Kisah Keajaiban

Benda-benda ajaib berlaku dengan syarat mudah yang susah, "dengan syarat kamu percaya." Rakan saya yang berpergiaan ke Haraam musim Haji tahun ini, baru saya ketahui dijemput tanpa perlu membayar apa-apa pun lagi. Maksud saya, seperti mana amalan Tabung Haji (TH) yang memerlukan kita memenuhkan tabungan sebelum mendapat peluang berangkat, rakan saya yang itu sehingga sekarang masih belum melunaskan.

Sudah selesai hari-hari tasyrik, sehingga hari ini masih lagi tergantung bayaran, beliau dan suami ajaibnya sudah selesai rukun dan wajib Haji.

Banyak lagi keajaiban yang berlaku, yang saya dengar dari dia dengan mulut terlongo dan air mata berjujuran jatuh tidak dapat ditahan. Bagaimana kurnia Tuhan boleh melimpah ruah kepada hambanya, berturutan dan bagai tiada hentinya?

Hampir sahaja saya menjerit keluar dari bibir, "Allahu AKHBAR" setiap kali peristiwa-peristiwa kurniaan Tuhan diceritakan pada saya. Sungguh, begitu indah menjadi orang terpilih. Dan saya, orang yang dipilih untuk mendengar cerita dari dia, merasa terpanggil untuk berkongsi, bahawa benar keajaiban itu ada dengan syarat, "kamu percaya."

Ini bukan cerita rekaan atau permulaan dramatis dari novel picisan. Dunia ini dalam apa bentuknya, satu bentuk drama yang kita saksikan sendiri, dan alami. 

Ajaibnya, sebelum beliau berangkat, betul-betul di front gate beliau menulis dalam bentuk pesanan masuk dalam telefon genggam saya,

"Miracle does happened".

Kemudian saya menjawab balas, "I want to continue that phrase, only and only when you believe."

Masuk kembali dalam kotak dialog, "Cannot be more than agreed."

Seperti drama, indahnya ia adalah realiti. Tulisan-tulisan dia masih kekal dalam telefon genggam saya.

Saya gembira, kerana diberi peluang untuk menyaksi dan setepatnya diajak berkongsi, kisah keajaiban yang berlaku di dunia kecil kita, meski kita hanya orang biasa. Tetapi meski kita orang biasa, tetap hamba Tuhan yang bagi Dia layak untuk dipandang dan diberi perhatian. Benar kata orang, "Tuhan adalah seperti mana yang kamu sangkakan."

Allah bagi saya adalah Tuhan penuh Kasih Sayang dan Cinta. Segala perkara mustahil yang jauh dari adat, tidak semestinya berlaku kepada mereka berdarjat keNabian dan wali-wali. Allah boleh sahaja mengurniakan pada kita, tanpa hisab, tanpa perlu berhitung pun.

Bagaimana ya, rasa menjadi orang terpilih? Apa syaratnya untuk tergolong menjadi mereka yang mendapat perhatian Tuhan?

Saya juga tidak tahu.

Tetapi saya percaya, ia mesti bertitik tolak dari hati. Di situ, dialog kita dengan Tuhan didengari tanpa hijab dan tabir. Doa-doa yang dilantun di luar sejadah, dalam keadaan kita paling berharap, Allah dengar, tanpa ragu saya tahu Allah dengar.

Boleh jadi bukan amalan kita yang menjadi sandaran untuk jadi mereka yang dipilih. Boleh jadi ianya adalah maqbul doa dari ibu ayah, datuk nenek yang berdoa. Boleh jadi ia datang dari Nabi, Rasulullah sendiri yang berdoa untuk kita, ummatnya.

Subhannallah. 

Moga doa-doa mereka, Rasulullah, Nabi-nabi, wanita-wanita terpilih, wali-wali, kerabat Nabi, datuk nenek, moyang, ayah dan ibu untuk kita dimaqbulkan.

Allahumma solli ala Muhammad, wa ala ali Muhammad.

Kisah keajaiban rakan saya itu, bukan terhenti setakat yang saya tulis hari ini. Banyak lagi yang menyebabkan sebak di dada tidak dapat ditahan. Semoga kisah beliau bakal ditulis, saya akan jadi orang pertama yang mahu membacanya. 

ALLAHU AKHBAR.

Pesan untuk diri, susah bagaimana pun belajarlah untuk tunduk, taat dan percaya. Itu sahaja syarat untuk menjadi hamba Tuhan yang dikasihiNya.  

"Sami'na Ya Allah, wa ata'na." Saya dengar Ya Allah, dan saya akan mentaatiMu sepenuh jiwa, sepenuh jiwa.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK