Cita-cita Jauh Cita-cita Dekat - #2
"Saya cerita sebagai orang yang sedang menyaksikan secara langsung, majoriti manusia bersikap seperti apa. Boleh dikatakan kebanyakkan kita bertindak hampir sama. Saya sudah tidak menjumpai manusia yang unik dengan karakter tersendiri. Mereka orang yang sama."
OM mengangkat bahu tidak faham.
"Kebanyakkan kita akan bertindak seperti ini. Menunggu gaji setiap bulan. Kemudian mempunyai cita-cita jauh seperti naik pangkat, cari anugerah, tunggu bonus, tunggu durian runtuh dan selepas itu kita akan mula membeli. Kita akan membeli dan membeli. Kerana itu bil yang perlu dibayar tidak pernah habis malah makin bertambah."
"Apa yang dimaksudkan sebagai cita-cita jauh?"
"Cita-cita yang diluar kawalan kita. Boleh jadi kita sangat mengejar tetapi belum tentu kita akan dapat. Dan kalau dapat pun belum tentu kita akan bahagia dengannya."
"Kalau macam itu tentu ada cita-cita yang dekat."
"Saya rasa tak jawab pun awak boleh tahu. Cita-cita yang dekat adalah benda yang confirm kita akan dapat. Tak fikir susah-susah pun kita tahu benda tu akan terjadi. Contoh, kematian dan hari kiamat."
OM gelak macam terkena. "Tapi tidak ramai akan cakap benda macam ni. Seperti pesan tok guru, ustaz ustazah je. Dan bagi kebanyakkan orang menolak untuk bincang. Bagi mereka topik ni boring."
"Saya tak nafi boring, sebab bila awak mula bercerita tentang cita-cita dekat ni, awak jadi orang yang boring. Sebab awak tidak bincang dengan topik yang segar dan dinamik. Yang dapat menggerakkan orang, bukan melemahkan orang. Mungkin awak belum pernah dengar bagaimana Ustaz Nouman Ali Khan beri khutbah dan ceramah. Ingatan tentang Tuhan, kematian dan hari kiamat, tapi tak jadikan kita orang yang pasif. Tetapi menjadikan kita orang yang mahu bergerak menjadi manusia lebih baik."
"Saya tidak ada kawan hendak bercakap perkara macam ni. Mereka tidak suka perkara yang perlu berfikir."
"Ada satu lagi cita-cita dekat yang mungkin sedikit berbeza dari Tuhan, kematian dan hari kiamat. Iaitu ayat-ayat dalam Al Quran. Semua perkataan dalam tu adalah cita-cita dekat. Confirm akan terjadi."
OM angguk.
"Kita kena mula baca bukan setakat baca. Itu sangat pasif. Sebab tu awak akan jadi tak bersemangat baca Al Quran. Padahal itu ayat dari Tuhan tu, bukan dari orang. Mula baca dengan aktif."
"Macamana tu?"
"Tanyakan setiap ayat dalam Al Quran, bagaimana kaitan dengan kehidupan awak di masa sekarang ni. Cari mesej-mesej yang menyebabkan awak terpandu, terbimbing, ditunjukkan jalan meski awak berada di zaman moden. Bukan zaman ayat Al Quran diturunkan 1400 tahun yang lalu. Baca seolah-olah ayat itu ditujukan kepada awak, memang dibisikkan ditelinga untuk awak mendengar. Kemudian berfikir, kemudian bertanya. Pesan apa yang Allah mahu sampaikan kepada aku. Begitu."
Semangat telah menyebabkan suara saya makin lama makin dikuatkan.
OM hanya seorang. Tetapi saya tidak merasa rugi untuk menerangkan sedikit realiti kehidupan kepada dia. Saya perlu membuat ini, kerana saya mahu generasi masa hadapan lebih baik dari generasi yang saya lalui. Itu cita-cita untuk setiap orang. Supaya kita meninggalkan legasi lebih baik kepada orang, dan mereka mewarisi dunia yang lebih baik.
"Saya mula lambat. Tetapi lambat itu bukan apa-apa jika kita mahu berubah dan kita mula berubah. Dunia tidak akan jadi lebih baik, jika kita bergerak kepada cita-cita jauh yang singkat. Kerana kebaikkan yang awak terima hanya setakat habis di dunia ini sahaja. Tidak lebih dari itu."
Saya rasa OM sudah tepu. Soalan tentang bank dan duit kertas saya tak sempat kupas. Tetapi saya berdoa agar lebih ramai anak muda seperti OM, akan mula berfikir untuk nampak benda yang lebih penting. Yang pasti. Yang tidak akan merugikan mereka, dunia dan akhirat.
Comments