Mengira Kesyukuran Kita
Ada satu musim, kami menerima banyak botol-botol kecil apabila pulang dari kenduri kahwin. Botol-botol ini saya kumpulkan. Terfikir satu idea untuk menggalakkan adik-adik di rumah anak yatim dan miskin untuk sentiasa berfikir positif.
Tentu idea itu tidak datang bergolek. Bermula dari kursus Mendorong Pelajar Corot, kemudian berguru pula dengan teknik Khalifah Metod, dan juga beberapa siri kursus yang lain selepas itu. Rupanya dalam banyak kursus keibu bapaan dan latihan mendidik untuk mendorong perlakuan positif anak-anak kecil, kita sentiasa perlu memasukkan elemen-elemen positif dan baik. Terutama sekali dalam percakapan, dan paling berkesan sekali ialah kita jadikan diri kita sendiri sebagai model dan contoh tauladan.
Kenapa macam sekarang ini begitu bercambah sekali kursus parenting sedangkan dahulu seperti tidak ada? Sepertinya kita akan dapat satu trend bahawa ibu bapa jelas sekali menghadapi satu zaman yang mencabar. Di mana untuk membesarkan anak-anak tidak lagi boleh guna pakai (naluri) ibu bapa, tetapi mesti juga dimasukkan ilmu-ilmu dan saranan berguna dari pakar kanak-kanak untuk perkembangan awal anak-anak.
Beberapa minggu lepas saya berada di satu koferensi. Rakan saya membawa anaknya yang masih kecil. Masih pelat dalam bercakap. Tetapi jelas, adik itu, namanya Adam mengenal saya. Sepanjang-panjang masa ketika duduk jauh dia memandang dan sambil tersenyum, Kemudian saya melukis beberapa benda untuk Adam datang mendekat dan meneka semua benda yang telah saya lukiskan.
Dua tiga hari sebelum berjumpa Adam, saya mendapat ilmu tentang bagaimana untuk menggalakkan anak-anak untuk terus membuat benda-benda baik. Ilmu yang kawan saya kongsikan ialah, dia mengatakan jangan sebut perkataan baik, hebat dan bagus. Sebab dalam minda anak-anak kecil mereka tidak nampak baik, hebat dan bagus ini sebagai apa. Maksudnya, mereka belum dapat betul nilaikan. Kemudian saya bertanya, bagaimana cara yang lebih efektif?
Rakan saya mencadangkan, sebut dalam bentuk markah. Contoh, kalau kita tanya, sebutkan makanan yang mempunyai rasa manis. Kalau adik itu menjawab, "Gula." Kita dorong mereka dengan mengatakan, "bagus, adik dapat 1 markah." Kemudian kita dorong lagi, apa lagi yang manis. Kita akan lihat adik-adik ini akan berhenti dan menggunakan akal mereka untuk berfikir. Kemudian kalau dia dapat jawab, sebagai contoh, "Gula-gula kapas." Kita akan puji mereka dan cakap, "baik, 2 markah." Tetapi rakan katakan, jangan berhenti setakat perkara-perkara material. Dia mencadangkan untuk adik-adik ini nampak benda yang ada nilai hakiki.
Kemudian saya lihat kawan saya meneruskan pertanyaan kepada adik itu semula, "tahu tak yang lebih manis dari gula dan gula-gula kapas? Kalau dapat jawab, saya akan beri 5 markah." Adik itu jelas tidak tahu dan menanti jawapan. Kemudian kawan jawab, "senyuman awaklah yang lebih manis." Automatik saya lihat adik itu tersenyum. Kemudian dia bercerita kepada kawan-kawan yang lain pula, "tahu tak yang lagi manis dari semua benda, adalah senyuman." Dengan kata-kata itu, dia buat rakan-rakan lain pula tersenyum.
Sebenarnya, apa yang berlaku dan diceritakan semula oleh rakan saya ini, saya saksi sendiri. Ketika saya bawa rakan ke rumah anak yatim dan kami menjadi fasilitator kepada anak-anak ini. Masa balik ke rumah di dalam kereta, kawan saya jelaskan semua itu. Tetapi nasihat itu tidak berhenti di situ. Kata kawan, jika ada adik-adik yang menjawab, "sebenarnya yang paling hebat itu ialah Tuhan yang menjadikan rasa manis pada gula dan gula-gula kapas, dan juga senyuman pada wajah setiap orang." Kita akan dorong mereka dengan ayat seperti ini, "bagus, untuk jawapan awak itu saya beri 1000 markah."
Benda ini kita kena selalu ulang-ulang, sampai satu tahap mereka akan tahu bahawa setiap kali mereka mengaitkan sesuatu dengan Tuhan, mereka akan mendapat markah berganda-ganda banyaknya.
Dengan ilmu yang saya lihat depan mata itulah saya gunakan kaedahnya kepada Adam. Saya memberi satu markah kepada semua benda yang saya lukis dan Adam jawab dengan betul (nasib lukisan saya tidak cukup buruk untuk difahami Adam). Ada 20 benda semuanya, dan saya tulis 20 markah dan bintang untuk Adam. Kemudian, mama Adam beritahu bahawa Adam suka matematik. Adam pula sudah boleh membuat matematik asas tambah.
Jadi saya pun mula membuat soalan-soalan untuk Adam. Bagus sekali kerana Adam menjawab soalan dengan betul. Setiap satu set yang berjaya dijawab, saya akan beri markah dorongan. Contoh 3 bintang. Set yang lain pula saya beri 3 gula-gula yang kemudian Adam pesan pada saya, "tak elok makan gula-gula nanti sakit gigi." Dengan ayatnya yang pelat-pelat. Satu set lagi saya beri markah 3 aiskrim. Semua itu reward yang saya beri dalam bentuk gambar. Bukan perlu beli apa-apa pun. Ternyata Adam boleh duduk dengan saya dengan masa yang lama, dan tidak bosan-bosan untuk menjawab soalan yang saya berikan. Sehingga saya sendiri rasa kepenatan.
Kemudian baru saya tahu setelah diberitahu Mama Adam, bahawa Adam baharu berumur 4 tahun. Ternganga sekejap saya dengan kemahiran yang Adam ada.
Saya membayangkan situasi ini. Betapa anak-anak yang punya ibu bapa yang prihatin akan dapat memberikan mereka kelebihan pendidikan beberapa tahun lebih awal dari mereka yang tidak punya ibu bapa dan penjaga. Terutama mereka yang berada di rumah anak-anak yatim dan miskin. Kerana persekitaran mereka yang tidak dibina untuk mendapat pujian dan dorongan baik. Apatah lagi personal coaching. Juga persekitaran yang mendorong mereka untuk membaca dan memerhati.
Itu juga membuat saya banyak berfikir, bagaimana caranya untuk mengekalkan fikiran positif di saat kami tidak berkunjung di rumah anak yatim. Kerana bukan setiap hari kami dapat hadir dan menerapkan perkara ini kepada mereka. Sedang kita tahu manusia, apatah lagi anak-anak, memang cepat lupa dan perlu selalu diingatkan.
Apatah lagi mereka terdedah kepada TV yang semua orang pun tahu tidak akan dapat manusia berjiwa, tetapi menjadikan manusia bersifat materialis dan konsumeris.
Projek botol positif ini belum dimulakan lagi. Barangkali saya perlu mulakan dulu untuk melihat adakah ia mudah untuk dilakukan atau tidak. Dan untuk melihat kesannya pada diri sendiri. Patut kita boleh beri nama pada projek ni kan?
Ketika belajar Khaifah Metod pada bulan Mei yang lepas, penceramah kata otak kita ini seperti kanvas. Setiap hari akan dicalitkan dengan benda buruk dan baik yang akan mencontengkan kanvas pemikiran kita.Sebagai orang dewasa, kita mungkin boleh menapis. Tetapi hakikatnya, bukan semua orang dewasa punya kemahiran menapis. Termasuk juga saya.
Kata penceramah juga, kita akan didorong dengan berapa banyak perkara baik yang mendominasi ruang pemikiran kita. Jika banyak benda negatif, itulah juga yang akan mencorakkan tingkah laku kita. Kerana atas sebab yang sama jugalah saya menghadkan diri sendiri menonton TV, dan juga mendengar radio yang tidak membina dari segi kandungan dan isinya.
Memasukkan hal-hal positif ini juga saya dengar dari ramai pakar motivasi, seperti Prof Muhaya, Dato Fadzillah Kamsah, dan mereka yang pakar dalam NLP, seperti Dr Ibrahim Elfiky.
Dan sebenarnya, hasil dari bengkel dan kursus mendorong dan Metod Khalifah, saya ditunjukkan dengan banyak hadith Rasulullah yang juga turut mengajarkan benda yang sama.
Siapa mahu bersama saya untuk memulakan projek yang baik ini? Kata kawan saya Razlina yang mengposkan gambar ini di wall FBnya, the moment kita keluarkan kertas-kertas itu dari botol kita sebenarnya sedang, "count our blessing."
Ya, saya tidak boleh buat benda lain, kecuali bersetuju. Ya kita terlalu tersesak dengan ujian yang Allah berikan sehingga kita menjadi orang yang mengeluh-ngeluh, tetapi jarang sekali kita mengira kebaikkan yang Tuhan kurniakan pada kita yang terlalu banyak sehingga tidak boleh dihitung.
Untuk projek ini juga, tentunya kita akan terdorong untuk melihat yang baik-baik sahaja berlaku di sekeliling kita, kerana hanya itu yang boleh kita bawa masuk dalam botol. Semoga botol kita akan penuh dengan cepat.
Count our Blessing (COB) atau Botol Positif (BP) atau Botol Syukur (BS), namakan apa sahaja, moga esok masih ada untuk saya mulakan dengan didahulukan, Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Jom!
Comments