Saya dan malim gunung
Malim gunung memandang, "Pertama kali mendaki?"
Saya mengangguk.
"Kali pertama memang payah." Malim gunung menghadiahkan tongkat yang digunakan untuk mendaki. Saya ingin menolak, "tidak mengapa, saya sudah biasa dengan jalan ini. Ini guna untuk awak berjalan lebih pantas."
"Terima kasih." Saya menerima tanpa ragu.
"Kenapa awak mahu mendaki gunung ini?" katanya.
"Kata orang di atas sana, pemandangannya lebih cantik. Udaranya lebih segar dan bersih. Saya mahu saksikan semua itu. Tapi saya takut tidak mampu, gunung ini terlalu tinggi."
Malim yang punya lesung pipit dan berjanggut pandak itu mengangguk. "Saya beritahu awak satu rahsia."
Saya mengangkat kening tidak sabar mendengar.
"Bila tiba di atas sana nanti, awak akan tahu ia tidak setinggi mana."
Saya tidak faham. Malim menepuk bahu saya, "Teruskan sahaja berjalan, jangan putus asa. Bila berada di sana awak akan faham kata-kata saya."
Malim meneruskan bicara, "Untuk mendaki gunung hanya dua sahaja bekal paling penting yang awak perlu bawa."
"Apa dia?"
"Kemahuan yang sungguh-sungguh dan tekad hati."
Selepas kata-kata itu, Malim meninggalkan saya. Saya menyimpan nasihatnya sungguh-sungguh. Berniat akan menawan juga gunung ini. Tongkat yang diberi semacam azimat magis. Saya dapat berjalan tanpa henti, sambil menyimpan kemas kata-katanya.
Tidak sedar bila, saya berhenti. Saya sudah berada di puncak! Dan...hari masih siang.
Semua yang diperkatakan orang semuanya benar. Semuanya benar. Semuanya sempurna. Pemandangan, cuaca, suasana. Sempurna. Saya menanggalkan beg galas dan duduk di atas rumput yang sejuk tapi mendamaikan. Saya meletakkan juga tongkat pemberian malim gunung. Termos air panas dikeluarkan. Saya memandang yang terbentang di mata tanpa jemu. Air kopi dihirup perlahan-lahan, masih panas. Allah! Saya mahu kamu juga bersama dengan saya, saat ini, di atas ini sambil minum kopi.
Saya tidak perasan bila, ada orang mengambil tempat di sebelah saya. Dia ialah Malim gunung. Dia menghadiahkan lesung pipitnya lagi.
"Betul bukan?"
"Apa dia?"
"Bila berada di atas ni, ia tidak lagi begitu tinggi."
Saya senyum balas padanya. Dalam hati saya mengulang, "Ya, bila berada di puncak ini, ia tidak lagi tinggi." Tongkat pemberian malim gunung masih berada disebelah beg galas saya. Ia begitu sempurna. Saya, malim, air kopi, siang dan gunung yang ditawan. Dalam sukma berbisik, "Awak, datanglah. Saya menunggu."
Comments
ke genting.
best gile, kalu ada DSLR lagi mahsyuk
asal
teringat pengalaman silam, sewaktu mendaki sarjana muda geologi.
sekarang, sekadar mendaki tangga LRT Pasar Seni.
hehe.
teruskan mendaki dalam arena pengarangan. :D