lebih baik. Dan membandingkan diri kami yang juga kami rasa kekurangan, kita berganda-ganda lebih bertuah dengan anugerah yang melimpah.

Saya tidak boleh tidur kerana mengenangkan orang-orang ini, yang hidup di celah-celah kita. Yang mungkin pernah berselisih di jalanan dan saling berbalas senyum, tetapi sungguh kita tidak pernah mendengar cerita mereka, apatah lagi membela nasib mereka. Apabila membaca status di Rumah Pengasih Warga Penyayang di FB, hati saya lebih tersayat. Mereka adalah NGO yang membela orang-orang kecil ini. Mereka keras berusaha meminta pertolongan dari institusi zakat. Betapa pun mereka berusaha mengikut saluran yang betul, tindakan dari pusat zakat ternyata mengecewakan. Ada asnaf sampai meninggal sebelum memperoleh jatah yang patut sampai ke tangan mereka.

Kata Pakcik Amran, "dalam Islam orang kaya sepatutnya mencari orang miskin, bukan orang miskin yang perlu menyembah-nyembah kepada orang kaya."

Di hati saya Pakcik Amran, kawan Alang, dan mereka yang ramai di luar sana yang perlukan pembelaan.

Di kepala menerjah puisi Rendra tentang orang-orang miskin yang menggugah.

Orang-Orang Miskin
Oleh : W.S. Rendra

Orang-orang miskin di jalan,
yang tinggal di dalam selokan,
yang kalah di dalam pergulatan,
yang diledek oleh impian,
janganlah mereka ditinggalkan.
Angin membawa bau baju mereka.
Rambut mereka melekat di bulan purnama.
Wanita-wanita bunting berbaris di cakrawala,
mengandung buah jalan raya.
Orang-orang miskin. Orang-orang berdosa.
Bayi gelap dalam batin. Rumput dan lumut jalan raya.
Tak bisa kamu abaikan.
Bila kamu remehkan mereka,
di jalan  kamu akan diburu bayangan.
Tidurmu akan penuh igauan,
dan bahasa anak-anakmu sukar kamu terka.
Jangan kamu bilang negara ini kaya
karena orang-orang berkembang di kota dan di desa.
Jangan kamu bilang dirimu kaya
bila tetanggamu memakan bangkai kucingnya.
Lambang negara ini mestinya trompah dan blacu.
Dan perlu diusulkan
agar ketemu presiden tak perlu berdasi seperti Belanda.
Dan tentara di jalan jangan bebas memukul mahasiswa.
Orang-orang miskin di jalan
masuk ke dalam tidur malammu.
Perempuan-perempuan bunga raya
menyuapi putra-putramu.
Tangan-tangan kotor dari jalanan
meraba-raba kaca jendelamu.
Mereka tak bisa kamu biarkan.
Jumlah mereka tak bisa kamu mistik menjadi nol.
Mereka akan menjadi pertanyaan
yang mencegat ideologimu.
Gigi mereka yang kuning
akan meringis di muka agamamu.
Kuman-kuman sipilis dan tbc dari gang-gang gelap
akan hinggap di gorden presidenan
dan buku programma gedung kesenian.
Orang-orang miskin berbaris sepanjang sejarah,
bagai udara panas yang selalu ada,
bagai gerimis yang selalu membayang.
Orang-orang miskin mengangkat pisau-pisau
tertuju ke dada kita,
atau ke dada mereka sendiri.
O, kenangkanlah :
orang-orang miskin
juga berasal dari kemah Ibrahim
Yogya, 4 Pebruari 1978
Potret Pembangunan dalam Puisi

Saya masih belum tidur, kerana suara Abu Dzar Al Ghiffari juga menggigit telinga saya. "Aku bingung oleh orang yang tidak punya roti sepotong pun di rumahnya. Bagaimana dia tidak bangkit melawan orang-orang dengan pedang terhunusnya?"

Pergolakkan, perbuatan ceroboh, jenayah yang berleluasa, kata kawan saya boleh berlaku dengan begitu tinggi dan mendadak sekali kadarnya kerana keperluan-keperluan asas seorang individu itu tidak dipenuhi. Seperti makan, pakai dan tempat berteduh.

Saya pasti akan pulang.

Saya masih ingat wajah-wajah ceria gelandangan kota menerima selimut bersih lagi menghangatkan malam, dan mencuba t-shirt terpakai yang kami bawakan untuk mereka. Wajah tersenyum mereka saya ingat sampai sekarang.

Saya pasti akan pulang, seperti Nabi yang pulang walau sudah mengecap nikmat bersama Tuhan di malam Israk Mi'raj, Rasulullah malah kembali ke pangkuan ummat, kerana kasih dan belas. Kerana Rasulullah ialah, rahmatan lil alamin. Seperti itulah kita akan pulang, menjadi rahmat kepada seluruh alam, terutama kepada mereka yang minta dibela tidak mengira warna kulit, ideologi, latar belakang dan siapa mereka.

**************************

Ayahanda Ibrahim, kami mendengar panggilan dan menyahutnya. Tuntunilah kami di Thariq Ibrahim Al Khalil dan saksikanlah kami juga berada dalam agama yang hanif lagi benar. 

It's Dzulhijjah. Bulan pengorbanan. Sanggupkah kalian berkorban sedikit masa dan peduli kalian untuk mereka?

Comments

ieka said…
Subhanallah..
Org OKU itu bunyinya lebih berjiwa besar dari kita orang yang tidak OKU

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK