Mencari Bilal
Terima kasih kepada Dr Jeffrey Lang, beliau telah membuka mata saya bagaimana seharusnya saya membaca. Membaca Al Quran, membaca sejarah, membaca alam, membaca kasih sayang keluarga dan rakan-rakan.
Bilal adalah tokoh sejarah. Orang mengaitkannya dengan tugas sebagai muezzin Rasulullah. Atau tukang azan di masjid. Tapi sejarah Bilal lebih jauh dari itu.
Bilal hanya seorang hamba. Hamba berkulit hitam, yang dipunyai oleh Umayyah. Semasa awal keIslamannya, Bilal diseksa dengan sebegitu buruk dan dahsyat. Tidak ada seorang pun makhluk zaman moden akan menyanggupi pengorbanan Bilal.
Itu cerita yang semua orang pernah dengar. Saya memandang dari sudut sejarah, kenapa pada zaman itu semua Tuan-tuan menjadi takut bila hamba mereka masuk dalam Islam. Dari segi tugasan, mereka masih melakukan tugas yang sama. Tidak membantah. Mereka tetap patuh pada tuntutan kerja.
Ada seruan lain yang Rasulullah masukkan dalam mengajak orang Makkah ke dalam agama Islam. Seruan ini yang kita pandang sepi dan jarang pedulikan. Iaitu seruan untuk menjadi mereka yang tunduk dan patuh kepada Allah, The Only One God.
Yang ditakutkan oleh Tuan-tuan ini adalah ketaatan dan kesetiaan. Mereka mahu mempunyai hamba-hamba ini, bukan setakat kederat mereka, tubuh badan mereka, malah jiwa mereka pun mereka mahu taklukkan.
Islam menawarkan mereka pembebasan sebenar, untuk tidak tunduk dalam ketaatan dan iman kecuali hanya pada Allah semata.
Adakah hari ini kita tidak melalui hari-hari Bilal? Adakah benar kita bebas dari sebarang penghambaan dan tunduk kepada The Only One? Siapa yang mempunyai tubuh, tenaga, kederat dan jiwa kita hari ini?
Semoga kita juga menjumpai jalan untuk dibebaskan, dalam ertikata sebenarnya seperti Bilal.
Comments