Musim Haji - musim menunaikan janji-janji

Haji ialah musim menunaikan janji. Samada kita mahu fikirkan atau tidak, pernah menyebut atau tidak, ia sudah termaktub dalam rukun Islam yang sewaktu kecil dulu selalu kita ulang-ulangkan.
Dewasa ini, kita tidak perlu mengulang rukun Islam yang lima lagi. Sebab kita rasa sudah cukup dewasa, sudah tahu, untuk apa menjadi seperti anak-anak kecil yang mahu mengambil peperiksaan. Menghafal dan menuturkan. Lagipun untuk peperiksaan dulu, kita sudah pun menjawabnya. Mungkin ada antara kita mendapat markah penuh sebab terlalu senang!
Baru-baru ini saya disentuh dengan kisah haji seorang kakak di Facebook. Begini kisahnya:
Setahun yang lalu, kami berenam (Kak Mah, Kak Ma, Kak Som, Kak Na, Na dan saya) sama-sama terpilih untuk menjadi duyuf al-Rahman. 3hb Oktober kami sama2 menaiki Saudia menuju ke kota Madinah al-Munawwarah.. Sama-sama sebilik di Holiday Villa. P Selepas 9 hari kami sama-sama menaiki bas ke Makkah al-Mukarramah. Sama-sama niat miqat di Bi'r 'Ali. Sama-sama menghuni tingkat 6, Hotel Masat al-Hariry berhadapan dengan Perkuburan Ma'la.. Sama-sama sekhemah di Arafah. Sama-sama sepetak di perkhemahan Mina. Sama-sama sedorm di Madinat al-Hujjaj..Selepas 47 hari, kami sama-sama pulang ke tanahair.. Dengan Kak Som, kami berpisah di KLIA..Dengan yang lain, kami berpisah di airport Pengkalan Chepa.

EId al-Fitr 1432, kami berkumpul di Kg Huda untuk menziarahi Kak Mah yang sedang sakit. Waktu itu cuma berlima, tetapi kami mencukupkan bilangan yang enam dengan membuat panggilan telefon kepada Kak Som di Nilam Puri mengucap selamat hari raya dan saling bermaaf-maafan.. Gembira dan sedih berbaur.. Kemudian kami berpisah lagi..

Entah kenapa seminggu dua ni, ingatan kepada Kak Mah kuat..Malam tadi saya dan Na bercakap tentang Kak Mah. Tiada sebarang khabar yang didengar. Hati saya kuat mendesak supaya saya telefon Kak Mah atau setidak-tidaknya Kak Na hari ni untuk bertanya khabar Kak Mah..

Sepagi menguruskan hal-hal kerja di pejabat, saya langsung terlupa..Sehinggalah petang tadi Na dengan suara penuh debar mengkhabarkan berita, Kak Mah dah tak ada.. Inna li'lLah wa inna ilayhi raji'un..

Setahun 7 hari yang lalu kami dipertemukan di musim haji, dan di musim haji juga Kak Siti Fatimah Abd Rahman meninggalkan kami untuk menemui Rabb al-'Izzati..

Allahumma'ghfir laha wa'rhamha wa'afiha wa'fu 'anha wa adkhilha al-jannah wa'j'al qabraha rawdah min riyad al-jannah
Untuk beberapa ketika saya terdiam membaca kisah ini. Ia cuma mengambil masa dari satu musim Haji, ke satu musim Haji yang lain. Tentu, saya memanjangkan doa keampunan, kepada seorang kakak yang saya tidak kenal pun tetapi kisahnya cukup terkesan untuk peringatan.
Persaudaraan dengan kenalan jemaah Haji selalu kata orang luar biasa. Ia akan menjadi tautan lebih dari sebuah keluarga. Di sana, mereka adalah keluarga terdekat, tiada yang lain lagi. Jika dipertemukan di musim Haji, berjalan di bekas-bekas jalan para Anbiya dan orang-orang soleh terdahulu, bersama untuk menyelesaikan rukun dan wajib Haji yang diperintahkan, apakah nama talian ini? Sudah tentu ia sesuatu yang telah lama dulu ditakdirkan Allah. Bila kehilangan, pasti rasanya sungguh pedih sekali.
Saya katakan kepada kenalan Facebook, “Kak mah sudah pun memenuhi janji, bertemu Allah di Mekah, kemudian kali ini bertemu Allah yang pasti. Bila dipanggil untuk meninggalkan jasad di dunia.”
Saya faham perasaan kehilangan ini. Saya juga faham perasaan perlu meredha seseorang pergi. Meski begitu pedih dan sedih, kerana saya juga mengalami.
Tahun-tahun sudah, ketika Kakak kandung saya sudah putus semangat untuk menguruskan hal pemergian Umrah untuk kami (saya, mak, adik dan anak perempuan beliau) atas satu sebab besar; anak sulung beliau meninggal dunia, iaitu sebulan sebelum kami dijadualkan pergi. Saya dapat merasakan seluruh semangat Kak Ngah hilang. Beliau tidak mahu meneruskan.
Sejak dari itu Allah memberi saya ilham untuk mengambil alih hal ehwal urusan dengan pakej Umrah. Walau saya tidak tahu banyak, tetapi cuba sehabis baik. Satu dorongan kuat ialah saya percaya bila sudah merancang ia bermakna kita sudah berjanji. Janji adatnya ditepati. Lebih-lebih lagi, dibuat demi Allah.  
Alhamdulillah seperti ditakdirkan, kami dapat pergi. Terutama untuk menyampaikan hajat mak yang terlalu lama menyimpan. Urusan Allah siapa tahu, tidak sampai setahun dari itu Kak Ngah pula dijemput Allah pulang ke alam barzakhNya. Buat saya benar mengerti, perasaan kehilangan dan merelakan pemergian. Sungguh-sungguh mengerti!
Musim Haji ini, tidak lain yang saya dapat bayangkan kecuali, di wajah para-para jemaah yang ramai berhimpun hampir 3 juta di Mekah, wajah-wajah penyempurna janji. Samada janji dibuat sepenuh sedar atau tidak, Allah tetap akan menghitungnya sebagai amal. Samada mengikhlaskan diri atau kerana ikut-ikutan, semua sudah dicatat dalam kitab amalan.
Untuk Kak Mah, ia cuma mengambil masa semusim Haji bagi menyempurnakan janji yang penghabisan di dunia ini. Kita entah berapa waktu lagi.
Allah ampunilah arwah-arwah, ampunilah kami yang tunduk berserah.  

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK