David dan Goliath 5

Dalam keadaan paling getir, bateri boleh habis. Alif mengeluh sendiri. Alif berkira-kira, lewat petang baru dapat pulang ke kolej. Sampai di kolej, perlu menunggu satu atau dua jam untuk cas semula, baru boleh PSP dinyalakan kembali. Teknologi, secanggih mana sekalipun boleh ditewaskan hanya kerana tidak mempunyai bekalan tenaga yang cukup.
“Cukup umur nanti aku akan cipta PSP yang menggunakan tenaga solar, barulah canggih namanya”, Alif menyimpan cita, mengelamun, sambil senyum sendiri.
Hari ini hari Jumaat. Alif bercadang akan duduk di saf paling hadapan. Usai membentang sejadah, Alif menunggu. Mana-mana Ustaz yang akan datang nanti mengimami solat di surau Awis Al Qarni, Alif akan jumpa dan duduk bertalaqqi depan berdepan. Alif mahu belajar mengenai David dan Goliath. Biar Asytar dan Shafiq ketinggalan. Bagus kalau ada Ustaz Johari atau Ustaz Zaki yang mempunyai mata seperti pelakon Hankock, Will Smith. Atau Ustaz Asjad yang pernah bersyarah di forum perdana di televisyen. Tentu panjang lebar cerita dari ustaz-ustaz sendiri.
Dalam berfikir-fikir, Alif menoleh belakang. Shafiq dan Asytar duduk di satu sudut belakang surau Awis Al Qarni. Kawan-kawan sekelasnya lima orang juga ada. Dan mereka sedang mengerumuni Ustaz Fadi Khudan, ustaz yang berkelulusan sejarah Asia Barat, ustaz kelas agamanya. Alif menjegilkan mata tidak percaya. Dia sudah ketinggalan!
“Ustaz Fadi, apa perlunya Bani Israel untuk mempunyai Thabut sebelum pergi berperang?”, Shafiq bertanya sambil menginjak tempat duduknya merapat ke dinding supaya Alif dapat bersila dan menyertai kumpulan kecil.
“Sebelum itu, apa yang kamu faham mengenai Thabut?”
“Kata Cikgu, Thabut itu adalah peti simpanan Kitab Taurat. Dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai Ark of Covenant. Legasi yang ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Nabi Harun”, Asytar menerangkan dengan bangga. Jika Alif yang sampai lebih awal, Alif yang akan mengambil peranan menerangkan hal Thabut pada Ustaz Fadi Khudan.
“Saya terangkan apa yang diambil dari Ibnu Asakir. Thabut atau the Ark of Covenant ini adalah sebuah peti simpanan. Orang Israel percaya bahawa peti simpanan ini, juga dikenali sebagai Thabut sebagai suci dan merupakan simbol kepada sejarah bangsa mereka. Bani Israel malah, membawa peti Thabut itu ke medan perang. Mereka juga percaya disebabkan peti itu, Allah memelihara mereka dari serangan musuh. Mereka percaya peti itu dapat memberikan ketenangan fikiran, kekuatan, dan menimbulkan rasa gerun di hati musuh. Antara lain, mereka juga percaya ada unsur magis dan kuasa istimewa yang diberikan oleh Allah”.
“Apa jadi pada peti tersebut Ustaz?” Alif mencelah. Semua mata memandang kepada Alif.
“Mana PSP kau Alif?” Asytar bertanya sinis sambil yang lain mengekeh-ngekeh tidak berbunyi.
Ustaz Fadi Khudan kelihatan sedikit keliru tidak memahami lucu yang sedang diperkatakan Shafiq dan yang lain-lain. Kiffiyeh di leher Ustaz Fadi Khudan dikemaskan.
“Saya juga percaya Thabut adalah salah satu keistimewaan dan kurnia yang diberikan Allah kepada bangsa Israel. Seperti yang dianggap mereka, Thabut suatu benda keramat yang dapat menginspirasikan kekuatan dan keberanian. Walaupun begitu, bila mana Bani Israel mula menyimpang dari ajaran yang dibawakan oleh Nabi Musa dan Harun, membelakangkan perundangan Allah, melakukan perbuatan keji dan jahat, Allah kemudiannya menghantar bangsa Palestin dan mengalahkan mereka". Ustaz Fadi Khudan menelan liur, kemudian menyambug.
"Thabut mereka diambil, akhirnya mereka bertebaran dan berpecah belah. Tiada lagi semangat juang, tiada satu benda pun yang dapat menyatukan Bani Israel, kerana sumber kepercayaan dan keyakinan mereka iaitu Thabut telah pun hilang".
Jemaah semakin ramai, tetapi kumpulan pelajar terebut masih belum mahu bubar.
"Sebelum Bani Israel dikalahkan oleh bangsa Palestina, mereka mempunyai pemimpin iaitu Yusya’ bin Nun. Mereka selalu menjadi sasaran penyerbuan dan serangan dari bangsa-bangsa sekeliling seperti suku Amaliqah dan Aramiyin. Meski, mereka tetap dapat bertahan sehinggalah penyerbuan dari bangsa Palestin. Kekalahan Bani Israel kepada bangsa Palestin adalah akibat kerana mereka derhaka terhadap perintah Allah, melakukan perbuatan jahat dan kerosakan di bumi. Mereka juga dihukum dengan kehilangan Thabut”.
“Ustaz, perlukah benda-benda materi macam Thabut untuk buat kita percaya?”
“Sudah begitu sifat manusia Shafiq, untuk kebanyakkan manusia ia perlu, malah sangat perlu. Hanya dengan benda yang kita boleh indera dan rasa kehadiran sahaja yang boleh membuatkan manusia percaya. Manusia lebih percaya kalau mereka dapat menyentuh sesuatu. Manusia juga boleh percaya kalau mereka dapat rasa sesuatu. Sebab itu zaman moden ini, saintis hanya akan percaya pada perkara yang mereka dapat buktikan di makmal. Jika sesuatu benda boleh dirasa atau diindera tetapi tidak dapat dibuktikan di makmal, itu ialah apa yang dikatakan oleh saintis moden sebagai sains maya atau pseudo sains”.
Alif mencatat. Ustaz Fadi Khudan meninjau ke arah hadapan.
Saf hadapan hampir dipenuhi jemaah. Ada yang sedang membaca Quran. Ada yang sedang solat sunat Tahiyyat masjid dua rakaat. Yang lain duduk berzikir dengan pakaian bersih. Wajah mereka kelihatan segar, mungkin semuanya mandi sunnat hari Jumaat sebelum berjemaah.
Ustaz Fadi Khudan kembali menyeluruhi kumpulan pelajar yang masih belum mahu berganjak. Hanya dari cerita guru di dalam kelas membuat mereka bersemangat dan mahu tahu.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah