Universiti Terbuka KakTon

Kami hanya memerlukan 1 jam, kedai mamak NZ Curryhouse, 2 teh tarik, puree dan roti telur untuk membincangkan mengenai ekonomi, model ekonomi dan apa yang akan berlaku pada 10-20 tahun akan datang.

Saya berbual dengan 'dia' seorang yang berkerjaya dengan minda intelektual yang mengkagumkan, seorang isteri dan ibu, yang selalu rajin bereksperimen dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

Bertuah tak Kak Ton? (...mempunyai kawan seperti ini).

Dengan dia, makanan dan minuman fizikal menjadi secondary, yang kami cari adalah perbincangan bermakna dengan masa terhad yang kami ada. Masa yang terhad menyebabkan kami perlu memaksimakan ruang perbicaraan, dan semua perbincangan ini perlu dicatat untuk dilaksanakan, kalau bukan sekarang mungkin dalam masa terdekat. Itu komitmen kami jika berbincang.

Terasa serius bukan? Malah kami menganggapnya sebagai aktiviti seperti berada di amusement park yang sangat mengujakan. Itu sebenarnya yang menjadi makanan yang memberi kepuasan minda dan rohaniah sekaligus. Dan membuat saya terfikir, wanita jika diberikan ruang, peluang dalam pendidikan dan menimba pengalaman, mereka boleh sahaja mempunyai kapasiti setara dengan lelaki.

Kerugian kita jika kita gagal menggerakkan semua potensi yang ada baik lelaki dan perempuan, terutama dalam melestari ummah dan generasi. 

Minum pagi 1 jam itu, terasa berada di universiti terbuka, dengan hiruk pikuk sembang kosong jiran kiri dan kanan, di selang seli dengan asap rokok mereka yang tidak peduli tentang polisi berada di ruang awam.

Entri ini adalah untuk review kembali kedudukan wanita supaya mereka dipandang sebagai individu yang punya karakter dan perlu dihormati pilihan mereka, dan sekiranya wanita benar terdidik, merekalah tempat pertama polisi tentang pembentukan akhlak dan sahsiah bermula. Kerana merekalah ibu / bakal ibu yang melahirkan generasi seterusnya. Pembelajaran pertama akan berlaku di rumah, malah di ruang kecil dalam perut yang dinamakan sebagai rahim, tempat bermula pendidikan kasih sayang, yang kami gelarkan pendidikan cinta.

Kenapa tidak berikan wanita pendidikan dan tempat selayaknya? Takut apa kita?

Perbincangan seterusnya adalah untuk meraikan datangnya musim Haji yang akan menjelma tidak beberapa lama lagi dan peranan wanita dalam penyempurnaan ibadat paling ultimat dalam hidup seorang muslim. Saya tidak pernah mendengar bicara/khutbah mengangkat Siti Hajar dengan tingkatan yang layak. Tidak pernah (mungkin sahaja saya yang kurang mengunjungi kuliah-kuliah agama). Yang paling baik artikel yang pernah baca menyangkut peribadi mulia ini ialah di sini.

Siapa Siti Hajar? Dia adalah seorang perempuan budak (hamba) yang ditakdir berkahwin dengan lelaki bangsawan bertaraf Nabi dan Imam (Nabi Ibrahim). Dengan perkongsian dua makhluk mulia ini lahir Nabi Ismail. Perkongsian berkat yang berjalur generasi demi generasi demi untuk melahirkan seorang makhluk luar biasa mulia, Nabi Muhammad sawa.




Artikel Hajj and the Neglected Legacy of Great Women telah menyentuh banyak mengenai sunnah Siti Hajar yang menjumpai catatannya dalam Al Quran. Malah Allah mewajibkan untuk setiap individu yang percaya untuk mengulangi sunnah ini setiap kali berumrah dan Haji. Setiap satu mesej yang disampaikan dalam artikel begitu kuat dan bergaung, dan tidak dapat saya menyangkal telah lama benar kita meninggalkan legasi wanita hebat ini; Siti Hajar.

Saya simpulkan signifikan Siti Hajar dalam melengkapkan ibadah Haji:

1. Berlari-lari anak antara Safa dan Marwah
2. Minum air zam-zam dari telaga yang dijumpai secara bersama dengan Nabi Ismail
3. Bersolat sunat dalam Hajar Ismail, lengkung separuh bulatan yang menjadi sebahagian dari Kaabah (ada juga yang menyebut Hijir Ismail)

Namun dari segi peradabannya, tidak ramai yang dapat menyangkut penemuan air zam-zam oleh Siti Hajar dan Ismail yang memungkinkan peradaban di Kota Makkah itu bermula. Tidak ada manusia boleh hidup tanpa air, apatah lagi peradaban. Tanyalah mana-mana jurutera, arkitek dan perancangan bandar andai boleh dihidupkan sebuah kota tanpa air? Dan Makkah itu adalah padang pasir yang begitu membahang. Ini satu-satunya model kota berpusat kepada ketundukkan kepada Allah Yang Maha Esa, agama hanif Nabi Ibrahim, agama monotheism mutlak yang dibawa para Nabi.

Membayangkan seorang ibu yang keseorangan, dibiar di lembah gersang, tanpa air dan orang, tetapi penyerahan hidup dan nasibnya kepada Allah itulah begitu bergema. Keyakinan dan iman apakah yang dipunyai oleh seorang Siti Hajar? Ketaqwaan apakah yang dipegang teguh oleh seorang Siti Hajar sehingga sunnah ditulis dalam Al Quran? Keistimewaan apakah Siti Hajar sehingga kami tetap perlu berlari-larian 7 kali tanpa gagal?

Perkahwinan Nabi Ibrahim (seorang bangsawan) bersama Siti Hajar (hamba) antara mesej yang juga dilupakan. Ini sunnah untuk memusnah lenyap garis pemisah kasta sosial. Ini sunnah untuk memberi mesej bahawa yang paling di pandang Allah adalah taqwa. Dari mana kita berasal itu tidak penting, tetapi siapa yang mahu kita jadi, pengakhirannya. Pengakhiran yang paling berbaloi dan dijamin keselamatan adalah apabila kita menjadi hambaNya yang bertaqwa.

Pertemuan dua manusia bertaqwa, Nabi Ibrahim dan Siti Hajarlah yang melahirkan generasi terpilih dan bertaqwa. Daripada keluarga mereka, kita temui Rasulullah. Keluarga yang mendapat tempat dalam Al Quran, dan saya percaya ramai antara kita juga terlupa, mereka jugalah keluarga yang mendapat tempat dalam solat kita di tahiyyat akhir. Lima kali sehari, setiap hari sehingga nyawa kita dijemput pulang.

Musim Haji ini, musim mengenang Bonda Siti Hajar. Musim mengenang Bonda di Jeddah, Siti Hawa. Musim mengenang Bonda yang kental memperteguhkan junjungan Rasulullah tercinta, Bonda Siti Khadijah. Musim mengenang Bonda penghulu wanita syurga, Bonda Siti Fatimah, ummu abiha.

Musim Haji ini, saya mengubah cara pandang saya kepada gelandang. Mereka-mereka yang dinafikan tempat dalam kedudukan sosial dan masyarakat, yang miskin, yang tidak punya apa-apa. Kerana di antara mereka pasti ada iman setinggi Siti Hajar, yang mempercayakan nasib, harapan, pergantungan, dan cinta hanya kepada Allah. Mereka yang telah mengecap dan merasai nikmat berada dalam naungan taqwa, meski apa bentuk luaran yang menyebabkan ramai manusia mengelak untuk memandang, apatah lagi untuk membela.

Dia, kawan ekonomi saya itu, saya lihat juga punya semangat seperti para Bonda yang mulia. Satu jam saya bersama dia yang saya dengar hanyalah suara percaya, suara iman, suara ketundukkan kepada Yang Esa.

Saya kagumi dia, kerana seperti Bonda Siti Hajar, tahun lepas semasa beliau pergi Haji, telah menyerahkan segala punya beliau termasuk kasih kepada anak kecil nan seorang di bawah penjagaan Allah, dalam usia yang relatif masih muda menyelesaikan rukun Haji yang kelima.

Syawal yang masih muda, tetapi musim haji sudah membahang di jiwa. Selamat pulang Bonda, selamat pulang ke pangkuan minda mereka yang telah melupakan.

Allahumma solli ala Ibrahim, wa ala ali Ibrahim. Allahumma solli ala Muhammad, wa ala ali Muhammad.

Sejahteralah semuanya keluarga Nubuwwah, keluarga terpilih, keluarga panutan ummat.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK