Thursday, January 10, 2013

Memahami Perubahan - 4

Satu Soalan

Bila mana kita melihat skop perubahan itu perlu berlaku di titik rendah, untuk mencapai titik tinggi. Mereka yang selama ini di jalan salah, kembali ke jalan benar. Itu konteks mata kita melihat dan minda kita fikirkan.

Satu soalan, bagaimana mereka yang sudah berada di puncak dunia? Adakah mereka tidak perlu berubah?

Ya soalan saya kepada intelektual yang sudah mencapai pencapaian tertinggi di universiti, manusia kelas atas, CEO CEO, Presiden-presiden syarikat, konglomerat, Menteri-menteri dan sudah tentu Perdana Menteri juga.

Adakah perubahan tidak perlu berlaku kepada kelas tertinggi ini?

Saya rasa mereka yang meneroka internet sebagai gerbang maklumat, sudah tentu biasa dengan imej Sultan Kelantan yang begitu luar biasa sekali bagi seorang manusia di kedudukan itu. Kedudukan Sultan sebuah negeri. Yang mempunyai penampilan tertentu dan khas, tetapi baginda memilih untuk hidup sederhana.

Kalau para intelektual dan kelas atas ini faham tentang dunia yang sentiasa berubah, mereka perlu tahu keadaan ini juga perlu berlaku kepada semua orang tanpa kecuali. Kerana itu ada pepatah, padi semakin berisi semakin tunduk. Mustahil tegak berdiri.

Bagi kita orang awam, di sinilah titik penilaian kita. Mereka yang sudah mengecapi segala kenikmatan dunia dan isinya, kesenangan di hujung perintah dan suaranya, semua harta dunia boleh ditundukkan dengan beberapa patah arahan, apa lagi yang mereka cari dalam hidup mereka?

Jika soalan itu diajukan kepada saya, saya mencari ketundukkan. 

Soalan seterusnya, ketundukkan kepada apa?

Iaitu ketundukkan kepada kebenaran.

Prof Al Mahdi 

Seorang Profesor yang saya kenali lewat karya-karya fizik dan psikologi kanak-kanak, yang mengasaskan Khalifah Metod adalah seorang atheis tegar pada mulanya.

Pernah dalam satu dewan yang menghimpunkan 300 mahasiswa (lebih kurang) beliau mencabar dunia dan seluruh isinya dengan penyataan paling bongkak yang boleh disebut oleh seorang manusia. Prof. Al Mahdi menyebut begini, "sekiranya dalam dunia ini perlu ada seorang atheis terakhir, sayalah manusia itu."

Dengan pemahaman sederhana saya, bahawa Prof Al Mahdi mustahil boleh mengakui kewujudan Tuhan, apatah lagi ketuhanan Tunggal.

Tetapi beliau manusia cendiakawan. Belajar adalah keseluruhan hidupnya. Prof Al Mahdi memiliki 1 Phd dalam bidang Fizik, dan 2 setengah Phd dalam bidang psikologi kanak-kanak. Akhirnya dalam kajian-kajian tanpa henti tentang alam dan manusia, akhirnya Prof Al Mahdi menjumpai satu kesimpulan, "bahawa Tuhan itu ada. Mustahil dunia ini tercipta tanpa Pencipta."

Ego Prof Al Mahdi tercabar. Yang diutarakan di dewan dahulu, adalah satu penyataan yang mencabar dunia dan seluruh isinya. Tetapi beliaulah yang mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Dan akhirnya, beliau tunduk kepada kebenaran.

Ego Manusia Cendiakawan

Kebenaran itu datang dengan bermacam rupa. Dengan pelbagai cara. Bila satu masa kita rasakan begitu tinggi di atas, kemudian datang kebenaran di sisi kita, apakah kita akan tunduk mengakui?

Saya menilai keaslian cendiakawan kepada nilai ketundukkan mereka kepada kebenaran. Ego adalah sifat manusia yang tidak kekal. Kita membina ego terhadap pencapaian akademik dan lain-lain, serta kedudukan dalam masyarakat. Namun kebenaran itu tidak dinilai dengan suara majoriti.

Itu hakikat kebenaran. Bukan kerana semua orang mempunyai Ijazah Sarjana Muda, kita yang tidak ada ini kurang pandai. Bukan kerana kita masih di bangku sekolah, kita tidak matang. Bukan kerana kita bekerja sendiri, nilai kita rendah daripada penjawat awam dan yang bekerja makan gaji.

Kebenaran tidak dinilai secara spatial (ruang) dan temporal (masa).

Kebenaran itu tetap kebenaran, meski di dalam dunia ini, hanya tinggal seorang yang mempertahan.

Bahawa Tuhan itu Esa hanya Allah. Bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah, yang menyampaikan kepada kita Al Quran, yang menunjukkan jalan sebagai manusia hamba, menunjuk jalan sebagai khalifah dalam segenap lapangan kehidupan. Sebagai seorang manusia, individu, dalam keluarga, dalam masyarakat, dalam kepimpinan, ekonomi, politik, komunikasi, interaksi dengan kaum dan bangsa pelbagai. Seribu satu macam cabang kehidupan manusia, Rasulullah telah tunjukkan jalannya. 

Tidak Percaya

Saya tidak percaya kepada perbezaan kelas. Nabi saya tidak pernah ajarkan itu. Jika tidak, Nabi tidak akan mengangkat Bilal sebagai orang paling mulia suaranya untuk memanggil ummat menunaikan tiang dalam syariat agama - iaitu solat. 

Bilal itu hitam, hamba, tidak hensem, malah dikatakan juga dalam tradisi, tidak mempunyai suara yang lunak. Tetapi Bilal dipilih sebagai sahabat paling mulia, paling layak untuk memanggil. 

Kerana Nabi mengajarkan kita untuk menilai dan membezakan kepada mereka yang paling tinggi nilainya, iaitu taqwa. Satu standard paling andal, adil, tidak bias. Bukan dinilai dengan sijil pendidikan, amal ibadat, tetapi berbuat dengan bersungguh-sungguh (jihad) untuk kesaksian Allah Yang Maha Tunggal (syahid). 

Berubah Dengan Ukuran Yang Benar

Belenggu hidup dan kesedihan kita, kerana ukuran dunia kita yang menindas. Kita mengukur kepada pencapaian akademik.

Bagaimana mungkin seorang kanak-kanak kaya yang mendapat semua peluang pendidikan paling baik di samakan dengan kanak-kanak yang telah kehilangan ibu dan ayah, yang miskin dan tidak mempunyai pendidikan tetap?

Bagaimana kita hidup di dunia aman akan dibezakan dengan mereka yang dipenjara dalam penjara terbesar dunia dan sentiasa diancam dengan rudal dan pesawat terbang?

Di sinilah kita saksikan keadilan Tuhan. Kekurangan dan kelebihan ini, Tuhan izinkan agar kita sentiasa mengisi dan berkongsi. Mereka yang dilebihkan akan mencapai martabat taqwa dengan sifat rendah diri dan kedermawanan mereka. Mereka yang diancam kekurangan mencapai martabat taqwa dengan kesabaran dan bersyukur menerima dari rakan-rakan dermawan.

Itulah yang ditunjukkan dalam Al Quran, Tuhan ciptakan kita dengan pelbagai rencam bangsa, budaya, latar belakang, kelebihan dan kekurangan supaya kita saling berkenal. Hubungan sesama manusia yang diuji kepada kita.

Kembalilah kita kepada standard ukuran yang paling adil, kita tidak akan lagi berlarutan dalam derita. Bila kita saling mengisi dan berkongsi, dunia ini bukankah akan jadi lebih indah?

Ketika mana masalah ibu tunggal dan anak-anak gelandangan, dalam lipatan sejarah kita pernah diceritakan tentang Imam Ali. Begitu khidmat Imam untuk memberi makan janda-janda dan anak-anak yatim di dalam komuniti. Tetapi mereka tidak pernah tahu siapa yang memberi khidmat. Sehinggalah Imam Ali wafat, mereka sudah tidak menerima jatah makanan mereka untuk hari itu, dan seterus-seterusnya. Baharulah mereka tahu, Imam Ali yang telah memerhatikan mereka sebelum ini. Seperti yang diceritakan dalam blog Kisahteladan.com.

Gambar dari KisahTeladan.com
Imam Ali seorang lelaki yang sangat heroik. Maskulinnya terserlah di medan perang sebagai perajurit barisan depan yang akan paling awal menawarkan diri untuk duel (perang tanding), orang yang merobohkan pintu kota di perang Khaybar, sangat menggerunkan kawan dan lawan tetapi mempunyai hati yang basah ketika mana mereka yang ditindas di depan realiti Imam.

Ukuran itu seperti mana ditulis dalam Al Quran, yang paling mulia (akram) di sisi Allah, ialah yang paling taqwanya di kalangan kamu. "Inna akramakun 'inda (al)laahi atqakum." Al Hujurat: 13 (dipetik dari FB Anas Alam).

Pelajaran Dari Ghazzah

Saya suka menonton TV Al Hijrah. Satu slot tentang sukarelawan Institute Relief Malaysia (IRF) berkongsi cerita tentang ibu tunggal dengan 7 orang anak lelaki yang kehilangan Ayah di Ghazzah. Mereka semua dalam keadaan baik-baik dan terpelihara.

Sukarelawan itu menceritakan kekaguman, bagaimana seorang wanita dapat memelihara anak lelaki yang begitu ramai. Dengan negara yang serba kekurangan, ancaman perang, ekonomi yang tidak stabil, serta gugatan dari Zionis Yahudi. Perkongsian sukarelawan tersebut masih bergaung dalam kepala saya sehingga sekarang, kata beliau, "di Ghazzah anak-anak yatim ini dibesarkan secara bersama oleh anggota masyarakat di tempat mereka."

Allah. Tiada kata, hanya air mata.

Jika negara kita lebih indah seperti Ghazzah, kita mungkin tidak perlu menatap mata anak-anak yang mengharap kasih sayang kerana sudah kehilangan ibu dan ayah. Juga kita tidak perlu mendengar ratapan anak-anak yang telah dipotong lidah oleh ibu bapa sendiri kerana ego menguasai rasional, sifat binatang menguasai sifat kemanusian. Atau melihat mereka yang diberi perlindungan kerana keluarga bermasalah sehingga perlu dijauhkan dari keluarga sendiri.

Semoga Tuhan menyalakan pelita di hati-hati kita. Sehingga ia bercahaya dan menerangi. Bukan untuk diri sendiri, malah untuk keluarga, masyarakat dan negara. Itu nilai patriotik yang lebih saya sanjungi.

Ada dua cara untuk menerangi ruang,

"Jadilah lilin yang menerangi, atau jadilah cermin yang memantulkan cahaya lilin itu."

**********

No comments: