David dan Goliath 7

“Ustaz, perlukah benda-benda materi macam Thabut untuk buat kita percaya?”

“Sudah begitu sifat manusia Shafiq, untuk kebanyakkan manusia ia perlu, malah sangat perlu. Hanya dengan benda yang kita boleh indera dan rasa kehadiran sahaja yang boleh membuatkan manusia percaya. Manusia lebih percaya kalau mereka dapat menyentuh sesuatu. Manusia juga boleh percaya kalau mereka dapat rasa sesuatu. Sebab itu zaman moden ini, saintis hanya akan percaya pada perkara yang mereka dapat buktikan di makmal. Jika sesuatu benda boleh dirasa atau diindera tetapi tidak dapat dibuktikan di makmal, itu ialah apa yang dikatakan oleh saintis moden sebagai sains maya atau pseudo sains”.

Alif mencatat. Ustaz Fadi Khudan meninjau ke arah hadapan. Saf hadapan hampir dipenuhi jemaah. Ada yang sedang membaca Quran. Ada yang sedang solat sunat Tahiyyat masjid dua rakaat. Yang lain duduk berzikir dengan pakaian bersih. Wajah mereka kelihatan segar, mungkin semuanya mandi sunnat hari Jumaat sebelum berjemaah. Ustaz Fadi Khudan kembali menyeluruhi kumpulan pelajar yang masih belum mahu berganjak. Hanya dari cerita guru di dalam kelas membuat mereka bersemangat dan mahu tahu.

“Sebagai contoh, meski matahari diselindungkan dengan awan hitam yang berat adakah kita akan katakan bahawa matahari itu tidak ada?”

“Mestilah ada Ustaz. Sebab kita boleh lihat cahaya yang menerangi bumi. Kita juga dapat rasa kehangatan dari pancaran cahaya matahari. Meski kita tidak dapat melihat bentuk matahari secara jelas, hakikatnya matahari itu tetap ada sebab kesannya boleh kita rasa”.

“Begitulah Alif, begitulah juga apa yang berlaku kepada Bani Israel. Dengan hilangnya Thabut dari simpanan mereka, dengan mudah juga mereka hilang semangat dan kepercayaan. Sebab itu bila mana Nabi Shammil menunjuk Saul sebagai raja, susah mereka hendak percaya. Hanya setelah Saul dilantik menjadi Raja, peti Thabut kembali kepada Bani Israel. Barulah mereka percaya bahawa Saul ialah Raja yang bukan dipilih oleh Nabi Shammil atas kehendak sendiri, tetapi petunjuk langsung dari Allah”.

“Saya tahu Ustaz, sebab Saul adalah dari suku paling tidak terkemuka dari keturunan Nabi Yaakub. Secara tepatnya dari anak Nabi Yaakub, Benjamin. Saul sendiri susah hendak percaya bahawa dia yang dilantik sebagai raja kerana keturunan dia tidak ada kaitan dengan kepimpinan Bani Israel ataupun mempunyai susur galur Raja. Sementelah, Saul sendiri orang kebanyakkan dan juga tidak mempunyai harta”, Shafiq memberi pendapat. Asytar mengangguk mengeyakan. Begitu juga rakan-rakan sekelas yang lain.

“Begitulah juga Nabi Muhammad. Bukankah Rasulullah ialah seorang anak yatim, pengembala kambing yang miskin tetapi dipilih oleh Allah menjadi Rasul, pemimpin, Imam, Jeneral Perang”.

“Err, Ustaz juga Imam…”.

Ustaz Fadi Khudan pecah tawa menampakkan lesung pipit di kedua belah pipi. Mata Ustaz Fadi Khudan seakan hilang bila ketawa besar begitu. Alif tersipu malu takut tersalah tanya.

“Alif, Alif, kamu ini memang seorang anak yang lurus dan polos”. Ustaz Fadi Khudan menepuk-nepuk bahu Alif mesra mengurangkan beban rasa bersalah di dada Alif.

“Nanti di kelas, ada masa lain kita cerita panjang lebar tentang Rasulullah yang memegang jawatan tetap sebagai Imam. Memang saya imam, tetapi sementara sahaja. Sekali sekala bila Ustaz Johari tidak ada, bila Ustaz Zaki tidak ada saya jadi pengganti imam solat. Kamu juga boleh jadi Imam bila habis kelas lewat, ramai-ramai pergi ke surau Awis Al Qarni ini. Lantik seorang jadi imam, kemudian solat berjemaah. Besar pahalanya”, senyum Ustaz Fadi Khudan masih berbaki.

“Seperti juga perlantikkan Rasulullah. Orang biasa, anak yatim lagi, tidak punyai harta kekayaan, pekerjaan lamanya sebagai pengembala kambing, kamu agak bila mana Rasulullah mengisytiharkan baginda seorang Nabi, adakah orang mahu percaya?”

“Secara logik memang susah juga orang mahu percaya”, Asytar bersuara perlahan. Dua tiga orang sedang mencari saf hairan memandang kumpulan kecil bersama Ustaz Fadi Khudan.

“Kerana itu Allah juga menganugerahkan pada Nabi suatu benda yang boleh diindera”.

“Ye ke? Apa ke bendanya Ustaz? Saya tidak pernah tahu pun Nabi ada peti”, Alif melontar terus tidak bertangguh. Sekali lagi Ustaz Fadi Khudan kehilangan matanya. Kedua lesung pipit lebih nyata di pipi. Yang lain-lain turut menyertai Ustaz Fadi Khudan mentertawa Alif.

“Maaf Alif, saya bukan mahu mengetawakan kamu, tapi kamu ini lurus sangat. Saya tidak pernah pun kata Rasulullah ada peti”.

“Tapi Ustaz kata Rasulullah ada benda yang boleh diindera?”

“Benda itu ialah benda yang boleh diindera dengan telinga. Yang boleh didengari, sebab ia didatangkan dalam bentuk bacaan. Iaitu Quran Al Karim. Ingat ya, masa Rasulullah menerima Quran, ia dalam bentuk bacaan, bukan dalam bentuk buku yang kamu lihat di sekeliling surau ini”.

“Tahu Ustaz, Malaikat Jibrail yang turun dan ajarkan Rasulullah Al Quran”, Asytar menyampuk.

“Quran adalah mukjizat. Quran juga buat orang Makkah percaya Nabi adalah seorang Nabi. Mukjizat dan magis terletak pada ayat dan kandungan dalam ayat. Sebab ayat yang ada dalam Quran sedemikian indahnya sehingga orang Makkah percaya bahawa mustahil manusia boleh mencipta ayat dalam bentuk keindahan yang ultimat seperti itu. Sebab itu kelebihan ada pada ummat Nabi Muhammad”.

“Kelebihan apa Ustaz?”, kali ini Shafiq yang bertanya.

“Kalau Bani Israel perlu membawa peti ke medan perang, ummat Muhammad tidak perlu. Kerana, peti kamu di dalam ini”, Ustaz Fadi Khudan meletakkan tapak tangannya di dada Alif. Alif tercengang, muka merah. Ada serbuan rasa gerun di dada Alif.

“Jika dan hanya jika kamu membaca Quran, memahami makna, menghafaz dan menyimpannya dalam hati, itulah peti Thabut kamu. Sumber kekuatan, keyakinan, kesatuan, inspirasi magis”, Ustaz Fadi Khudan menekankan nada di hujung suara. Alif tiba-tiba rasa hebat. Tiba-tiba Alif juga mahu kiffiyeh di leher Ustaz Fadi Khudan juga berada di lehernya.

“Muco Quran lan maknane”, Shafiq memecah hening.

“Betul Shafiq, muco Quran lan maknane”, Ustaz mengeyakan.

Azan berkumandang melalui corong pembesar suara. Ustaz Fadi Khudan mematikan kata. Alif, Asytar, Shafiq dan kawan-kawan yang lain diam. Yang membelakangkan kiblat terus memusingkan badan dan mendengar seruan solat dengan khusyuk.

Alif teringat sesuatu. Alif mahu bertanya pada Ustaz Fadi Khudan. Ustaz Fadi Khudan memberi isyarat supaya terus diam. Usai Azan, Alif berbisik sesuatu ke telinga Ustaz Fadi Khudan. Ustaz Fadi Khudan mengangguk. Yang lain-lain memandang hairan. Mereka terus bubar mengambil tempat untuk mendengar khutbah.

Comments

Cikli said…
dalam siri anime kyo kara maoh, dia buat cerita ada 4 kotak yang ada banyak kuasa.
ASaL said…
tq, anime yg saya hadam isinya, hanya dr koleksi Gibli Studio, anime bersiri x smpat nak nengok. Tapi, ermmm, good idea, tq, terus ada idea nak buat sesuatu mengenai kotak.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah