Peristiwa Subuh Hari Merdeka

Kawan saya kata membaca itu satu pekerjaan, jadi dia jadikan baca satu tuntutan yang dilakukan rutin. Seperti orang bekerja juga. Ada kerja adalah gaji. Ada membaca adalah benda yang akan diperolehi (untuk dia dapatkan faedah dari pekerjaan itu.)
Membaca bagi saya adalah satu perintah. Kerana dalam Quran disebut Iqra'. Perkataan Iqra' itu bukan menggunakan grammar present tense atau past tense. Iqra' gunakan grammar ammar (grammar yang tidak ada bahasa Inggeris), grammar perintah.
Sekarang baru saya tahu membaca itu kadang-kadang menemukan peristiwa yang lebih menarik.
Semalam susah sangat saya mahu tidur. Jadi saya ambil buku Imran N. Hossein untuk dibaca. Harapnya, boleh tidur selepas itu. Baca dan baca, jadi lebih menarik, lebih susah untuk saya tidur. Tetapi saya telah pun letih. Jam pukul 3 pagi. Tidak boleh lelap lagi. Behenti sekejap buat benda lain kemudian sambung baca lagi. Pukul 4 pagi masih belum boleh tutup mata.
Saya ke dapur, memanaskan makanan untuk dimakan sahur nanti.
Tiba-tiba terdengar ripuh di luar. Terdengar bunyi tumbukan dilepaskan ke tubuh seseorang dengan kuat, sepenuh hati. Dusyum. (Ini bukan effect cerita Hindustan memang bunyinya begitu). Bunyi motosikal yang diberhentikan, tetapi enjin motor tidak dimatikan.
"Duduk, lari lagi!"
"Ampun Encik ampun. Saya janji tidak buat jahat lagi."
Beberapa tumbukan dilepaskan lagi. Keadaan menjadi cerah diluar kerana lampu dari motosikal. Saya memberanikan diri membuka tingkap.
Wah! Polis sedang membelasah seorang pesalah. Menarik. Macam cerita drama dalam TV.
"Duduk, duduk!"
Baju pesalah itu dibuka. Pesalah itu menggulang-ulang perkataan maaf dan ampun. Sekali sekala cuba berdiri setelah duduk melutut di atas jalan. Setiap kali dia cuba berdiri, polis beruniform dengan baju hijau pantul cahaya siap berhelmet akan memastikan dia duduk kembali.
Tiba-tiba sebuah teksi tiba. Pemandunya keluar. Menuju ke arah polis dan pesalah. Saya kira pesalah tersebut membuat jahat kepada pemandu teksi. Saya berharapan agar pemandu teksi itu melepaskan sedebik dua kepada pesalah. Agar bertambahlah adegan drama yang mendebarkan menjelang subuh hari. Tetapi tidak jadi begitu pun.
"Kenapa lari?"
"Ampun Encik saya janji tidak buat jahat." Slangnya seperti slang Indonesia.
"Berapa banyak dia tidak bayar?" Pemandu teksi kembali semula ke dalam teksi dan memeriksa meter. Pesalah masih lagi duduk melutut atas jalan raya. Tangannya dibelakang. Saya tidak pasti samada digari atau diikat dengan baju pesalah itu sendiri. Yang nyata polis itu sentiasa ada disebelah pesalah. Seorang lagi polis beruniform dan berhelmet sampai. Laluan lorong disebelah rumah saya makin cerah terang benderang bila 2 kereta patrol polis turut sampai.
"Dua puluh satu ringgit".
"Saya bayar, saya bayar". Si pesalah masih melutut memuntahkan semua yang ada dalam dompetnya. Mengira helaian kertas satu persatu sehingga cukup dua puluh satu ringgit. Dengan tangan terketar-ketar, menyerahkan kepada pemandu teksi. Pemandu teksi setelah itu terus beredar.
Polis masih di tempat kejadian. Pesalah masih lagi merayu-rayu sambil duduk. Polis mungkin berbincang sesama sendiri. Saya tidak nampak butirnya.
"Sumpah Encik saya tidak buat jahat lagi. Sumpah, saya sumpah demi mak saya Encik. Saya janji tidak akan buat salah untuk selama-lamanya."
Polis telah pun membawa pesalah untuk disumbat dalam kereta peronda polis. Si pesalah masih lagi merayu-rayu. Sebuah kereta kancil dari jalan besar tiba-tiba masuk di lorong kecil itu. Polis terus memasukkan pesalah ke dalam salah sebuah kereta peronda. Bergerak keluar dari lorong untuk tidak menggangu perjalanan kereta kancil. Dua buah kereta peronda bergerak keluar. Seorang polis kembali ke motor yang diberhentikan kemudian masuk gear dan terus berlalu.
Saya cuma nampak dari celah cermin yang dibuka sedikit tadi. Sangat teruja tetapi ada rasa debar juga dalam dada. Takut-takut peristiwa lebih dahsyat berlaku. Misal kata pesalah merampas pistol polis dan cuba menembak rambang. Subhanallah. Nasib tidak jadi begitu.
Saya kembali menutup tingkap. Menyiapkan lauk pauk untuk bersahur. Berdoa dalam hati, bersyukur keadaan tidak jadi lebih buruk.
Rupanya, membaca selain mendapat maklumat dan ilmu, mungkin kita dapat menyaksikan peristiwa tidak terduga.
Tahniah kepada Polis yang tidak tidur malam, patrol di kawasan kejiranan kami untuk memastikan segalanya aman dan damai.
Subuh ini kejiranan kami merdeka dari perbuatan jahat orang. Esok lusa tidak tahu lagi.
Apa-apa pun, Merdeka! Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke 52.

Comments

zf_zamir said…
haha..

menarik!

buku sekali lagi telah memancarkan magisnya..

(pada mula saya ingat akak halusinasi, mungkin..mungin juga cerita ini halusinasi..macam butterfly effect, hehe)
ASaL said…
:)

saya bukan Ashton Kutcher yang boleh membawakan watak berkesan dalam filem bertemakan butterfly effect.

ia benar belaku.

menyaksikan polis membelasah pesalah life di subuh hari adalah pengalaman hebat dan mendebarkan sekaligus.

(selain menyaksikan polis menyembur gas pemedih mata dan membunyikan loceng amaran dari trak.)

:)
Boleh jadi plot yang menarik. Haha

Zamir, kamu sahaja yang gemar berhalusinasi.

Selamat menghadam lebih banyak buku

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah