Memahami Perubahan - 3

Rendah Diri

Harith dalam komen lepas menanyakan satu soalan "di mana rendah diri orang berwibawa?" Mempersoalkan Prof Kamil dan orang yang seperti Prof Kamil bila bercerita sering mengulang kebaikkan yang mereka lakukan. 

Terbaru bila Teach for the Needs (TFTN) keluar akhbar Metro di bawah tajuk besarnya, "Dermawan" saya sendiri seperti mahu bertanya soalan yang sama "di mana rendah diri gerakan berwibawa."

Baik saya kongsikan satu ilmu dari guru saya, yang dipetik dari pandangan pemikir besar Algeria iaitu Malik benNabi. Kata benNabi, satu-satu amalan (budaya) yang hilang dalam satu masyarakat, akan diganti dengan amalan (budaya) yang baru. Contohnya, amalan gotong royong dalam masyarakat Melayu sudah hilang, dan telah diganti dengan amalan pentingkan diri sendiri.  

Budaya simpati dan empati dalam masyarakat kita, tidak kiralah apa pun bangsa sudah lama hilang. Kerana itu dalam akhbar yang terpampang adalah budaya baru. Termasuk porno dan juga berita-berita sensasi yang mengisi tajuk-tajuk akhbar, bukan berita-berita positif dan kemanusiaan. Satu budaya hilang, diganti dengan budaya baru.

Secara sedarnya saya berpendapat, kita perlukan cerita dan berita positif dan baik setiap hari, supaya dapat menggantikan budaya negatif dan bejat dalam masyarakat kita. Atas dasar itu, dalam konteks ini saya rasa tidak salah apa yang Prof Kamil lakukan, dan juga berapa ramai tangan-tangan dan individu yang cintakan kebajikan menceritakan kisah mereka di akhbar, blog, buku, majalah dan tabloid.

Dan orang akan bertanya, di mana akan letak nilai ikhlas dan rendah diri, jika kita merelakan cerita di jaja, dan kemudian orang akan menyanjung usaha, memuji-muji dan memberi sanjungan.

Ikhlas kedudukannya seperti semut hitam, di atas batu hitam, di malam yang gelap gelita. Sesiapa yang ada ikhlas dalam hatinya, akan mengenal orang-orang yang ikhlas juga. Seperti peribahasa Melayu, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Meski ada orang akan mempersoal orang sejenis Prof Kamil, tetapi akan tetap ada juga golongan yang sangat berterima kasih kepada perkongsian yang beliau lakukan, atas dasar lebih ramai orang sendiri terdorong berubah kerana usaha kecilnya yang tidak signifikan itu. Bagi saya, yang menjadikan usaha Prof signifikan hanya Allah, dan saya percaya Allah tidak akan menganjari kemulian begitu rupa jika zero ikhlas dalam dada Prof.

benNabi

Saya percaya yang diusulkan benNabi. Kerana itu banyak kebaikkan dalam masyarakat kita telah hilang entah pergi ke mana. Ramai dari kita pekikan kehilangan itu dan ini, membandingkan zaman dulu dan kini, membandingkan kebaikkan dulu dan kejahatan sekarang.

Jerit dan pekik tidak berguna. Yang perlu ada adalah tindakan untuk mengubah.

Satu budaya akan hilang dan diganti dengan budaya baru. Soalnya, budaya apa yang akan kita wajahkan untuk generasi dan dunia 10-20 tahun akan datang?

Entah saya pernah dengar dari mana, lebih kurang peringatannya begini, jika kita ingin bayangkan apa akan jadi pada masa hadapan, lihatlah kepada golongan muda pada hari ini. Itulah wajah dan cermin yang akan terpantul di masa depan.

Soalnya, wajah apa yang mahu kita lihat?

Melihat Kebaikkan

Saya antara orang yang selalu jerit pekik dan terlolong dulu. Saya juga orangnya yang setiap jalan yang dilalui melihat orang-orang yang merusuh, tidak berlaku adil, selalu mendapat yang diigini dari jalan salah, semua wajah-wajah yang buruk kerana menyanjung budaya yang buruk, mereka yang mementingkan diri sendiri.

Soalnya, kenapa saya selalu melihat yang buruk-buruk sahaja?

Jawapannya saya peroleh dari laman Sohaib Webb, kerana kita tidak begitu memerhati kebaikkan. Boleh baca artikel yang baik dari website yang disebutkan di sini.

Bila saya fikirkan, di jalan-jalan yang bising, kecoh dan rusuh, rupanya ada di satu sudut seorang Profesor yang setiap hari membawa makanan untuk diberi makan kucing-kucing gelandang. Ada seorang remaja yang belum pun selesai SPM, sudah mula membaca karya-karya politik, sastera dan falsafah juga mendaftar diri untuk belajar falsafah. Di satu sudut yang lain, seorang wanita yang tidak mencitrakan wanita Muslimah sempurna (bertudung labuh+jilbab), tetapi beliaulah yang memegang prinsip Islami seperti menepati masa, menepati janji, amanah, berbuat apa pun perkara secara bersungguh-sungguh, menghormati orang lain, adil dan sentiasa mempunyai sifat kasih.

Di satu sudut yang lain, ramai golongan remaja mahasiswa, atau bukan mahasiswa yang sudah pun menyingsing lengan baju kemudian mengatakan komitmen di hadapan saya, "anak-anak yatim ini adalah sebahagian dari masyarakat, saya adalah anggota masyarakat, maka berkewajibanlah untuk saya juga membesarkan anak-anak ini dengan apa yang termampu dan terdaya di tangan saya."

Wajah Masa Depan

Dua perenggan sebelum ini adalah wajah masa depan yang saya lihat. Biar beribu komen dan cerita tentang keburukan generasi sekarang, tetapi saya tidak mahu ada rasa putus asa pun dalam jiwa. Begitu juga yang saya harapkan pada semua orang. 

Seperti mana komen anak muda terhadap anak yatim, saya juga ingin menyeru mereka yang sudah stabil dalam kehidupan supaya mengambil juga tanggungjawab dalam membentuk generasi muda remaja, kerana itulah corak masa depan yang sedang kita saksikan.

Jerit Pekik

Jerit pekik dan kritikan tajam, merendahkan martabat orang lain tidak diperlukan sekarang. Yang penting adalah budaya yang akan menggantikan budaya yang kita tidak suka dan benci. Fenomena Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don meski disalut juga dengan kritikan negatif, tetap diperlukan. Kerana gelombang kebaikkan perlu, dan seperti tsunami ia perlu ditangani dengan baik.

Jangan harap pada UAI seorang. Jangan harap pada Prof Kamil seorang. Jangan harap pada Afdlin Shauki. Di mana-mana pun jika satu saat kita faham bahawa kejadian manusia selain menjaga hubungan vertikalnya dengan Tuhan yang Mencipta dirinya, adalah untuk melestari hubungan horizontal sesama kita. 

Kerana itu 13 tahun cengkaman derita Rasulullah di Makkah, adalah cerita perlawanan membela golongan mustada'fin (tertindas), bukan kerana perbudakan semata, tetapi ditindas kebebasan mereka untuk menyembah yang paling hak, Allah Yang Esa. Kenapa Rasulullah begitu memerhatikan golongan ini, kerana ia juga sejarah yang diulang hari ini, kerana kita sendiri merasa bahawa kita diperbudak dengan segala sistem yang mencengkam. Sehingga kita tidak lagi boleh meletakkan sepenuh penghambaan kepada Allah Yang Esa, sebaliknya menghambakan diri kepada sistem ciptaan manusia.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah