Menaruh kepada Kebaikkan Tadi

Kawan aku yang aneh-aneh itu selalu mengalami peristiwa aneh. Barangkali ujian untuknya, dan pengajaran untuk aku. Dan kerana kami bukan mempunyai jumlah kawan yang ramai, aku dipilih untuk meminjamkan telinga mendengar cerita-ceritanya.

"Kadangkala kita orang beragama ini pun biasa membuat taruhan." Katanya memancing bual, ketika kami sudah siap sedia untuk makan laksa yang dibelinya di Temerloh.

Aku diam. Malas untuk menggesa cerita kerana bukan dia tidak tahu meneruskan. Itu semua ayat umpan.

"Pernah dengar orang yang terperangkap dalam gua, ada batu besar yang menutup pintu gua. Untuk membolehkan mereka keluar dari situasi yang menakutkan tersebut, masing-masing bercerita tentang kebaikkan masing-masing. Berharap sekiranya ada nilai kebaikkan yang mereka buat, batu itu akan terbuka sedikit demi sedikit."

"Ada, cerita biasa yang Ustaz-ustaz kat masjid selalu cerita."

"Kau pernah buat benda yang sama?" tanya dia.

"Eh bukan ke ini cerita zaman lampau, zaman dulu-dulu. Takkan kita boleh buat benda yang sama?" 

"Tadi aku cuba buat..." memancing lagi.

Aku menjegilkan mata.

"Kau tahu aku beli laksa ni kat Temerloh. Pekedai tu tak pulangkan pun bagi RM0.80 aku. Aku ingat dia terlupa masa sibuk mengunting timun dan memotong bawang. Aku diamkan bila dapat makanan. Harap-harapnya ada kebaikkan lain dari 80 sen tu."

"Memang kau tak mintalah? Baik sangat."

"Masa aku naik kereta nak ke sini, minyak kereta aku masih lagi tiga bar. Bila lepas R&R Temerloh yang ada Petronas tu dah tinggal jadi dua bar. Nak patah balik memang tak sempat." Peluh di dahinya memercik kerana tergigit lada api.

"Yelah, kereta kau tu bukan boleh harap. Kalau tinggal dua bar, sekejap je dah kelip-kelip. Tak sempat pun turun sampai ke tahap satu bar, dah berkelip."

"Kau memang memahami kereta aku. Jadinya, aku fikir fikir fikir akan keluar simpang Chenor. Dekat-dekat situ ada stesen minyak kampung. Jadi selamat sikit kalau isi RM10."

"Lepas tu?"

"Dengan yakinnya aku memandu dan masuk simpang. Sampai-sampai semuanya berbungkus. Tidak beroperasi rupanya stesen ni. Tak tahulah berapa lama tutup. Sudahlah nak sampai sini ada lagi 30km, entah cukup tidak minyak dalam kereta MyVi aku tu. Memang pucat lesi. Kalau jadi apa-apa, maksudnya aku berhenti di tengah jalan, orang pertama yang aku minta rescue kaulah", dia gelak besar.

Aku terus makan, sedap juga rupanya laksa Temerloh.

"Masa itulah aku mula baca doa, menaruh RM0.80 yang aku halalkan kepada kakak penjual laksa itu sebagai jaminan keselamatan aku sampai ke stesen minyak yang jauhnya 30km."

"Biar betul."

"Betul. Aku tak tipu. Dan aku baca sepanjang perjalanan. Aku tidak tahu berkesan atau tidak, tetapi memandangkan laksa kau tu semangkuk dah habis aku kira menjadilah. Dengan izinNya."

"Adakah kebaikkan yang kita buat, maksudnya menghalalkan 80 sen duit baki, kebaikkan itu telah terhapus, atau masih lagi bersisa untuk kau bawa ke akhirat nanti?" Aku menyoal dia ingin tahu.

"Aku tak tahu, mungkin boleh tanya Ustaz-ustaz, alim ulama. Yang nyata, dalam kehidupan kita, akan ada banyak kesulitan, di saat kau tidak boleh meminta kepada siapa-siapa, mungkin ini salah satu cara untuk kau diberi kelonggaran. Lagipun, kalau kau percaya, kau akan jadi orang yang terkehadapan membuat kebaikkan."

Laksa, cerita taruhan atas kebaikkan, petang ini dalam hujan, aku merenung panjang.


Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK