Gerak Dari Langit


Kita menyambut hari kanak-kanak sedunia. Ada rakan yang mendoakan agar kanak-kanak ini tidak segera besar. Kerana hadir mereka membawa bahagia, ketelusan mereka mendamaikan, mereka selalu berjujur dengan apa yang mereka rasa. Bersifat ekspresif ketika gembira, marah, sedih, dan apa-apa sahaja. Kanak-kanak selalu lucu, dan tindakan spontan mereka mendamaikan walau kadang-kadang buat kita geram.

Lain dengan kawan saya, saya selalu mendoakan anak-anak kecil ini akan segera dewasa. Saya doakan mereka punya kebolehan segera untuk dapat membeza yang buruk dan baik. Yang salah dan benar. Dalam dunia hari ini, itu bekal yang paling berharga yang boleh diberikan oleh ibu bapa, guru dan saudara mara terdekat.

Saya jadi terfikir akhir-akhir ini, bila memikirkan apa yang ada dalam masyarakat. Kita mencaci cela dan mengkritik produk drama dalam TV. Sekarang ini ditayangkan cerita drama bersiri Playboy itu Suami Aku yang disiarkan pada waktu Maghrib. Untuk manusia biasa, kita akan berperang untuk menonton atau menyahut seruan untuk beribadat. Siapa kata menonton drama tidak best? Sangat mengundang dan boleh dikatakan kecanduan juga.

Kita tahu kita sedang berperang untuk membuat pilihan. Berada depan skrin TV untuk menonton konflik apa yang berlaku hari ini (minggu ini?), atau menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Tuhan?

Bukan setakat kanak-kanak yang menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia saya doakan dapat ilmu dan kebolehan untuk membeza yang baik dan buruk, malah saya juga berdoa untuk diri sendiri, dan rakan-rakan di luar sana. Kita tidak punya ini, kerana itu kita tidak dapat memilih. Sekiranya kita ada kekuatan untuk memilih, kita tidak sekali-kali akan membuka TV waktu maghrib atau waktu-waktu yang tidak sepatutnya, to some extreme, kita mungkin akan menolak TV terus walau ada sahaja rancangan yang baik, tetapi rancangan yang tidak baik itu lebih banyak. Rancangan yang akan menghakis nilai kemanusiaan kita, yang akan menggoda kita menjadi manusia materialis, manusia konsumer (pembeli) dan manusia yang ketagihan drama dalam TV. Sedangkan drama banyak di sekeliling kita. 

Kita menangis kisah tragis dalam drama. Kita merasa simpati pada watak yang begitu menderita dan tertekan, sedang mereka hanya pelakon. Di sekitar kita banyak kisah tragis. Mereka yang tidak punya rumah dan tidak tahu hari ini ada tidak rezeki makan dan minum mereka. Mereka bukan pelakon, tetapi tidak pula kita menangis untuk mereka.

Saya rasa Muharram kali ini, tahun 2013 ini banyak mencatat kisah yang penting-penting. Yang menjentik sudut rasa saya paling dalam. Dan saya digerakkan dengan gerakan dari langit untuk mengkisahkan ini. Kisah adik Ahmad Ammar yang menjumpai jalan 'pulangnya' di bumi Turkey.

Jika mahu kenal Ammar, boleh tengok Youtube di atas untuk mengetahui serba sedikit kisahnya. Terus terang, saya tidak kenal Ammar. Saya percaya beribu-ribu orang yang like Youtube Ammar, dan share kisah Ammar di Facebook dan Twitter tidak kenal Ammar. Malah akan bertanya siapa Ammar? Tetapi sungguh janji Tuhan itu benar, bukan manusia yang perlu berusaha untuk menjadi terkenal dan popular. Sekiranya Tuhan berkehendak, manusia ceruk di Hulu Tembeling pun Allah boleh mahsyurkan seantero dunia.

Saya kira Almarhum Ammar mendapat penghormatan ini. Cukuplah untuk melihat apa yang saya lakukan sekarang ini. Saya juga tidak tahu kenapa saya perlu membuat entri khas ini. Berbanding dengan entri-entri sebelum ini, sekurang-kurangnya mereka yang saya ceritakan itu orang terkenal atau yang saya kenal. Tetapi adik Ammar ini, adalah gerak dari langit.

Ammar hanya 20 tahun. Untuk remaja 20 tahun, apa yang mereka boleh buat? Seingat saya, umur 20 tahun itu saya hanya baru berjinak-jinak untuk baca buku sejarah dan agama yang tebal-tebal. Baru hendak bermula. Tetapi Ammar sudah mengkhatamkan Rasail Nur, Said Bediuzzaman An Nursi! Dan kerana kisah Ammar ini saya kembali membuka Rasail Nur. Betapa, kematian arwah itu berkat. Bukan setakat menjentik kesedaran kita yang sudah lama beku, malah orang membaca sejarah anak muda yang singkat ini. Mereka mencatat apa-apa yang diamalkan arwah, mencatat buku-buku yang dibaca arwah, mencari tulisan tangan arwah, menyebarluaskan harapan akhirnya.

Apa kesan dari menyebar luas apa yang Ammar catat, buat dan cita-citakan? Akan ada beratus-ratus ribu lagi anak muda, masyarakat di luar sana akan terpanggil untuk mencontohi jalan Ammar. Seperti saya yang sudah mula membaca buku Letters, Bediuzzaman An Nursi.

Saya tidak dapat memetik apa yang ditulis Arwah Ammar, tetapi apa yang saya faham dari tulisan tersebut (lebih kurang) kata arwah, "untuk meneruskan khidmat dakwah ini, cukup kita mencari redha Allah. Biar semua orang pun berpaling, tetapi jika Allah redha, ia sudah mencukupi. Tidak perlu ada yang lain lagi."

Saya kira kata-katanya itu benar, dengan bukti fenomena Ammar di media sosial.

Lebih dari itu kisah Ammar ini menjentik kesedaran diri saya yang paling dalam. Membayangkan ibu dan bapa yang sudah pun berniat, Ammar ini adalah untuk Allah dan Rasulullah. Apa korban yang sedang dibuat oleh ibu dan ayah untuk niat seperti itu? Ammar ini bahkan anak tunggal lelaki dalam adik-beradiknya yang lain semua perempuan. Dan Ammar, sejak mendapat kesedaran dirinya, yang dia sedar bahawa dia belum buat yang terbaik demi Tuhan dan masyarakat sekelilingnya, merangka kembara untuk menimba ilmu. Untuk membolehkan dia mendapat kesedaran yang hakiki. Dan bagi saya, Ammar sudah lama dilengkapkan dengan kemahiran memilih. Hebat Ammar, Ammar memilih untuk memilih yang hakiki. Yang lain-lain dia sudah tidak peduli lagi.

20 tahun, jasa apa yang boleh dibuat oleh anak muda 20 tahun? Sehingga Ammar mendapat penghormatan terbaik seperti yang ditunjukkan dalam Youtube.

Rakan-rakan saya juga terkesan dengan kisah ini. Sehingga dia bercakap, kita selalu berfikir, merancang, bertindak untuk mengadakan yang terbaik untuk anak-anak. Supaya anak-anak mendapat kehidupan yang baik dan senang. Tetapi kita tidak pernah merancang bagaimana kematian anak-anak kita nanti?

Saya kira soalan itu juga perlu ditanya untuk diri sendiri. Sekian banyak perancangan yang dibuat untuk diri, kesenangan diri, seperti tidak cukup-cukup perancangan kita. Sepertinya kita akan hidup selama-lamanya. Pertanyaan kawan saya itu juga seolah menampar pipi dengan tamparan paling kuat, bila saya akan membuka buka nota untuk merancang bagaimana kematian saya nanti?

Muharram ini, saya kembali menggali sejarah syahid-syahid yang ada dalam sejarah. Jika Ammar anak muda kecil ini begitu mendapat penghormatan, bagaimana pula syahid-syahid yang telah menegakkan kebenaran, membela yang lemah, menegakkan kehormatan diri manusia, yang mempertahan nilai-nilai dan prinsip agama?

Muharram ini saya bertekad menjejak Syahid-syahid ini. Saya mahu hidup seperti mereka, kerana saya mahu mati seperti mereka.

Kawan-kawan yang membaca, saya merayu, aminkan doa ini.

Jazakallahu khair.

Al Fatihah untuk arwah yang pulang di bulan Muharram. Kematian kalian akan kami tangisi, supaya kami tidak lupa kematian yang baik itu bagaimana. Supaya semangat kalian terus-terusan bersemarak dalam dada kami. Supaya boleh kami ajarkan kepada anak-anak masa depan yang menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia, bahawa hidup ini tentang pilihan. Pilihan itu sendiri adalah doa. Dan doa-doa, syaratnya pemakbulan dari Tuhan.

Maha Suci Tuhan, yang menggerakkan hati-hati kita di Muharram ini.


Comments

atikah ramly said…
Kisah Ammar ini juga membuatkan saya berfikir betapa pembentukan jati diri anak itu bermula dari diri ibu bapa sendiri. bahkan sangat penting untuk memilih pasangan yang baik bagi melahirkan generasi yang baik. tetapi sebelum memilih pasangan yang baik, diri sendiri juga perlu berusaha untuk menjadi baik. apapun akhirnya, bermula dari sendiri juga.
ASaL said…
ya selalu kita terlepas pandang. pembentukkan manusia itu berlaku dalam unit sekecil diri kita sendiri. Sebagai manusia sebelum kita jadi ibu dan bapa. Anak yang kita mahukan itu tercermin dari siapa ibu bapanya. tidak hairan kisah Ammar ini buat ramai bertanya, siapa Ibu dan Bapa Ammar dan bagaimana mereka mendidik Ammar.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang