Mengapa Perlu Iklan



Sekitar saya masih berbicara mengenai Ammar, itu satu perkara yang sangat baik tidak syak lagi. Saya memandang positif perubahan yang berlaku meskipun di masyarakat kita selalu sangat sesuatu berlaku bersifat bermusim.
 
Balik dari perjalanan yang panjang, tersangkut pula dalam kesesakan lalu lintas, saya menikmati masa beku (jem) dengan memandang kiri dan kanan. Ternyata jalan raya kita sangat meriah dengan iklan.
 
Halnya, kenapa perlu iklan?
 
Ada beberapa teori tentang iklan. Kebanyakkan pengiklan adalah penjual, bahasa hormatnya ahli perniagaan, bahasa buruknya kapitalis. Dalam teori iklan, sudah dimasukkan dalam buku teks juga, setiap produk perlu membuat pengenalan tentang dirinya sebanyak 9 kali sebelum benar-benar masuk dalam minda separuh sedar manusia.
 
Iklan yang berulang juga menunjukkan kredibiliti. Semakin kerap diulang, pengguna akan mempunyai persepsi bahawa barang itu sudah tentu sangat baik kerana itu peniaga berani untuk mengulang. Emosi dan motivasi manusia terdorong dengan persepsi. Persepsi terbina dengan kekerapan dia mendengar, melihat dan promosi yang disogokkan kepada mereka.
 
Trend ini bukan sahaja berlaku di billboard jalan raya, malah di tiang-tiang lampu yang mempunyai kecenderungan jem yang begitu tinggi. Jem bermaksud kereta akan bergerak perlahan. Kenderaan perlahan akan membolehkan perhatian dialihkan dari stereng kereta ke persekitaran. Iklan masuk dalam keadaan separuh sedar pengguna yang lelah melayan kesesakan lalu lintas.
 
Di TV ini bukan teori yang asing. Pemodal yang sanggup berbelanja tinggi akan sanggup membayar ruang iklan di waktu perdana. Di celah berita perdana jam 8. Stesen TV akan cuba menaikkan rating stesen TV masing-masing kerana ini memberikan ruang untuk mereka menjana pendapatan dengan menjual slot iklan.
 
Begitu juga di Facebook. Facebook dibuat sedemikian rupa sehingga setiap newsfeed kita dapat dibaca di kalangan rakan-'rakan' yang add sebagai rakan. Mereka yang ramai rakan akan dipujuk untuk menerima pelawaan add friend kerana mendapat ruang untuk mengiklan produk mereka.
 
Ada apa dengan iklan?
 
Iklan memberikan kita persepsi. Semakin selalu diulang, penjual barangan itu membina persepsi kepada pengguna bahawa barangan mereka sangat bagus. Benar bagus atau tidak itu tidak termasuk dalam list semak pengguna. Kita tidak menyiasat produk yang kita guna sampai tahap itu. Seperti ubat gigi yang mengiklankan bahawa fluorida bagus, sudah tersebar di media sosial yang flourida itu satu bahan yang menjejaskan kesihatan. Seperti juga McDonald yang mempromosi makanan enak dan pantas, hakikatnya produk McDonald boleh menjejakan kesihatan manusia jangka panjang.
 
Pengaruh iklan itu nyata dan benar. Jika tidak pemodal tidak akan sanggup berbelanja besar. Menyediakan iklan itu sendiri belanja besar, belum lagi membeli slot di TV dan juga billboard jalanraya. Tujuan iklan paling nyata ialah pengulangan.
 
Saya menjadi kagum sendiri dengan teori ini. Produk yang masih disangsikan kebaikkannya tetap juga diulang-ulang promosinya. Kenapa kita tidak menggunakan teori yang sama untuk mempromosi benda yang benar-benar baik?
 
Contoh menyeru manusia membuat kebaikkan. Bayangkan iklan membantu jiran-jiran kita yang gelandangan itu dibuat sebagai iklan dalam slot TV. Berapa orang akan tergerak untuk melakukannya.
 
Itu juga yang berlaku dalam fenomena Ammar. Viral terjadi kerana berlakunya pengulangan bersifat besar-besaran oleh pengguna media sosial. Ramai yang tersentuh dengan kisah terpencil ini yang berlaku di Turkey, kerana essence (intipati)nya baik, maka itu tidak hairanlah setiap orang yang masih mempunyai hati di jiwanya, akan menekan butang share untuk orang lain mendapat kebaikkan dari kisah 'kepulangannya' yang luarbiasa. 
 
Kebimbangan saya ialah kisah Ammar ini diingat dalam tempoh yang bermusim. Sedangkan Ammar adalah model remaja yang perlu mendapat tempat dihati setiap remaja lainnya. Mendapat tempat di hati ibubapa lainnya. Mendapat tempat di hati setiap orang lainnya bahawa kematian itu dekat dan tidak menunggu sesiapa, tua atau muda.
 
Pengulangan nasihat baik dalam masyarakat kita hanya berlaku di masjid. Mengikut teori iklan, sampai satu waktu orang akan menolak juga produk yang diiklankan, jika kaedah iklannya sama. Tidak ada pembaharuan dalam produk. Tidak mengikut trend keperluan semasa.
 
Nasihat yang baik di masjid-masjid itu kita perlu ubah. Perlu bawa di luar lingkungan masjid, untuk orang lain juga dapat mendengar, sudah tentu approach perlu berbeza kerana audien di luar sana berbeza. Perubahan baik boleh berlaku dengan sebab berbeza, dengan tingkah  laku baik juga menjadi iklan paling ampuh. Dengan kata-kata yang baik juga iklan paling ampuh. Dengan senyum juga iklan yang paling sempurna.
 
Kita sendiri ada akaun Facebook dan Twitter. Sudah sampai masanya kita menjadi ejen iklan kebaikkan dengan cara paling kecil ini. Menyebarkan kebaikkan dengan butang share. Biar newfeeds kita adalah dorongan untuk buat kebaikkan dan kebajikan. Biar newfeeds kita adalah cerita-cerita hebat seperti kisah Ammar.
 
Bila mahu mula? Seperti Youtube Nouman Ali Khan, kita boleh mulakan sekarang. Cakap-cakap sahaja tidak cukup. Nouman Ali menyeru kita bertindak, dan tindakan itu sekarang.
 
Perubahan akan berlaku, Tuhan akan bantu kita berubah, dengan syarat kita mahu mulakan dari dalam diri kita sendiri.
 
Mulakan sekarang, niat sahaja sudah tercatat pahala, apatah lagi tindakan.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK