Monday, February 23, 2009

Warkah untuk Adik

Adik saya, sedang berhempas pulas melalui pengajian peringkat sarjana mudanya. Dia sedang runsing sekarang, dengan beban kerja dan menyelesaikan masalah pengiraan yang rumit-rumit.

Jika saya saudara tua yang jahat, saya akan katakan padanya dengan gelak orang kaya 'Rasakan, itulah yang kami rasa dulu, bukan senang mahu jadi Inginiur dik'.

Tapi seperti semua orang pun tahu, saya adalah saudara tuanya yang bersopan dan manis pula bicaranya (boleh percaya?) lalu saya titipkan warkah ini untuknya (yang dijumpai di peti email saya sebenarnya).

Moga dihatinya juang, di dadanya juang, di dalam semangatnya juang, kerana dia merintis jalan orang berjuang.

Asal sahaja kamu usaha dengan istiqamah Dik, akan kami hadiahkan juga kamu dengan kiffiyeh itu! (jangan marah ).

Adik saya, meski saya selalu menyakatnya, saya berdoa untuk dia. Selalu. Kerana dia sudah tidak punya doa ayah, tidak juga punya doa kakak yang lebih tua, juga sudah kehilangan doa anak buah kawan baiknya. Tapi saya boleh janji padanya, dia masih punya doa bonda, dan doa kami. Kami berdoa untuknya selalu! InsyaAllah.

Ini warkah untuk Adik.



Salam

Apa saja yang merusuhkan kamu? Barangkali dengan berkongsi akan mengurangkan beban yang tertanggung di pundak.

Alhamdulillah, kami di sini OK, di sebalik dengan tugasan yang selalu sahaja melimpah ruah. Tapi kami panjatkan sahaja dulu dengan kesyukuran, kerana sudah jauh berjalan hingga ke tahap ini, kami telah belajar banyak perkara.

Kalau dulu setiap kali kami dizalimi, kemarahanlah yang bersarang. Setiap kali dibebani dengan kerja yang terlalu, kami selalu rasa terniaya.

Tapi bila memahami, bahawa Allah mustahil mendatangkan ujian yang tidak mampu ditanggung kepada hambaNya, kami belajar untuk menjadi manusia yang tunduk.

Bila dizalimi, kami fikir, Allah ada dan melihat setiap masa. Allah ada dan Dia tidak sepincing akan belaku tidak adil kepada hambaNya. KeadilanNya inilah kami tuntut. KeadilanNya inilah kami sandarkan sepenuh pergantungan. Kerana dengan penuh yakin kami percaya, Dia Maha segala-galaNya, masakan dia tidak tahu kami sedang derita dizalimi dan disakiti.

Bila rasa dianiaya, kami berfikir, Alhamdulillah, sekurang-kurang kami terus-terusan diberi kesempatan untuk upaya bekerja. Dan diberi kerja lebih untuk kami terus belajar membina watak diri dan peribadi. Kerja yang banyak, refleks kepada signifikan wujud kami disini, bahawa kami perlu ada sesuai dengan kapasiti yang terbina atas apa yang Allah anugerahkan. Dan yang lebih indahnya, akhirnya, Allah memberi kami peluang untuk menyumbang. Berkongsi ilmu, dan mereka mendapat manfaat darinya. Bukankah ini lebih baik?

Bukankah begitu juga ditakdirkanNya untuk kamu?

Kamu berada di sana, atas kapasiti yang terangerah untuk kamu. Kerana itu Allah menakdirkan.

Sudahkah kami bercerita pada kamu? Sekarang kami sudah menjadi pelatih. Kami telah diberi peluang melatih orang. Macam hebat bunyinya bukan.

Begitulah Allah meninggikan kami, insyaAllah, kami harapkan agar ia disebabkan kerana ikhlas kami menuntut ilmu keranaNya. InsyaAllah, kami harapkan agar ia disebabkan oleh ikhlas kami tunduk keranaNya. Dan kami terus-terusan kami berdoa, agar ikhlas kami tidak sirna. Agar kami tidak mula mendongak, sebaliknya terus tunduk. Kerana ilmuNya tetap ilmuNya. Syarat diberi dan dipermudah untuk faham, agar kami dapat berkongsi dengan lain dengan hati yang penuh.

Moga yang kami harapkan kebaikkan, kebaikkanlah yang mereka terima. Agar impian kami untuk melihat masyarakat mengejar kecemerlangan dan kesempurnaan, mereka kongsi bersama, dan akhirnya berjuangan bersama-sama.

Begitu Allah Adik, meninggikan hambaNya kerana ilmu, dan benar belaka janjiNya.

Allah akan meninggikan manusia kerana ilmu. Dan jika tidak, tidaklah kalam pertama yang ditanzilkan (ya, Quran itu diturunkan, maka kerana itu Quran telalu hebat. Kerana Quran Kalam Tuhan, kerana kasih sayangNya, Tuhan sedang berbicara dengan kita). Ayat itu ialah Iqra'.

Sungguh malang kami kerana sudah menginjak dewasa baru kami faham perkataan Iqra' itu telalu hebat. Malah, Kalam Quran itu lebih hebat, kerana baru kami betul-betul rasa dan dapat mengindera, Tuhan sedang berbicara dengan kami.

Tiada siapa akan menafikan jalan kamu, jalan berliku. Jalan menempuh payah. Jalan memerah segenap keringat lelah.

Tapi bukankah setiap jalan yang kita tempuh, ialah jalan-jalan yang kita pilih. Meski dari jauh kita melihat enau dan belukar, serta hutan yang terhidang di depan mata, kitalah yang memilih untuk mengambil sabit, kapak, cangkul dan mula merintis jalan itu? Kitalah yang memilihnya

Adik, tiada siapa yang memaksa kita untuk memulakan langkah pertama itu.

Kami, sebaliknya percaya, bahawa ia rintis jalan orang berjuang.

Kami tidak pernah tahu juang itu bagaimana selain yang ditonton di kaca-kaca TV, dari mata pejuang Hamas dan Intifadah. Dari semangat bridged Al Qasam. Dari mata Hassan Nasrullah dan pejuang Hezbullah Lebanon. Juga dari semangat tentera Mujahiddin juga pejuang-pejuang dari Bosnia. Jarang mata mereka berbicara, selain dipertontonkan juga darah mengalir dari tubuh mereka.

Tapi kami seluruhnya sedar, Allah tidak (atau belum lagi) beri kami kesempatan mempunyai mata itu. Semangat itu. Tapi Allah tetap tunjukkan kami landasan untuk diri kami menjadi manifestasi keagunganNya, dengan jalan yang sedia ada. Untuk kami buat yang terbaik. Paling baik dari diri kami. Kerana itu barulah yang lain melihat bahawa Tuhan sedang menghantar mesej kepada yang lain melalui kami.

Adik, Tuhan tidak pernah minta hasil yang terbaik, tetapi Dia cuma meminta agar kamu memberi yang terbaik untukNya. Dari dalam kamu, setulusnya kamu. Seikhlasnya kamu. Sehabis juangnya kamu. Itu yang Tuhan akan beri ganjaran.

Meski kecil dan seninya usaha kita di mata orang lain. Apa yang dilihat orang lain tidak pernah penting Adik, Tidak pernah menjadi kudis pun. Kerana yang lebih nyata, adalah yang dilihat Tuhan, Kerana Keadilan ada ditanganNya, Dialah Yang Mengadili, tempat ultimat perbicaraan, dan Dialah yang membalasi setiap inci, meski sekecil zarah atau lebih kecil dari itu.

Harap kamu masih ingat cerita anak-anak Nabi Adam ketika mereka menyerahkan hasil ternakan dan tanaman.

Cerita itu mengajar kami antara lain, tiada gunanya menjadi tamak dan kedekut pada Tuhan, kerana Allah bukan meminta yang terbaik dari hamba untuk apa-apa, malah tiada akan menambah KeagunganNya, apatah lagi mengurangkan keagunganNya. Tetapi Allah menguji, adakah hambaNya bersyukur, jika syukur ia perlu dimanefestasi. Adakah hamba ikhlas, jika ikhlas akan diterima amalan. Dan cerita itu mengajar kami, Dia meminta kesungguhan dari hambaNya, supaya Dia dapat memberi lebih lagi.

Kerana kesungguhan memberi yang terbaik dari dalam diri seperi yang ditunjuk Nabi-nabi, akhirnya kami faham itulah cara untuk diterima sebagai hambaNya. Dan Allah meninggikan mereka (Al Anbiya' kullu) ditempat yang terlalu tinggi, dan mendapat redhaNya, dunia dan akhirat.

Juang aja Dik. Jika lelah mengadulah. Kerana ia perlu untuk rehat sebentar untuk perjalanan yang serasakan terlalu panjang dan tiada titik noktah.

Jika lelah, berehatlah sebentar. Bukalah bekal dan berhimpunlah dengan rakan-rakan yang sama berjuang. Berbicaralah dengan aman bersama mereka, tentang birunya langit, dan putihnya awan. Betapa kicau burung tiung itu bingit. Dan sambutan pagi hari burung undan di ranting pokok, terlalu menakjubkan dengan warna yang begitu terang dan majestik. Tentang kokok ayam jantan yang membangunkan, ingat kita waktu masih subuh, tetapi sudah siang sehingga terlajak waktu bersolat. Tentang bunyi air yang jatuh masuk ke akuarium, mengimbang aura negatif yang bersarang dan akhirnya memberi kita satu perkara yang selalu kita fikir tidak penting, ketenangan.

Itulah apa yang pejuang lakukan. Itu apa yang kami mahu lakukan. Kami tidak tahu apa akhirnya, tetapi kami selalu mahu serahkan yang terbaik. Kerana Tuhan telah menciptakan kami sebagai makhluk terbaik, mustahil kami merendahkan kedudukan ini.

Benar kami tidak tahu apa yang ada dihujung sana. Buat masa sekarang, kami cukup dan rasa puas. Kerana sepanjang jalan melalui terowong ini, atau melalui jalan ini, tidak sekali kami rasa sunyi dari dinaungi langit!

Juang aja. Tuhan sedang memerhatikan kamu.

Salam dari jauh.

Thursday, February 19, 2009

Telefon

Telefon saya, jika mahu memainkan muzik dengan dibantu alat mendengar (? earphone), perlu ditanggalkan segala aksesori termasuk pakaian perlindungan (cover) kerana masalah teknikal. Satu petang, rakan terkejut melihat wajah telefon saya yang baru tanpa baju yang diletak aman di atas sofa.
A: Eh, kenapa terlanj-- pula telefon ini?
Saya memandang dia sambil tersenyum.
Saya: Cantikkan telefon ini tanpa baju?
A: Memanglah cantik, tapi jaga-jaga.
Saya: Kenapa?
A: Tidak pasal-pasal kena letak jawatan pula nanti.
Saya: Aik? Telefon pun kena letak jawatan.

Wednesday, February 18, 2009

Pillars, which is connect the foundation below and the slab above.
Without them, I do not know were to put my feet.
With their absent, I just can’t touch the sky.
Only with their emergence in the midst of might and love,
Will witness me,
How well I’am,
To manifest
Transcendental message from high above!

Monday, February 16, 2009

David dan Goliath 7

“Ustaz, perlukah benda-benda materi macam Thabut untuk buat kita percaya?”

“Sudah begitu sifat manusia Shafiq, untuk kebanyakkan manusia ia perlu, malah sangat perlu. Hanya dengan benda yang kita boleh indera dan rasa kehadiran sahaja yang boleh membuatkan manusia percaya. Manusia lebih percaya kalau mereka dapat menyentuh sesuatu. Manusia juga boleh percaya kalau mereka dapat rasa sesuatu. Sebab itu zaman moden ini, saintis hanya akan percaya pada perkara yang mereka dapat buktikan di makmal. Jika sesuatu benda boleh dirasa atau diindera tetapi tidak dapat dibuktikan di makmal, itu ialah apa yang dikatakan oleh saintis moden sebagai sains maya atau pseudo sains”.

Alif mencatat. Ustaz Fadi Khudan meninjau ke arah hadapan. Saf hadapan hampir dipenuhi jemaah. Ada yang sedang membaca Quran. Ada yang sedang solat sunat Tahiyyat masjid dua rakaat. Yang lain duduk berzikir dengan pakaian bersih. Wajah mereka kelihatan segar, mungkin semuanya mandi sunnat hari Jumaat sebelum berjemaah. Ustaz Fadi Khudan kembali menyeluruhi kumpulan pelajar yang masih belum mahu berganjak. Hanya dari cerita guru di dalam kelas membuat mereka bersemangat dan mahu tahu.

“Sebagai contoh, meski matahari diselindungkan dengan awan hitam yang berat adakah kita akan katakan bahawa matahari itu tidak ada?”

“Mestilah ada Ustaz. Sebab kita boleh lihat cahaya yang menerangi bumi. Kita juga dapat rasa kehangatan dari pancaran cahaya matahari. Meski kita tidak dapat melihat bentuk matahari secara jelas, hakikatnya matahari itu tetap ada sebab kesannya boleh kita rasa”.

“Begitulah Alif, begitulah juga apa yang berlaku kepada Bani Israel. Dengan hilangnya Thabut dari simpanan mereka, dengan mudah juga mereka hilang semangat dan kepercayaan. Sebab itu bila mana Nabi Shammil menunjuk Saul sebagai raja, susah mereka hendak percaya. Hanya setelah Saul dilantik menjadi Raja, peti Thabut kembali kepada Bani Israel. Barulah mereka percaya bahawa Saul ialah Raja yang bukan dipilih oleh Nabi Shammil atas kehendak sendiri, tetapi petunjuk langsung dari Allah”.

“Saya tahu Ustaz, sebab Saul adalah dari suku paling tidak terkemuka dari keturunan Nabi Yaakub. Secara tepatnya dari anak Nabi Yaakub, Benjamin. Saul sendiri susah hendak percaya bahawa dia yang dilantik sebagai raja kerana keturunan dia tidak ada kaitan dengan kepimpinan Bani Israel ataupun mempunyai susur galur Raja. Sementelah, Saul sendiri orang kebanyakkan dan juga tidak mempunyai harta”, Shafiq memberi pendapat. Asytar mengangguk mengeyakan. Begitu juga rakan-rakan sekelas yang lain.

“Begitulah juga Nabi Muhammad. Bukankah Rasulullah ialah seorang anak yatim, pengembala kambing yang miskin tetapi dipilih oleh Allah menjadi Rasul, pemimpin, Imam, Jeneral Perang”.

“Err, Ustaz juga Imam…”.

Ustaz Fadi Khudan pecah tawa menampakkan lesung pipit di kedua belah pipi. Mata Ustaz Fadi Khudan seakan hilang bila ketawa besar begitu. Alif tersipu malu takut tersalah tanya.

“Alif, Alif, kamu ini memang seorang anak yang lurus dan polos”. Ustaz Fadi Khudan menepuk-nepuk bahu Alif mesra mengurangkan beban rasa bersalah di dada Alif.

“Nanti di kelas, ada masa lain kita cerita panjang lebar tentang Rasulullah yang memegang jawatan tetap sebagai Imam. Memang saya imam, tetapi sementara sahaja. Sekali sekala bila Ustaz Johari tidak ada, bila Ustaz Zaki tidak ada saya jadi pengganti imam solat. Kamu juga boleh jadi Imam bila habis kelas lewat, ramai-ramai pergi ke surau Awis Al Qarni ini. Lantik seorang jadi imam, kemudian solat berjemaah. Besar pahalanya”, senyum Ustaz Fadi Khudan masih berbaki.

“Seperti juga perlantikkan Rasulullah. Orang biasa, anak yatim lagi, tidak punyai harta kekayaan, pekerjaan lamanya sebagai pengembala kambing, kamu agak bila mana Rasulullah mengisytiharkan baginda seorang Nabi, adakah orang mahu percaya?”

“Secara logik memang susah juga orang mahu percaya”, Asytar bersuara perlahan. Dua tiga orang sedang mencari saf hairan memandang kumpulan kecil bersama Ustaz Fadi Khudan.

“Kerana itu Allah juga menganugerahkan pada Nabi suatu benda yang boleh diindera”.

“Ye ke? Apa ke bendanya Ustaz? Saya tidak pernah tahu pun Nabi ada peti”, Alif melontar terus tidak bertangguh. Sekali lagi Ustaz Fadi Khudan kehilangan matanya. Kedua lesung pipit lebih nyata di pipi. Yang lain-lain turut menyertai Ustaz Fadi Khudan mentertawa Alif.

“Maaf Alif, saya bukan mahu mengetawakan kamu, tapi kamu ini lurus sangat. Saya tidak pernah pun kata Rasulullah ada peti”.

“Tapi Ustaz kata Rasulullah ada benda yang boleh diindera?”

“Benda itu ialah benda yang boleh diindera dengan telinga. Yang boleh didengari, sebab ia didatangkan dalam bentuk bacaan. Iaitu Quran Al Karim. Ingat ya, masa Rasulullah menerima Quran, ia dalam bentuk bacaan, bukan dalam bentuk buku yang kamu lihat di sekeliling surau ini”.

“Tahu Ustaz, Malaikat Jibrail yang turun dan ajarkan Rasulullah Al Quran”, Asytar menyampuk.

“Quran adalah mukjizat. Quran juga buat orang Makkah percaya Nabi adalah seorang Nabi. Mukjizat dan magis terletak pada ayat dan kandungan dalam ayat. Sebab ayat yang ada dalam Quran sedemikian indahnya sehingga orang Makkah percaya bahawa mustahil manusia boleh mencipta ayat dalam bentuk keindahan yang ultimat seperti itu. Sebab itu kelebihan ada pada ummat Nabi Muhammad”.

“Kelebihan apa Ustaz?”, kali ini Shafiq yang bertanya.

“Kalau Bani Israel perlu membawa peti ke medan perang, ummat Muhammad tidak perlu. Kerana, peti kamu di dalam ini”, Ustaz Fadi Khudan meletakkan tapak tangannya di dada Alif. Alif tercengang, muka merah. Ada serbuan rasa gerun di dada Alif.

“Jika dan hanya jika kamu membaca Quran, memahami makna, menghafaz dan menyimpannya dalam hati, itulah peti Thabut kamu. Sumber kekuatan, keyakinan, kesatuan, inspirasi magis”, Ustaz Fadi Khudan menekankan nada di hujung suara. Alif tiba-tiba rasa hebat. Tiba-tiba Alif juga mahu kiffiyeh di leher Ustaz Fadi Khudan juga berada di lehernya.

“Muco Quran lan maknane”, Shafiq memecah hening.

“Betul Shafiq, muco Quran lan maknane”, Ustaz mengeyakan.

Azan berkumandang melalui corong pembesar suara. Ustaz Fadi Khudan mematikan kata. Alif, Asytar, Shafiq dan kawan-kawan yang lain diam. Yang membelakangkan kiblat terus memusingkan badan dan mendengar seruan solat dengan khusyuk.

Alif teringat sesuatu. Alif mahu bertanya pada Ustaz Fadi Khudan. Ustaz Fadi Khudan memberi isyarat supaya terus diam. Usai Azan, Alif berbisik sesuatu ke telinga Ustaz Fadi Khudan. Ustaz Fadi Khudan mengangguk. Yang lain-lain memandang hairan. Mereka terus bubar mengambil tempat untuk mendengar khutbah.

Wednesday, February 11, 2009

David and Goliath 6 (Ark of Covenant)

Ustaz Fadi Khudan mengingat-ingat Thabout yang pernah dilihat di majalah dan di internet. Kemudian mengeluarkan komputer mini berwarna merah jambu dari beg sandang. Harap-harap pelajar ini juga dapat menvisual imej peti simpanan Kitab Taurat yang sama. Hanya dengan itu, mereka akan segera faham fungsi Thabout sebagai penguat semangat. Sama seperti kibaran bendera ketika perang berlangsung. Ustaz Fadi Khudan menghulurkan komputer yang mempunyai skrin tidak sampai 12 inci. Masing-masing berebut mahu melihat.




"Besarnya peti!" Asytar hampir bersorak. Mulutnya segera diserkup Syafiq. Sebahagian jemaah mula memandang kebelakang. Pipi Ustaz Fadi Khudan merah.
"Huk aloh, besarnya. Sampai perlukan empat orang untuk membawanya. Payoh le Ustaz kalau pergi perang bawa benda besar macam itu", Alif pula melontarkan pendapat. Kali ini suaranya perlahan, agak-agak sesuai didengar kumpulan kecil.
Ustaz Fadi Khudan segera menutup komputer mini.
"Ini gambaran pelukis sahaja. Belum tentu yang sebetulnya seperti itu", Ustaz Fadi Khudan memberi penjelasan. Semoga anak-anak ini tidak terlalu percaya melihat yang terbentang di internet, sebaliknya membuat penyelidikan sehingga mencapai yakin.
"Dalam cerita Indian Jones ada pasal Ark of Covenant ini", Shafiq memberi maklum pada yang lain.
"Shafiq, cerita-cerita lagha jangan dibawa masuk ke masjid", Ustaz Fadi Khudan bersuara dengan mata yang tajam.
Kali ini, Shafiq memekup mulutnya sendiri.

Akan apakah kami nanti

Imamku Nabi
memasukki Madinah
memper'satu'kan ummah

Ummahmu Nabi
diamanahkan daerah
disegerakan pecah belah

duhai, akan apakah kami nanti?

Monday, February 09, 2009

Mike bukan orang Perok

Gambo di atas adalah keindahan Tambun yang terletak di Perok. Teman baru pergi minggu lepas.

Sebermula maka tersebutlah perkataan bahawa Raja jangan sampai melanggari wa’ad. Maka Raja Sang Sapurba telah bersumpah setia dengan Demang Lebar Daun. Wa’ad yang telah ditulis.
Maka negeri yang makmur itu jika bukan Demang Lebar Daun memberi izin dinikahkan anak perempuannya orang kebanyakkan adanya pada Sang Sapurba, maka tidak berturunanlah Raja.
Sudah diketahui rakyat jelata, sudah demikian tersurat Sang Sapurba yang menikahi lebih 39 orang anak Raja. Selepas bermalam, akan kedallah sekelian anak raja bila matahari menjenguk pagi. Tiada rasi jua dengan Sang Sapurba. Bermuram durja atas nasib yang menimpa, Sang Sapurba meminta anak perempuan orang kebanyakkan. Begitulah anak Demang Lebar Daun yang terlalu baik rupa parasnya dipilih dan kemudian dinikahkan dengan Raja.
Tiadalah pernikahan berjalan tanpa wa’ad. Antara Raja dan orang kebanyakkan. Antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun.
“Tuanku, andai anak patik kedal juga, janganlah tuanku usir dari istana. Izinkan anak patik terus diam di istana walau Tuanku akan menjadikan inang pengasuh”.
“Tuanku, andai anak turunan patik berbuat salah, sabit kesalahan maka hukumlah. Jika sabit bunuh, bunuhlah. Tapi ampun Tuanku, janganlah sampai anak cucu patik dimalukan”.
“Demang, beta bersetuju. Dan perlu Demang maklum sudah sepakat turun temurun pantang Melayu menderhaka pada Raja”.
“Ampun Tuanku, benar belaka butir bicara Tuanku”. Demang mengangkat sembah.
“Ampun Tuanku, tetapi patik suka mengingatkan pada baginda Tuanku, andai anak cucu Tuanku berubah, anak cucu patik berubah jua”.
Khabarnya, Singapura dilanggar todak kerana Raja melanggar wa’ad.
Khabarnya, Sultan Mahmud mangkat dijulang tanpa meninggalkan waris juga kerana melanggar wa’ad.
Khabarnya, Kesultanan Melaka jatuh kerana Sultan melanggar wa’ad. Bila Tun Muntahir, Tun Ali dihabisi tanpa hak.
Entoh. Mike bukan orang Perok. Meski penoh le belajo sekajap di Perok.

Sunday, February 08, 2009

Minum teh dan Wadikita di PSP

Kami minum teh di Persian Restaurant, Ampang. Begitulah bentuk bekas gula dan cawannya. Teko di sebelah sedikit sahaja masuk dalam foto. Dihidangkan untuk seorang. Tetapi kami telah meminta cawan lebih untuk semua dapat merasa. Dihidangkan juga sebekas gula, sangka Bro dalamnya adalah gula batu, tetapi rupanya masih gula pasir.
Lalu sebuah cerita mengapung di dalam restoren yang asing.
Ada sebuah filem, seorang bapa sedang mengetuk gula batu untuk dimasukkan ke dalam bekas. Kemudian si bapa menyuruh anak membawa secawan teh kerana kehausan. Bila masuk teh ke dalam mulut, si bapa berhenti.
Bapa : Kenapa tidak dimasukkan gula ke dalam teh ini, anak?
Anak : Bukankah Abi sedang mengetuk gula batu, ambil sahaja gula itu Abi.
Bapa : Anak, ini gula kerajaan, mana boleh Abi gunakan.
Anak : Abi, ambil sahaja, tidak ada orang nampak.
Bapa : Anak, meski orang tidak, tetapi Tuhan nampak dan Dia Maha Melihat.
(jika anda meneka itu adalah dialog dari sinema filem Iran, ya betul, 10 markah).


Wadikita di PSP. Nasib bateri tidak habis ketika usai mengambil foto ini :p

(caution: PSP sangat bahaya sekiranya ada hanya sebuah dan anda mempunyai anak atau anak saudara yang ramai! Juga bahaya jika ada ramai gamers dalam rumah yang sama. Adli bukan Aderi Aryasu note this).

sambungan cerita David dan Goliath 5 di bawah ye :D

David dan Goliath 5

Dalam keadaan paling getir, bateri boleh habis. Alif mengeluh sendiri. Alif berkira-kira, lewat petang baru dapat pulang ke kolej. Sampai di kolej, perlu menunggu satu atau dua jam untuk cas semula, baru boleh PSP dinyalakan kembali. Teknologi, secanggih mana sekalipun boleh ditewaskan hanya kerana tidak mempunyai bekalan tenaga yang cukup.
“Cukup umur nanti aku akan cipta PSP yang menggunakan tenaga solar, barulah canggih namanya”, Alif menyimpan cita, mengelamun, sambil senyum sendiri.
Hari ini hari Jumaat. Alif bercadang akan duduk di saf paling hadapan. Usai membentang sejadah, Alif menunggu. Mana-mana Ustaz yang akan datang nanti mengimami solat di surau Awis Al Qarni, Alif akan jumpa dan duduk bertalaqqi depan berdepan. Alif mahu belajar mengenai David dan Goliath. Biar Asytar dan Shafiq ketinggalan. Bagus kalau ada Ustaz Johari atau Ustaz Zaki yang mempunyai mata seperti pelakon Hankock, Will Smith. Atau Ustaz Asjad yang pernah bersyarah di forum perdana di televisyen. Tentu panjang lebar cerita dari ustaz-ustaz sendiri.
Dalam berfikir-fikir, Alif menoleh belakang. Shafiq dan Asytar duduk di satu sudut belakang surau Awis Al Qarni. Kawan-kawan sekelasnya lima orang juga ada. Dan mereka sedang mengerumuni Ustaz Fadi Khudan, ustaz yang berkelulusan sejarah Asia Barat, ustaz kelas agamanya. Alif menjegilkan mata tidak percaya. Dia sudah ketinggalan!
“Ustaz Fadi, apa perlunya Bani Israel untuk mempunyai Thabut sebelum pergi berperang?”, Shafiq bertanya sambil menginjak tempat duduknya merapat ke dinding supaya Alif dapat bersila dan menyertai kumpulan kecil.
“Sebelum itu, apa yang kamu faham mengenai Thabut?”
“Kata Cikgu, Thabut itu adalah peti simpanan Kitab Taurat. Dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai Ark of Covenant. Legasi yang ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Nabi Harun”, Asytar menerangkan dengan bangga. Jika Alif yang sampai lebih awal, Alif yang akan mengambil peranan menerangkan hal Thabut pada Ustaz Fadi Khudan.
“Saya terangkan apa yang diambil dari Ibnu Asakir. Thabut atau the Ark of Covenant ini adalah sebuah peti simpanan. Orang Israel percaya bahawa peti simpanan ini, juga dikenali sebagai Thabut sebagai suci dan merupakan simbol kepada sejarah bangsa mereka. Bani Israel malah, membawa peti Thabut itu ke medan perang. Mereka juga percaya disebabkan peti itu, Allah memelihara mereka dari serangan musuh. Mereka percaya peti itu dapat memberikan ketenangan fikiran, kekuatan, dan menimbulkan rasa gerun di hati musuh. Antara lain, mereka juga percaya ada unsur magis dan kuasa istimewa yang diberikan oleh Allah”.
“Apa jadi pada peti tersebut Ustaz?” Alif mencelah. Semua mata memandang kepada Alif.
“Mana PSP kau Alif?” Asytar bertanya sinis sambil yang lain mengekeh-ngekeh tidak berbunyi.
Ustaz Fadi Khudan kelihatan sedikit keliru tidak memahami lucu yang sedang diperkatakan Shafiq dan yang lain-lain. Kiffiyeh di leher Ustaz Fadi Khudan dikemaskan.
“Saya juga percaya Thabut adalah salah satu keistimewaan dan kurnia yang diberikan Allah kepada bangsa Israel. Seperti yang dianggap mereka, Thabut suatu benda keramat yang dapat menginspirasikan kekuatan dan keberanian. Walaupun begitu, bila mana Bani Israel mula menyimpang dari ajaran yang dibawakan oleh Nabi Musa dan Harun, membelakangkan perundangan Allah, melakukan perbuatan keji dan jahat, Allah kemudiannya menghantar bangsa Palestin dan mengalahkan mereka". Ustaz Fadi Khudan menelan liur, kemudian menyambug.
"Thabut mereka diambil, akhirnya mereka bertebaran dan berpecah belah. Tiada lagi semangat juang, tiada satu benda pun yang dapat menyatukan Bani Israel, kerana sumber kepercayaan dan keyakinan mereka iaitu Thabut telah pun hilang".
Jemaah semakin ramai, tetapi kumpulan pelajar terebut masih belum mahu bubar.
"Sebelum Bani Israel dikalahkan oleh bangsa Palestina, mereka mempunyai pemimpin iaitu Yusya’ bin Nun. Mereka selalu menjadi sasaran penyerbuan dan serangan dari bangsa-bangsa sekeliling seperti suku Amaliqah dan Aramiyin. Meski, mereka tetap dapat bertahan sehinggalah penyerbuan dari bangsa Palestin. Kekalahan Bani Israel kepada bangsa Palestin adalah akibat kerana mereka derhaka terhadap perintah Allah, melakukan perbuatan jahat dan kerosakan di bumi. Mereka juga dihukum dengan kehilangan Thabut”.
“Ustaz, perlukah benda-benda materi macam Thabut untuk buat kita percaya?”
“Sudah begitu sifat manusia Shafiq, untuk kebanyakkan manusia ia perlu, malah sangat perlu. Hanya dengan benda yang kita boleh indera dan rasa kehadiran sahaja yang boleh membuatkan manusia percaya. Manusia lebih percaya kalau mereka dapat menyentuh sesuatu. Manusia juga boleh percaya kalau mereka dapat rasa sesuatu. Sebab itu zaman moden ini, saintis hanya akan percaya pada perkara yang mereka dapat buktikan di makmal. Jika sesuatu benda boleh dirasa atau diindera tetapi tidak dapat dibuktikan di makmal, itu ialah apa yang dikatakan oleh saintis moden sebagai sains maya atau pseudo sains”.
Alif mencatat. Ustaz Fadi Khudan meninjau ke arah hadapan.
Saf hadapan hampir dipenuhi jemaah. Ada yang sedang membaca Quran. Ada yang sedang solat sunat Tahiyyat masjid dua rakaat. Yang lain duduk berzikir dengan pakaian bersih. Wajah mereka kelihatan segar, mungkin semuanya mandi sunnat hari Jumaat sebelum berjemaah.
Ustaz Fadi Khudan kembali menyeluruhi kumpulan pelajar yang masih belum mahu berganjak. Hanya dari cerita guru di dalam kelas membuat mereka bersemangat dan mahu tahu.

Thursday, February 05, 2009

David dan Goliath 4

Asytar merapati Alif. Shafiq merapati Alif. Beberapa rakan sekelas yang lain juga mengelilingi Alif.
Shafiq : Woi, bagilah aku tengok juga.
Alif : Apa ni tolak-tolak.
Asytar : Janganlah berlagak sebab kau seorang ada PSP.
Alif : Kau ingat skrin PSP aku ini besar sangat ke macam skrin LCD 23 inci komputer Shafiq?
Shafiq : Sudah-sudah. Cikgu sudah muat naik cerita David dan Goliath ke?
Alif : Ada ni.
Shafiq : Wah, bagus juga PSP ni ye, boleh melayari internet di mana-mana.
Alif : Kau ingat aku main Ben 10 sahaja ke dengan PSP ini. Dengar ayat Quran pun boleh, baca tafsir Quran dan Hadith boleh, tengok cerita pun boleh. Ambil gambar pun boleh.
Asytar : Shafiq, Alif, kalau kamu berdua setakat mahu merapu, bak sini PSP tu biar aku baca apa yang Cikgu tulis mengenai David dan Goliath.
Alif : Pertama, back of, kali ini aku pula jadi hero. Jadi, aku yang akan baca.
Shafiq, Asytar dan kawan-kawan yang lain mengerumuni Alif. Mereka berebut meihat skrin yang kecil.
Alif : Boleh tidak kamu semua duduk jauh-jauh sikit. Aku akan baca kuat-kuat biar semua orang dengar.
Kumpulan bubar. Masing-masing duduk di tempat sendiri. Slot satu jam yang ditinggalkan Guru Bahasa Inggeris membolehkan mereka memenuhkan dengan cerita David dan Goliath yang baru. Masing-masing memasang telinga. Alif mengambil tempat di depan. Sambil menekan-nekan kekunci di PSP kemudian berdehem dua kali, Alif membaca dengan kuat supaya dapat didengar kelas.
‘Ada persoalan besar yang dibawakan dalam kisah David dan Goliath. Sebelum itu, sebelum anak batu David menembusi topeng besi Goliath dan menyebabkan Goliath jatuh tersungkur seperti ‘Amr bin Abdu Wudd Al’ Amiri, tiga watak penting yang perlu dikenali.
1. David atau Nabi Daud as
2. Goliath atau Jalut
3. Saul’s atau Thalut
Saul ialah Raja Bani Israel yang dilantik Nabi Samuel (Shammil) untuk mengetuai tentera Bani Israel untuk merebut tanah Palestin. Saul asalnya orang kebanyakkan yang diangkat menjadi Raja. Kerana Saul rakyat biasa, Bani Israel menolak pilihan Nabi Samuel kerana mereka merasakan Saul tidak berkelayakkan. Perlu diingat, Bani Israel inilah yang datang kepada Nabi Samuel dan memohon baginda memilih Raja supaya mereka boleh mobilisi tentera untuk melawan orang Palestin.
Ayat-ayat tentang perlantikkan Saul, penolakan Bani Israel terhadap kepimpinan Saul, penolakkan kepada mobilisi tentera ke tanah Palestin, boleh disemak dalam Quran. Surah Al Baqarah ayat 246, 247 dan 248’.
Asytar : Apa lagi Alif, bukalah Quran dalam PSP kau ini.
Alif : Pelayan perlahan, susah hendak buka 2 atau 3 tetingkap sekali.
Asytar : Cakap letup-letup. Boleh baca Quranlah,boleh baca tafsir Quran lah.
Shafiq : Assalamualaikum kawan-kawan. Boleh tidak kamu berdua jangan bergaduh. Alif, lebih baik kau teruskan.
‘Bani Israel hanya menerima Saul sekiranya mereka diberikan tanda. Tanda yang mengesahkan bahawa pilihan Nabi Samuel itulah juga pilihan Allah. Lalu Nabi Samuel memberitahu kepada Bani Israel, satu tanda autoriti akan di datangkan di mata mereka, dan itu akan menunjukkan Saul adalah Raja yang sah ke atas Bani Israel. Tanda itu seperti yang diketahui umum ialah sebuah peti, yang dikenali sebagai Thabut atau juga dikenali sebagai the Ark of Covenant.
Apa istimewanya peti ini?
Peti ini adalah peti tempat menyimpan Kitab Taurat yang diterima Nabi Musa. The relics that have been left by the family of Moses and family of Aaron, carried by angels.
Itulah simbol untuk Bani Israel untuk buat mereka percaya’.
Asytar : Kenapa berhenti?
Alif pucat. Kembali menekan kekunci PSP dengan pantas. Alif mengangkat kepala dan senyum. Yang lain masing-masing tidak sabar ingin tahu.

Alif : Minta maaf kawan-kawan, bateri sudah habis.

Wednesday, February 04, 2009

David dan Goliath 3

S : Saya bukan tunjuk pada kamu gambar-gambar ini untuk menakutkan kamu. Perkara ini boleh sahaja terjadi pada kita jika kita tidak berhati-hati. Hari ini, berlaku di Lebanon dan Ghazzah, esok lusa kita sendiri tidak dapat menjamin apa yang akan terjadi.
Shafiq : Cikgu, Asytar ada sebut pasal duel, duel itu apa cikgu?
S : Asytar, kamu hendak jawab.
Asytar : Duel itu perang tanding. Orang zaman dulu-dulu masa perang memang biasa duel. Mereka akan cabar mencabar dulu, kemudian orang terkuat dari pasukan masing-masing akan keluar untuk mencabar kekuatan, one to one. Fist on fist. Pedang dengan pedang. Mereka akan bertanding sehingga salah seorang tewas. Hero yang menang akan menguatkan motivasi pasukan. Dalam sejarah Islam, kesatria duel paling terkemuka ialah Ali bin Abi Talib. Saidina Ali pernah menumbangkan kesatria Quraisy Mekkah paling perkasa, iaitu ‘Amr bin Abdu Wudd di perang Ahzab. Dalam cerita Troy pun ada babak duel. Antaranya Paris yang dilakonkan oleh Orlando Bloom dengan Agamemnon, Raja Myceneans.
Alif : Kejap-kejap, Cikgu boleh saya tanya Asytar pasal perang Khandak?
S : Saya tidak kisah, tapi lambat lagi nampaknya akan habis cerita David dan Goliath ni. Asytar, ceritakan.
Asytar : Alif itu pun kau tidak tahu. Bacalah lain kali.
S : Ewah, ewah wah wah Asytar, apa kata saya dulu, ilmu untuk dikongsikan.
Kelas mentertawakan Asytar.
Asytar : Kita kena bayangkan zaman Nabi ni. Lebih kurang tahun 600 Masihi, kaum muslimin di Kota Madinah. Masa itu tentera Quraisy Makkah memobilisi tentera yang ramai untuk menyerang Madinah. Mereka membawa tentera lebih kurang 10, 000 orang yang terdiri dari pelbagai suku dan qabilah. Tujuannya untuk menghabisi sama sekali pengaruh Rasulullah di tanah Arab. Jika Madinah tewas, maka tewaslah Islam dan kaum Muslimin secara keseluruhan.
Ika mengangkat tangan.
Ika : Perang Ahzab ini dikenali sebagai perang Khandak jugakan? Yang mana mereka gali parit di sekeliling kota untuk menangkis serangan pihak Musyrikin Makkah.
Asytar : Betul-betul. Lepas itu…
Alif : Lepas tu apa?
Asytar : Saya sudah lupa. Ika potong terus hilang ingatan.
Shafiq yang tembam menolak bahu Asytar. Asytar terdorong ke depan. Yang lain-lain berbisik, kelas kembali meriah. Cikgu meraut kening dan senyum sinis. Anak-anak ini punyai sikap luar biasa terhadap cerita. Semangat lain macam. Yang selalu tidur pun akan berjaga. Biji mata bulat macam gerhana.
S : Saya cuba ingatkan awak Asytar. Salman al Farisi, lelaki yang mencari agama dari Parsi yang mencadangkan untuk digali tanah disekeliling Kota Madinah untuk menghalang musuh masuk.
Asytar : Betul Cikgu, betul. Baru saya ingat balik. Pada masa itu, strategi perangnya ialah bertahan di Kota Madinah sendiri. Untuk mengelakkan musuh masuk, parit di bina sebagai strategi perang yang diimport dari pengalaman orang-orang Parsi. Dalam kisah sejarah ini, Salman al Farisi heronya.
S : Apa pentingnya parit di sekeliling kota itu Asytar?
Asytar : Cikgu, kalau saya salah nanti Cikgu betulkan ya. Taktik ini tidak pernah pun dijumpai di mana-mana peperangan di kalangan orang-orang Arab. Bila tentera musuh yang ramai ini sampai di Madinah, semua terkejut melihat parit telah di bina di sekeliling kota. Orang Makkah kata, orang Islam pengecut sebab buat parit. Padahal itu adalah strategi, strategi. Betul Cikgu.
Cikgu mengangguk. Mata dijelingkan ke arah jam di pengelangan tangan. Muka Cikgu kembali tenang.
Alif : Eh Asytar, bila kau hendak cerita pasal perang tanding ini.
Asytar : Alif, boleh tidak kau sabar.
Alif : Macamlah kau sabar sangat, kan Cikgu?
Ada henjutan di bahu Cikgu di hujung leteran Alif.
Alif : Cikgu, saya cerita balik. ‘Amr bin Abdu Wudd Al’ Amiri ini ialah seorang kesatria Quraisy yang terkenal ulung. Dia adalah seorang perajurit berkuda, bukan tentera infantri. Paling mahir menggunakan pedang dan tombak. Bila suasana jadi genting, ‘Amr bergerak ke arah paling sempit parit yang digali. Dia ini bukan setakat mahir bermain pedang, mulut pun boleh tahan juga. ‘Amr pun menjerit mencabar perang tanding. Tetapi tidak ada seorang pun berani maju. Sebab ‘Amr sudah masyhur namanya sebagai jagoh perang tanding di tanah Arab. Kalau zaman sekarang ini macam Nadal yang menang Australian Open mengalahkan Federer. Ringkas cerita, Ali yang menawarkan diri untuk berhadapan dengan ‘Amr. Ali dengan pedang Dzulfikri eh silap, Dzul Fiqar dengan daya refleks yang tinggi, mengangkat pedang tinggi dan membelah dua bahu ‘Amr. Apalagi, terbelah dualah ‘Amr lalu jatuh dari kuda dan menggelepar di tanah bermandi darah dan debu. Itulah contoh perang tanding atau duel, Cikgu.
S : Terima kasih Asytar dengan penerangan panjang lebar kamu tentang perang tanding atau duel. Shafiq, kamu sudah faham mengenai duel.
Shafiq : Sudah faham Makju, opss, Cikgu. Terima kasih Asytar.
Asytar tersengih bangga. Cikgu menggeleng-geleng kepala. Cerita tentang David dan Goliath entah bila jumpa titik akhirnya.
S : Kelas, saya akan muat naik cerita David dan Goliath nanti di laman web. Kamu muat turun dan kemudian baca. Jika mahu berbincang, kita akan berbincang di sesi akan datang. Buat masa sekarang, saya akan syarah mengenai mineral dan batuan.
Muka masing-masing kelat mencuka.

Tuesday, February 03, 2009

aku mahu saksi

Juang
tuntut pengorbanan
korban
juang
aku tidak tahu

tapi malam
direnggut sendu
membunyikan genta
bersambung-sambung
dalam marak membakar
darah yang mahu tumpah

mahu menyaksi
seperti Nabi
lalu relakanlah
leher digoyok
di hujung pedang bapa

aku saksi
lalu percaya
bukankah kau Imam?

buka tutup mata
aku rela

buang baju
jangan sampai jadi sendu ibu

tajamkan pisau
agar cepat pergi
tanpa sempat
melukakan sukma

buka tutup mata
agar aku jadi saksi
penyerahanmu
menyerahkanku
kerana kita
sama-sama menyerah

buka tutup mata
aku ingin lihat kamu
dan menyaksi
kamu lihat aku
tunduk menyerah

buka tutup mata
di tempat letak tenggorok
agar bisa dilihat tanah itu
yang menyambut kepala

hanya itu bekal
sang penyaksi

letak pisau belati
di kulit leher
benam
putuskan merih

di hujung
aku bernafas
Hu!