Sejenak

Berhenti sejenak hujung minggu ini di hadapan skrin, demi untuk meraikan seorang rakan yang harap saya sudahpun sampai di tanah Haraam, insyaAllah.

Eika, nama sahabat yang saya kenali dalam kelas perbandingan agama (Friendly Comparitive Religion) tahun 2004 yang lalu. Kelas yang mengambil masa 3 bulan, tetapi hairannya kami tidak rapat sewaktu di dalam kelas dan beberapa waktu selepas itu.

Jika diambil kira dari tahun pertama kali saya jumpa dan kenal Eika, sehingga ke hari ini, pertemuan kami rasanya boleh dibilang dengan jari. Hendak kata kami sering berhubung melalui email dan SMS, tidak juga. Cuma akhir-akhir ini, bila Eika berjumpa dengan account Facebook dan bertegur sapa, kemudian kembali bertukar nombor telefon, baru boleh berhubung dengan lebih kerap.

Dia rakan yang istimewa, waktu yang kami dapat berjumpa untuk menghabiskan secawan kopi akan menyebabkan kami berbual lama. Isi perbualan akan menyebabkan bercambah-cambah ilmu dan idea yang baru. Yang memungkinkan saya melihat sesuatu dari sudut yang lain.

Tahun lepas, ketika perlu berulang alik seorang untuk solat ke Masjidil Haraam, Eika selalu meneman saya. Entah kenapa, Allah kerap menghadirkan ingatan pada Eika. Saya berdoa agar dia juga dapat melalui jalan yang saya lalui.

3 minggu yang lepas, Eika mengatakan dia tidak sanggup membaca status saya di Facebook jika ia berkenaan dengan Haji. Kata Eika, selau sahaja air mata berjujuran jatuh tanpa dapat ditahan. Rupanya rayuannya telah ditolak. Saya boleh faham perasaan, bagaimana harapan jika diletakkan terlalu tinggi, tetapi akhirnya tidak dimakbulkan. Apatah ini berkenaan untuk menunaikan janji, dan penyempurnaan seorang manusia Muslim. Rukun Islam yang kelima.

Saya katakan pada Eika, "walau apa pun, hakikatnya Eika sudah pun berada di Mekah pada musim Haji. Bila Allah mengizinkan saya ingat Eika dibanyak waktu di sana."

Saya dapat rasakan air matanya jatuh di hujung SMS dihantar. Biar di jauh sekalipun, seolah-olah saya dapat kenal hatinya.

Semalam ketika sibuk memandu di lebuhraya pantai timur, saya mendapat makluman seperti berikut, "Assalamualaikum Sis, I just want to share good news with you. I just get call at 3pm yesterday for invitation to perform Hajj, Alhamdulillah."

Hati saya serbak serta merta. Saya mahu menjawab tetapi risau sedang memandu. Berulangkali rasa kesyukuran saya panjatkan kepada Allah. Begitu lewat Eika dijemput, hari Khamis nanti adalah waktu wukuf. Bila sampai waktu itu, sudah ditanda Allah sebagai dhuyuf Ar Rahman, atau tetamu Ar Rahman.

Dia sahabat yang Allah hantarkan, tanpa perlu berjumpa kerap dan terputus hubungan banyak kali, Allah tetap mahu kami terus bersahabat.

Saya masih ingat ceritanya tentang mimpi, bahawa dia bermimpi sampai ke tanah Haraam bersama suami. Padahal waktu itu dia masih belum lagi berkahwin.

Akhirnya, mimpi jadi makbul lagi. Eika terbang ke Haraam semalam, dengan mesej akhirnya masuk dalam telefon "Sis, I'm boarding on flight now. So have to off the phone. InsyaAllah will update you later."

Ya, air mata saya sudah tidak dapat ditahan lagi. Perasaan terpilih menjadi tetamu bukan bandingan, dengan segala apa yang boleh ditawarkan dunia.

Dia seorang sahabat yang mengajar saya tentang memberi. Di waktu kami sedang bergigih untuk mendapatkan dana perbelanjaan untuk kerja-kerja kebajikan, Eika memberi sumbangan yang pada saya sangat banyak. Bukan sekali, berkali-kali. Sedang pada waktu itu saya tahu Eika dalam keadaan lebih memerlukan. Katanya, "actually I'm not that generous. Trying to believe that the best sadakah is when we have few to give."

Saya tahu Eika kelelahan mengalirkan air matanya bila tidak terpilih menjadi tetamu. Bila dipilih di saat akhir, tentu lebih lagi perasaan gembira menguasai. Mereka pergi berdua, sebagai pasangan muda yang saya tahu, benar-benar insyaAllah, Allah sendiri yang memilih.

Benar kata orang, atau kata-kata hikmah, atau memang betul-betul dalil, bahawa dalam apa-apa pun kesulitan yang kita hadapi bersedekahlah. Lagi sulit, lagi bersedekah. Buatlah apa sahaja, jika tidak dapat menyumbang material seperti wang dan barangan, sedekahlah tenaga. Sedekahlah masa. Sedekahkan kata-kata dorongan dan semangat. Sedekah senyuman. Dan paling penting sedekahkanlah DOA.

Eika membuat saya percaya, bahawa benar sedekah dengan niat yang ikhlas, adalah pemberian paling sempurna.

Hari ini, saya berhenti untuk beberapa masa dalam kesibukkan, untuk meraikan rakan istimewa saya ini, yang Allah sendiri pilih untuk kekal sebagai sahabat saya yang baik, dan lebih indah Allah sedang memilih Eika dan suami untuk menjadi tetamuNya.

"Ya Allah, berkati dan permudahkanlah perjalanan semua tetamuMu dan bakal tetamuMu. Kasihi mereka dengan kasihMu yang Maha Kasih. Ampuni kami dalam pengampunanMu dan jadikan kami hambaMu yang sempurna."

Labaikallahumma labaik Labaikala syarikala labaik. Innalhamdah wa ni'mata laka walmulk la syarikalak."

Comments

Anonymous said…
Assalamualaikum,
Air mata saya merembes membaca catatan saudari pada entri ini dan yang lepas berkenaan haji. Saya juga dapat last minute invitation tahun lepas, kurang sebulan dari tarikh bertolak. Tanggal 29 Jun tahun ini, bapa saya yang menjadi mahram haji kami, anak-anak perempuannya telah pergi mengadap Ilahi. Aturan Allah tiada siapa yang tahu.
ASaL said…
Waalaikumussalam.

Satu perkara yang paling bertuah dalam hidup saudari yang sampai bila-bila pun saya tidak akan dapat, perjalanan Haji yang ditemani oleh mahram yang bergelar Ayah.

Kami pergi bertiga, semuanya perempuan. Ada banyak masa yang saya pergi ke masjid Haraam seorang, kerana jadual period kami berbeza.

Meski pedih dan sedih dengan kehilangan Ayah saudari (dan saya pun sudah lama merasakannya tahun 2003 yang lalu), perjalanan Haji itu mengajar kita untuk rela dan redha berserah.

Yang paling penting dalam hidup ialah kenangan. Kerana apa pun yang boleh dilakukan ke atas diri kita, tiada seorang manusia pun boleh merampas kenangan itu dari kita. Perjalanan Haji bersama Ayah sendiri tentulah hadiah paling mhal yang dihadiahkan oleh Allah swt.

Saudari, adalah insan paling kaya kerana dianugerahkan kenangan dan hadiah ini. Ya aturan Allah tiada siapa tahu, kerana itu kita akan tetap rela, redha dan pasrah berserah.

Saudari, kita pergi Haji tahun yang sama :)

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?