David dan Goliath 3

S : Saya bukan tunjuk pada kamu gambar-gambar ini untuk menakutkan kamu. Perkara ini boleh sahaja terjadi pada kita jika kita tidak berhati-hati. Hari ini, berlaku di Lebanon dan Ghazzah, esok lusa kita sendiri tidak dapat menjamin apa yang akan terjadi.
Shafiq : Cikgu, Asytar ada sebut pasal duel, duel itu apa cikgu?
S : Asytar, kamu hendak jawab.
Asytar : Duel itu perang tanding. Orang zaman dulu-dulu masa perang memang biasa duel. Mereka akan cabar mencabar dulu, kemudian orang terkuat dari pasukan masing-masing akan keluar untuk mencabar kekuatan, one to one. Fist on fist. Pedang dengan pedang. Mereka akan bertanding sehingga salah seorang tewas. Hero yang menang akan menguatkan motivasi pasukan. Dalam sejarah Islam, kesatria duel paling terkemuka ialah Ali bin Abi Talib. Saidina Ali pernah menumbangkan kesatria Quraisy Mekkah paling perkasa, iaitu ‘Amr bin Abdu Wudd di perang Ahzab. Dalam cerita Troy pun ada babak duel. Antaranya Paris yang dilakonkan oleh Orlando Bloom dengan Agamemnon, Raja Myceneans.
Alif : Kejap-kejap, Cikgu boleh saya tanya Asytar pasal perang Khandak?
S : Saya tidak kisah, tapi lambat lagi nampaknya akan habis cerita David dan Goliath ni. Asytar, ceritakan.
Asytar : Alif itu pun kau tidak tahu. Bacalah lain kali.
S : Ewah, ewah wah wah Asytar, apa kata saya dulu, ilmu untuk dikongsikan.
Kelas mentertawakan Asytar.
Asytar : Kita kena bayangkan zaman Nabi ni. Lebih kurang tahun 600 Masihi, kaum muslimin di Kota Madinah. Masa itu tentera Quraisy Makkah memobilisi tentera yang ramai untuk menyerang Madinah. Mereka membawa tentera lebih kurang 10, 000 orang yang terdiri dari pelbagai suku dan qabilah. Tujuannya untuk menghabisi sama sekali pengaruh Rasulullah di tanah Arab. Jika Madinah tewas, maka tewaslah Islam dan kaum Muslimin secara keseluruhan.
Ika mengangkat tangan.
Ika : Perang Ahzab ini dikenali sebagai perang Khandak jugakan? Yang mana mereka gali parit di sekeliling kota untuk menangkis serangan pihak Musyrikin Makkah.
Asytar : Betul-betul. Lepas itu…
Alif : Lepas tu apa?
Asytar : Saya sudah lupa. Ika potong terus hilang ingatan.
Shafiq yang tembam menolak bahu Asytar. Asytar terdorong ke depan. Yang lain-lain berbisik, kelas kembali meriah. Cikgu meraut kening dan senyum sinis. Anak-anak ini punyai sikap luar biasa terhadap cerita. Semangat lain macam. Yang selalu tidur pun akan berjaga. Biji mata bulat macam gerhana.
S : Saya cuba ingatkan awak Asytar. Salman al Farisi, lelaki yang mencari agama dari Parsi yang mencadangkan untuk digali tanah disekeliling Kota Madinah untuk menghalang musuh masuk.
Asytar : Betul Cikgu, betul. Baru saya ingat balik. Pada masa itu, strategi perangnya ialah bertahan di Kota Madinah sendiri. Untuk mengelakkan musuh masuk, parit di bina sebagai strategi perang yang diimport dari pengalaman orang-orang Parsi. Dalam kisah sejarah ini, Salman al Farisi heronya.
S : Apa pentingnya parit di sekeliling kota itu Asytar?
Asytar : Cikgu, kalau saya salah nanti Cikgu betulkan ya. Taktik ini tidak pernah pun dijumpai di mana-mana peperangan di kalangan orang-orang Arab. Bila tentera musuh yang ramai ini sampai di Madinah, semua terkejut melihat parit telah di bina di sekeliling kota. Orang Makkah kata, orang Islam pengecut sebab buat parit. Padahal itu adalah strategi, strategi. Betul Cikgu.
Cikgu mengangguk. Mata dijelingkan ke arah jam di pengelangan tangan. Muka Cikgu kembali tenang.
Alif : Eh Asytar, bila kau hendak cerita pasal perang tanding ini.
Asytar : Alif, boleh tidak kau sabar.
Alif : Macamlah kau sabar sangat, kan Cikgu?
Ada henjutan di bahu Cikgu di hujung leteran Alif.
Alif : Cikgu, saya cerita balik. ‘Amr bin Abdu Wudd Al’ Amiri ini ialah seorang kesatria Quraisy yang terkenal ulung. Dia adalah seorang perajurit berkuda, bukan tentera infantri. Paling mahir menggunakan pedang dan tombak. Bila suasana jadi genting, ‘Amr bergerak ke arah paling sempit parit yang digali. Dia ini bukan setakat mahir bermain pedang, mulut pun boleh tahan juga. ‘Amr pun menjerit mencabar perang tanding. Tetapi tidak ada seorang pun berani maju. Sebab ‘Amr sudah masyhur namanya sebagai jagoh perang tanding di tanah Arab. Kalau zaman sekarang ini macam Nadal yang menang Australian Open mengalahkan Federer. Ringkas cerita, Ali yang menawarkan diri untuk berhadapan dengan ‘Amr. Ali dengan pedang Dzulfikri eh silap, Dzul Fiqar dengan daya refleks yang tinggi, mengangkat pedang tinggi dan membelah dua bahu ‘Amr. Apalagi, terbelah dualah ‘Amr lalu jatuh dari kuda dan menggelepar di tanah bermandi darah dan debu. Itulah contoh perang tanding atau duel, Cikgu.
S : Terima kasih Asytar dengan penerangan panjang lebar kamu tentang perang tanding atau duel. Shafiq, kamu sudah faham mengenai duel.
Shafiq : Sudah faham Makju, opss, Cikgu. Terima kasih Asytar.
Asytar tersengih bangga. Cikgu menggeleng-geleng kepala. Cerita tentang David dan Goliath entah bila jumpa titik akhirnya.
S : Kelas, saya akan muat naik cerita David dan Goliath nanti di laman web. Kamu muat turun dan kemudian baca. Jika mahu berbincang, kita akan berbincang di sesi akan datang. Buat masa sekarang, saya akan syarah mengenai mineral dan batuan.
Muka masing-masing kelat mencuka.

Comments

ieka said…
err..kat mana link cerita tu cikgu? :P

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah