Thursday, January 31, 2013

Pelajaran Rezeki 1

Semalam taip-taip sebab rasa macam dah lama tak menulis, sekali terpanjang pula untuk entri kali ini. Kena pecah-pecahkan la pulak ye, nanti pening berpinor pulak membacanya yob.

*****

Saya pernah berbual panjang dengan seseorang yang menyesali rezekinya. Telah dua kali dia mencuba menghantar borang untuk kenaikkan pangkat. Setiap kali mencuba, syarat berubah. Menyebabkan dia perlu menunggu lagi, sehingga semua syarat telah dipenuhi. Satu ayat yang telah dikeluarkan bergaung dalam kepala sampai sekarang, “aku rasa seperti rezeki aku disekat.”

Ketika dia menyebut itu, saya terdiam. Tiada kata yang boleh saya sampaikan kerana di waktu itu ternyata dia sedang berburuk sangka dengan Tuhan. Bilik yang dingin saya rasakan begitu hangat.

Melihat perubahan wajah saya yang begitu ketara mungkin, dia akhirnya meredakan keadaan, “aku tahu tak baik aku fikir macam ni, tetapi entahlah kadang-kadang fikiran macam tu memang datang.”

Saya masih tidak respon. Memandangkan saya tahu dia boleh mendapatkan bayaran 4 angka bila dipanggil membuat konsultansi. Saya sendiri belum pernah mendapat peluang seperti itu. Dia menyambung, “tapi bila fikir panjang yang aku dapat job consultancy, tak apalah. Sepatutnya aku lebih bersyukurkan?” kata-kata yang saya tidak tahu hendak meredakan hati saya atau dia. Tetapi aura tidak puas hati itu masih tidak lepas, masih berlegar-legar di bilik kecil yang cantik itu.

Itu yang masih saya simpan dan bergaung dalam cepu fikiran. Kalau perlu kisah itu berulang, sampai sekarang pun belum tentu saya tahu mahu respon apa.

Saya selalu ingat ada satu pesan yang diulang-ulang dalam buku motivasi, “Tuhan seperti mana yang kamu sangkakan.”

Saya tinggalkan dulu kawan di atas, saya mahu refleks kepada pelajaran rezeki lain yang saya alami. Ramai juga orang bertanya, kenapa saya mengambil pendekatan berbeza sekarang. Berkongsi di mana ada kesempatan dan ruang. Sudahkah saya ceritakan, yang saya hanya mahu menjadi orang yang bersyukur?

Tidak ada sebab untuk tidak bersyukur, saya selalu di kelilingi orang hebat. Lebih dari itu saya menghargai kerana mereka adalah orang-orang hebat yang menjunjung nilai universal. Meski apa pun yang berlaku pada diri mereka, dihinakan, dikhianati, disudut dan dipencil, ditikam belakang, dibenci, namun peribadi mereka tidak goyah. Nilai yang dipakai tidak akan ditawar-tawar. Selalu berjujur dan merendahkan diri, seperti contoh yang ditunjukkan oleh Muhammad sebelum keRasulan baginda, menjadi seorang Al Amin.

Mereka, yang mengelilingi saya, adalah orang-orang terpercaya.

*****


Pelajaran Rezeki 1

Beliau tidak syak lagi antara orang yang paling saya hormati. Seorang Profesor dengan segala macam gelar dan sanjungan akademik (Dr.), professional (Ir., Sr.,) dan spiritual (Hj.) (tetapi hairan, beliau masih belum diiktiraf sebagai negarawan untuk digelar Datuk). Selalu tunduk dan tidak pernah lelah berkongsi. Pesan khas beliau jika dipanggil untuk menyampaikan syarahan adalah tentang slip gaji.

“Saya akan mencetak slip gaji dan diletakkan di atas meja.”

Kami semua senyum. Tentu ramai orang berfikir macam-macam, tentang berapa jumlah, mengapa perlu ditayangkan slip gaji, adakah beliau berbangga dengan apa yang diperoleh dan lain-lain lagi.

Prof menyentakkan fikiran sedar saya, “setiap hari masuk bekerja, saya akan bertanya, apakah apa yang saya lakukan melayakkan saya mendapat bayaran ini?”

Audien diam. Tidak ramai mempunyai pemikiran seperti beliau, termasuk saya.

“Pernah tidak bayaran gaji kita dilewatkan? Tidak pernahkan. Pernah tidak bila tiba waktunya, kita tekan ATM bank, gaji kita tidak masuk? Tidak pernah berlaku kan? Setiap bulan majikan menjalankan tugas mereka, mengapa kita sering mengeluh mengenai tugas kita?”

Selanjutnya Prof memberi pesan, “setiap tahun pun gaji kita akan dinaikkan. Tidak pernah pun tidak berganjak. Kalau kita diberi peningkatan gaji, kenapa kita tidak pernah mempersoal yang kerja kita tidak pernah berubah dan ditingkatkan? Kita selesa mengulang kerja yang sama, hampir statik jika dinilai dari tahun sebelum-sebelum. Adakah adil begitu, gaji naik tetapi kerja tidak bertambah produktif?”

Sudah 2-3 tahun lepas beliau berpesan begitu, saya masih lagi ingat. Saya pasti beliau tidak pernah memperlahankan kakinya, kerana beliau tidak pernah gagal mendapat geran penyelidikan yang dihimpunkan bernilai jutaan ringgit.

Beliau adalah genius terhebat yang pernah saya jumpai, dan untuk beliau dikurniakan gelar berjela seperti itu, saya tidak pernah sekali pun ragu. 




(setelah diedit-edit, jadi 4 entri pasal Rejeki ni, haish. Idok le sedor bila menaip jadi panjang yob).

No comments: