Apa yang Kita Hilang - 1

Hujung minggu ini saya mengasingkan diri dalam bilik untuk mengemas dan juga meneroka dunia YouTube. Sangat berbeza dengan apa yang selalu saya buat, membuka TV untuk menonton The Voice. Penat mengemas saya mula mendengar dengan teliti berita dan cerita dalam YouTube.
 
Apa yang bagus dalam YouTube adalah rancangan yang boleh kita pilih. Berbanding TV, kita perlu menunggu apa yang kita mahu tonton, sementara itu kita anak disogokkan dengan banyak iklan.
 
Untuk hujung minggu ini, saya ditemukan dengan Dr Jeffrey Lang. Seorang Profesor Matematik yang menemui kebenaran dari dalam Al Quran.
 
Satu perkara yang selalu saya cemburukan kepada atheist apabila mereka menemukan kebenaran, ialah perjalanan mereka memilih kebenaran itu selalu dalam provokasi menggunakan akal tahap maksima. Berbanding kita yang selesa dengan apa yang sudah sedia untuk kita. Rasa sudah selesa dan tidak pernah berfikir kita juga perlu mencabar kredibiliti intelektual sendiri. Sekurang-kurangnya saya mengenal dua atheist, Prof Al Mahdi dan Prof Jeffrey Lang.
 
Sukar juga untuk kita fikirkan, kenapa orang yang sepandai mereka akhirnya tunduk kepada kebenaran hanya kerana mereka membaca buku sekecil Al Quran. Saya mula fikirkan, apa yang saya hilang berbanding mereka? Kenapa mereka boleh membaca Al Quran dan merasakan setiap inci kehidupan mereka dicabar dan akhirnya terpaksa menjawab soalan, adakah Tuhan itu wujud?
 
Apa yang kita hilang?
 
Mereka ini apabila membuka Al Quran akan ada banyak benda yang berlingkar dalam kepala. Sebahagian besar dari mereka adalah untuk mencari perbezaan dan kontradiksi. Ada yang mencari kesalahan. Ada yang mahu mencari kekurangan berbanding dengan ilmu yang mereka ada. Ada yang memang membuka dan membaca secara objektif. Dan sebahagian besar membuka hanya dengan satu perasaan mahu membuang masa kerana tidak ada buku lain untuk dibaca.
 
Tetapi perkara yang saya dapat simpulkan, mereka membuka Al Quran untuk mencabar, dan mengharap Al Quran sendiri mencabar mereka.
 
Dengan sikap ini, buku tersebut akan dibaca dengan sepenuh teliti. Setiap satu baris itu akan disoal balas. Sudah tentu proses soal balas ini akan berlaku secara personal. Mereka membaca, belum habis faham satu baris, mereka akan soal semula. Mereka akan mempersalahkan Tuhan dalam satu-satu baris ayat yang dibaca, kemudian akhirnya reda semula apabila mendapat jawapan pada baris seterusnya.
 
Ada yang membaca kemudian mempersoal dengan memerhatikan kehidupan yang telah mereka lalui sebelum ini, Seperti Dr Jeffrey Lang, dia mempersoal Tuhan yang menjadikan hidup ini kenapa terlalu banyak kejahatan, kekejaman kerana Dr Lang dibesarkan dalam rumah yang seperti neraka. Kerana bapanya yang begitu kejam, seorang pemabuk alkohol dan melakukan kekejaman dosmetik kepada ibu dan adik-beradiknya yang lain.
 
Perlu diingat, pada ketika Dr Lang membaca Al Quran dia sudahpun menjadi seorang Profesor Matematik.
 
Saya hanya menonton beberapa klip Dr Lang dalam Youtube, itu telah membuat saya mencapai Al Quran tafsir dan cuba merenung apa yang Dr Lang terangkan dalam ceramahnya.
 
Apa yang saya hilang kerana dibesarkan dalam masyarakat ini ialah keupayaan kita membaca secara kritikal. Tidak kiralah baca apa benda pun. Kita dimulakan diajar membaca untuk menyebut, tetapi bukan untuk faham disebalik sebutan tersebut. Katalah kita diajar mengenai perkataan buku, ibu bapa dan guru kita akan rasa sangat gembira bila kita dapat mengeja suku kata dan menyebut bunyinya berulang-ulang.
 
Kita tidak diajar untuk faham buku itu seperti apa. Apa yang boleh ditawarkan dalam buku, Paling tinggi kita diajar menyebut 'buku' kemudian ibu ayah, atau cikgu menunjukkan gambar ataupun menunjukkan apa itu buku.
 
Apa yang lebih malang ialah saya diajar membaca dengan menerima, bukan bersifat kritikal. Kita dibesarkan dengan satu kenyataan bahawa kita telah dibawakan dengan kebenaran, jadi tidak perlu persoalkan lagi.
 
Saya kira saya hilang banyak benda dalam proses ini.
 
Saya jadi takut untuk bertanyak, walaupun saya bertanya itu untuk saya lebih faham. Bukan untuk tujuan lain pun. Apa yang mereka takut tentang soalan, ialah mereka takut tidak menjumpakan jawapan untuk soalan itu.
 
Tetapi apa yang nyata Tuhan tidak pernah rasa tercabar dengan soalan-soalan kita. Ini adalah kerana kita makhluk ciptaan Dia, tidak ada apa yang Dia tidak tahu mengenai kita, termasuk soalan-soalan kita.
 
Saya hilang keberanian bila dididik dalam masyarakat dan budaya yang menerima. Saya takut untuk bertanya soalan walaupun soalan itu akan membuatkan saya lebih faham dan memperkukuhkan peribadi saya. Saya jadi takut untuk mencabar inteektual saya lebih jauh ke hadapan, dan ini sangat bercanggah dengan suruhan Al Quran sendiri yang menyebarkan banyak ayat tentang, "tidakkah kamu berfikir?"

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK