Berbuka: Bersederhana & Tragedi Hari Pertama

Mulai tahun ini berazam, untuk memerhatikan kalimah-kalimah peringatan tentang makanan dan berbuka. Kata Nabi, makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang.
Kata Ustaz di MHI, kita sudah tersalah konsep. Dermawan kita memperuntukkan RM1000 untuk menjamu orang makan untuk berbuka puasa sehari. Dengan pengiraan seorang dengan harga RM10, jadi orang yang suka berderma boleh menjamu sehingga 100 orang makan. Kata Ustaz, menjamu orang makan ketika berbuka ialah dengan memberi makan sekadar berbuka, iaitu cukup jika dapat memberi mereka makan tamar. Bukannya untuk mentekedarah (bak kata orang Melaka - p/s jangan marah, petikan dari pesanan Ustaz di MHI).
Dalam konteks kita orang Malaysia, kita memang suka makan tamar. Sebagai sunnah Nabi, tambahan sudah banyak tamar beaneka jenis di pasaran yang menggunakan label Yusuf Tayoob, Sun sweet dan banyak lagi. Untuk memikirkan orang kita cukup ke makan tiga biji tamar aja untuk berbuka puasa, agak kurang pratikal. Kita kan suka makan nasi.
Bersederhana, untuk hari pertama cukup terserlah. Kami mengambil ration harian bubur lambuk di Masjid Al Ansar seperti biasa bulan Ramadhan (p/s: ini sunnah orang Keramat, Ampang, Dato Keramat dan sekitarnya). Untuk satu tupperware kecil cukup membuatkan kami 3 orang makan kenyang sebelum solat maghrib (ye, lepas solat sudah tentu menunya lain makan nasi pula). Bak kata adik, berbuka di Keramat tanpa bubur lambuk apalah maknanya.
Kami di Keramat mempunyai tradisi lain dari Masjid Kg Baru yang gah dengan bubur lambuknya itu (kadang-kadang kami menghantar juga spy mengambil ration bubur di Kampung Baru sekadar untuk membandingkan rasa - ternyata lidah Keramat, Keramatlah juga. Al Ansar is still the best). Di Kampung Baru, bubur lambuk telah siap dipaketkan. Di Al Ansar kami bebas membawa tupperware pelbagai bentuk dan rupa guna untuk mengambil ration sesedap rasa. Ada yang membawa tupperware tahan panas untuk mengekalkan kepanasan sehingga waktu berbuka. Ada yang membawa sehingga 3 tupperware untuk satu rumah sahaja. Saya berdoa agar rumah itu ramai orang dan mereka habiskan. Jika tidak, dihabiskan waktu sahur pula. Orang ramai akan berpusu-pusu beratur. Waktu ini dapur Al Ansar paling glamour berbanding ruang solat (hehehe).
Yang tidak sedapnya, Imam belum habis berwirid solat Asar, penduduk sudah beratur panjang di luar. Masa inilah kepanasan matahari petang tidak pernah diambil kisah, yang penting buburnya dimasukkan ke dalam bekas dulu. Panas dan bahang usah diambil pusing. Tetapi yang akan mengagihkan makanan cuma akan diberi kebenaran menyenduk bubur dari periuk sebaik sahaja makmum solat Asar keluar dari masjid. Masa inilah terasa kasihannya jemaah terpaksa beratur di belakang sekali sedangkan mereka yang berada di masjid semenjak Asar.
Itu cerita di dapur masjid setiap kali bulan Ramadhan (sedapnya bubur sehingga licin tupperware).
Itu alternatif lain cadang saya. Untuk bersederhana, cukup tiga biji tamar dan bubur lambuk semangkuk dua untuk berbuka puasa. Nasi diambil bila perlu aja supaya tidak sukar untuk rukuk dan sujud.
Tragedi hari pertama saya diserang influenza (bukan A, H1N1). Jadinya saya tidak berdaya bangun sehingga jam pukul 3. Bonda telah menelefon adik untuk mengantar saya ke klinik, takut-takut saya rebah dan melarat. Pukul 3 saya sudah semakin pulih dan membantu bonda apa yang patut di dapur. Adik membuka pintu waktu selepas Asar melihat saya boleh berdiri dengan terkejut. Dia ingatkan saya serius terbaring. Dan merasakan betapa berusahanya dia balik tapi saya tidak apa-apa. Sorry bro, miss information. Tapi saya berterima kasih kerana dia keluar membeli empat biji panadol soluble (cukup membantu saya pulih).
Hari pertama berbuka dengan sederhana. Dengan bubur lambuk dan air teh panas bersama-sama orang tersayang, memang berbaloi.
Selamat berbuka!

Comments

zaza said…
so sweet..yup..yg penting bukan menunya,,tapi suasananya. org2 tersayang bersama kite..

p/s: terlior dgr bubr lambok org keramat weii!!

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah