Menjelang Ramadhan: Hujung Minggu yang Bermakna

Tidak sedar kita sudah pun berada di gerbang Ramadhan. Ia adalah bulan yang diraikan, ditunggu penuh rindu kerana kesempatan yang dikandung terlalu banyak tidak dihitung. Telah diulang-ulang ayat kewajiban Ramadhan di masjid dan di peti email, moga kali ini langkah ke daerah fitrah mengenalkan kita pada diri kemudian mengenalkan kita pada Allah.
Bermula hari Jumaat saya bermarathon dengan memandu dari Pahang-Putrajaya-Keramat-Bandar Tasik Puteri. Tujuannya untuk menjayakan bacaan surah Al Baqarah dan Yaasin di rumah abang di Rawang. Ia rancangan yang tiba-tiba, dari bonda dan alhamdulillah, jika Allah mengizin maka tiada siapa pun boleh menghalang.
Juga secara kebetulan, ia adalah perjumpaan sebelum Ramadhan, agar kami saling memaafkan, merapatkan tali siraturrahim, menggengam tangan bersalaman rasa bersaudara yang akrab. Ya, pertemuan sekali sekala, dirai sepenuhnya. Menyedari bilangan kami semakin mengecil, ia menjentik nurani seni yang halus. Pertemuan dengan bacaan surah Al Baqarah secara bergotong royong, kemudian Yaasin secara berjemaah dan tahlil, kami menyeru nama arwah yang telah pulang ke pangkuan. Moga doa kami diapung, kemudian diijab dan diqabuli di langit ke tujuh. Tanda kami masih ingat dan sentiasa rindu.
Ya bacaan Al Quran dibaca dengan tartil dan cermat. Jika Ayah masih ada, dia tentu berasa sangat lega.
Ia hujung minggu yang hebat. Letih tetapi bermakna, kerana untuk Ramadhan kali ini, saya masih berpeluang menatap wajah-wajah yang disayang.
Salam Ramadhan. Maaf atas kesilapan. Mari kita melangkah, ke daerah fitrah.

Comments

Nurul said…
dah habis baca ke jerusalem in d qur'an tu? maaf takde kaitan dgn topik tapi tadi terpandang dekat senarai baca hehe.

mohon kemaafan juga!
ASaL said…
salam alayk
sudah membaca, dan ulang baca lagi.
Saya peminat tegar Imran Nazar Hossein, dan sgt suka karya yang ilmiah tetapi ditulis dlm bentuk agak santai, macam membaca novel pun ada juga. Dah baca jugak ke?

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK