Warna-warna
Ada rindu menerpa ketika menguis lembut tanah di pusara Ayah, di atas bukit. Bau tanah yang mengapung itu mengigatkan kata-katanya,
"Warna coklat itu seperti tanah. Seperti bau sewaktu hujan pertama menyentuh bumi. Bau bumi dibasahi. Itu warna coklat," sambil memandang tepat ke mata, memastikan dia mendengar dan faham. Kemudian Ayah meletakkan tangan dia di tanah. Tangan Ayah menutup mata, supaya dia 'melihat' dengan merasa.
Dia menyiram tanah yang mengandungi Ayah dengan takzim. Menyiraminya supaya basah. Agar sedikit sebanyak ada bau yang mengapung. Mengingatkan dia kepada warna coklat, seperti kata Ayah. Dia kemudian meletakkan tangan ke atas butiran pasir, tanah, batu dan debu pusara Ayah, sambil mengingat bagaimana panas tapak tangan Ayah satu masa dahulu.
Pokok puding di pusara itu masih hijau, dia rasa. Daunnya segar dan tegap. Mustahil daun itu mati. Di telinga terngiang ajaran, "hijau itu seperti daun segar. Daun mesti tegap dan segar, tidak terkulai layu seperti kelompak mati. Bila ramas, bau organik yang keluar itu yang mesti kamu ingat Anak."
Dia mematahkan hujung daun. Mengambil cebis yang sedikit. Meramas-ramas sehingga basah tapak tangan dan melihat cebisan daun-daun kecil. Tangan yang meramas itu dibawa ke hidung. "Ya Ayah, ianya berwarna hijau," kata dia berbisik.
Tiba-tiba hujan rintik turun. Dia tidak segera bangun. Mungkin akan lebat nanti, biarlah. Kalau basah, biarlah. Bukan basah yang harus ditakuti. Ada memori yang perlu dia ingat. Suara Ayah bersiponggang dalam kepala, "biru itu seperti air laut, warna langit yang melatari awan, awan yang mengandungi hujan." Ayah akan menghulurkan tangan kecil ke bawah cucur atap di waktu hujan renyai, hujan sederhana dan hujan lebat. Di banyak situasi, supaya pengulangan itu mengisi satu sudut dalam hatinya,
Dia mendongak ke langit. Ada air yang masuk mata, sedikit mengerdip tetapi dia tidak mengelak. "Ya Ayah, itu biru seperti warna kegemaranmu." Kerana itu juga dua nisan di cat biru. Warna Ayah.
Hujan semakin deras turun, tetapi masih lembut. Dia mengelap wajahnya yang basah dengan dua tapak tangan. Ada air mata yang bercampur hujan. Ayah telah lama pergi, kata dia dalam hati.
Dalam hati menyebut doa, zikir, selawat berulang-ulang. Dalam cepu masih ada gema, "jika kamu tidak dapat melihat seluruh warna, tidak mengapa. Ada sebab Tuhan menjadikan sebahagian orang dapat melihat warna, dan sebahagian kecilnya tidak. Itu juga salah satu bukti kebesaranNya. Itu juga tidak melambangkan kekurangan apa-apa kepada dirimu Anak."
Ya Ayah.
Hari masih hujan.
"Kerana kamu masih boleh 'melihat' dengan deria yang dikurniakan di kulit, tapak tangan dan hujung jari. Kerana kamu masih boleh 'melihat' melalui bau yang terhasil. Dan lidah yang merasa."
Ya Ayah.
Hujan tidak lebat, bertukar renyai,
Sebentar nanti dia turun dari ziarah pusara Ayah. Di hujung tanah perkuburan ada kedai. Dia akan memesan air sirap kerana kata Ayah seperti itulah warna merah.
Tetapi hati sebu.
Kata mak, "merah darah Ayah melekat di baju, ketika memeluk kamu dan menyelamatkan dari dilanggar kereta."
Ya Mak.
Dia ingat.
Selama-lamanya.
Sampai mati.
Comments