Saturday, February 06, 2016

Menolong

Ramai menyangka kita mempunyai bahagian ketika kita menghulurkan tangan membantu seseorang. Jauh di sudut hati, ada rasa lega kerana dapat melepaskan mereka dari kesulitan, sekurang-kurangnya pada waktu itu. Menjadikan kita seperti telah menjalankan kewajipan sebagai seorang manusia. Hakikatnya tidak. Kita tidak membantu orang ketika menolong orang lain. Tiada orang yang kita bantu melainkan diri sendiri.

Ketika Tuhan mengetuk hati untuk memikirkan hal orang lain, yang dalam keadaan susah dan memerlukan pertolongan, pada ketika itu Rahmat Tuhan sedang menyentuh fitrah kemanusian kau. Pada waktu itu, rahmatNya yang menyebabkan kau merasa sekali lagi bagaimana sepatutnya menjadi seorang manusia, paling tepat hambaNya.

Kasih sayangNya yang mendorong kau kehadapan. Menghulurkan tangan. Berbagi apa adanya, meski sedikit tetapi bermakna.

Dari kasih sayangNya membuat kau melihat, bahawa manusia itu lebih dari apa yang ada pada batang tubuh dan apa yang melekat sebagai pakaian dirinya. Satu roh yang dipinjamkan, dan roh yang sama dari mana kau berasal.

Tetapi kemanusiaan bukan hanya sekadar itu. 

Kemanusiaan termasuk melawan kezaliman, korupsi, penghambaan, ketidakadilan, penyelewengan. Ketamakan dan haloba manusia terhadap harta dan habuan dunia. Bangkit untuk menyatakan kebenaran meski di hadapan pemimpin dan raja.

Ada dua tingkat menjadi manusia, menolong mereka yang dalam kesusahan dan melawan segala bentuk kezaliman/kejahatan.

Sering kita kalah untuk membuat apa yang patut.

Kerana tangan-tangan kita telah dibelenggu cinta dunia, sedangkan dunia tidak pernah menyintai kita.


2 comments:

wedokunik said...

Saya ada kawan. Kalau dia dalam kesusahan atau tengah gundah gulana mesti dia belanja ornag lain makan. tapi dia tak ceritakan pun masalah dia kat orang lain. mula-mula saya tak perasan kenapa dia suka belanja. lama lama saya ambil kisah dan saya rasa itu adalah satu terapi untuk dia. dari situ saya belajar, sedar tak sedar bila kita buat baik sebenarnya secara tak langsung ia lebih kepada kepuasan untuk diri sendiri.

ASaL said...

saya ada kawan, yang sebelum bergerak jauh akan cari juga orang untuk dibelanja. Kalau lagi jauh naik kapal terbang, akan buat kenduri. semacam satu bentuk doa keselamatan dan jaminan pergi balik selamat adanya.