Melepaskan TV
Beberapa tahun yang lalu, saya
membuat keputusan untuk melepaskan TV. TV masih ada di rumah, tetapi tidak
dipasangkan dan untuk ditonton pada bila-bila masa senggang. Itu keputusan yang
dibuat di bulan Ramadhan. Tujuan utamanya adalah untuk memaksimumkan penggunaan
masa untuk membuat perkara-perkara yang lebih berfaedah dan menambahkan ilmu +
pengalaman.
Ceritanya begini. Kami telah
menjadi begitu terikat dengan TV. Waktu sahur TV dipasang. Ada drama Islami
pada pagi-pagi buta. Waktu balik kerja dipasang untuk menonton Jejak Rasul.
Dipasang sehingga waktu berbuka puasa. Sewaktu berbuka puasa, menonton lagi
sambil makan makanan yang dihidang, menonton apa yang dihidangkan.
Sekiranya di teliti, kami hanya
memilih untuk menonton perkara-perkara yang baik. Lalu apa salahnya?
Salahnya adalah bentuk
keterikatan itu. Saya merasakannya terlalu dekat, lalu saya mengambil keputusan
untuk tidak menonton terus Ramadhan itu, untuk membolehkan saya lebih banyak
membaca, membuat refleksi diri, menulis, terlibat dalam kerja-kerja bermanfaat
dengan komuniti dan sebagainya.
Tidak sangka, saya punya masa
sebanyak itu untuk menyelesaikan banyak benda.
Bagi kebanyakkan orang rancangan
TV yang baik-baik tidak ada masalah. Malah memberikan kita semua yang saya cari
pun. Tambah ilmu. Saya juga tidak ada masalah tentang itu.
Ada satu hal yang saya sedari
hanya setelah melepaskan TV. Iaitu iklan di celah-celah program TV. Ada iklan
barangan tentunya, da nada iklan promosi untuk rancangan lain. Juga ada promosi
untuk jualan murah. Juga ada promosi untuk filem-filem yang ditayangkan di
wayang.
Di sinilah letak masalah dalam
diri saya. TV pada waktu itu tidak ada kemudahan kawalan jauh. Jadi, setiap kali
iklan, saya tidak dapat menukarnya ke siaran yang lain-lain. Jadi saya juga
perlu menjamah hidangan-hidangan sisipan ini. Kemudian saya jadi tertarik
dengan beberapa barangan yang diiklankan, juga tertarik dengan beberapa
rancangan TV yang dipromosikan.
Rupanya, mana-mana rancangan TV
memang dirancang untuk memasukkan iklan sisipan. TV itu sendiri adalah produk
kapitalis. Kenapa tidak? Kita selalu diiklankan dengan produk. Bahkan sedang
kita menonton TV, kita diiklankan dengan jenis TV yang lain. Yang lebih canggih
kononnya, yang lebih gerek, yang lebih slim dan fleksibel, yang lebih besar
resolusi dan skrin. TV mempromosi TV.
Selepas saya melepaskan TV baru
saya sedari semua ini. Antara slot berita di waktu perdana, juga ada
iklan-iklan yang mempunyai kuasa modal yang besar. Bukan calang-calang produk
boleh disiarkan di waktu perdana. Produk yang mempunyai modal yang cukup banyak
akan membeli slot iklan di waktu celah berita.
Selepas saya melepaskan TV baharu
saya memerhatikan tentang peranan iklan. Bukan setakat iklan di TV, tetapi
iklan di billboard, iklan di dalam suratkhabar, iklan di tiang-tiang jalan di
jalanraya dan lebuhraya, iklan di majalah, iklan di bas dan teksi, iklan di
badan LRT dan dalam LRT, iklan di escalator dan tangga, iklan di lantai ketika
berjalan kaki, iklan di banyak tempat. Kenapa mesti berhabis duit untuk membeli
slot iklan? Yang paling baru menarik perhatian saya ialah di lebuhraya menuju
ke Kajang, iklan tudung Fareeda.
Lama tahun selepas saya
melepaskan TV, saya kemudian diberi faham tentang ilmu kesedaran manusia.
Bagaimana mesej ditulis dalam fikiran manusia. Ini adalah ilmu yang lama telah
dieksplorasi oleh saintis psikologi manusia. Juga saintis sosial dan tingkah
laku manusia.
Ya, orang Barat memang buat
kajian ini sejak lama. Setakat yang saya kaji, bermula dari 60-an sudah ada
kajian menyeluruh tentang ini. Tentu di Barat.
Apa perlunya mengetahui bagaimana
tingkah laku manusia?
Supaya mereka boleh menggunakan
kelemahan kita untuk dieksploitasi. Dan kita memang mempunyai kelemahan.
Kelemahan yang dikenal oleh para saintis psikologi dan tingkah laku manusia.
Manusia memang mudah untuk dipujuk rayu membeli. Manusia memang mudah untuk
dipujuk rayu menonton rancangan walau rancangan itu boleh membunuh karakter
baik dan akhlak manusia. Manusia memang mudah untuk ditipu dengan tipu daya
yang cilik.
Saya berharap lebih ramai ibu
bapa memahami tentang ilmu tentang kesedaran manusia. Saya berharap lebih ramai
ibu bapa memahami bagaimana mesej tertulis dalam fikiran manusia. Kerana mereka
memerlukan ilmu ini untuk memberi mesej yang baik kepada anak-anak. Juga saya
berdoa doa yang sama kepada para pendidik.
Kerana jika awak memilih untuk
membaca tulisan ini, sudah ada mesej yang tertulis dalam memori kita. Mesej itu
boleh dimasukkan ke dalam memori secara sedar atau tidak.
Jika membaca tulisan ini, kita
memilih untuk memasukkan mesej secara sedar. Kerana kita secara sedar membaca.
Tetapi bagaimana dengan iklan yang bertebaran di sana sini? Berapa kemungkinan
yang ada pemandu jalanraya akan betul-betul melihat dan membaca? Padahal
pengiklan tahu pemandu sibuk fokus memandu, kereta dipandu laju, jika dalam
kereta ada keluarga pemandu sibuk melayani. Begitu sibuk pun tingkah laku
manusia, pemodal besar masih tetap menghabiskan duit untuk membeli slot iklan.
Itulah kelemahan kita. Kerana
kita tidak ada ilmu kesedaran manusia. Kerana kita tidak ada ilmu bagaimana
mesej ditulis dalam memori manusia. Tetapi mereka ada.
Secara tidak sedar pun mesej akan
ditulis. Tidak fokus kepada iklan pun, tetapi memadai kita melihat seimbas lalu
sudah cukup bagi penjaja produk. Untuk TV pula, iklan akan mesti dibuat dengan
ada suara. Kalau kita sedang sibuk makan atau menggosok pakaian, kita tetap masih
boleh mendengar meski samar-samar.
Mesej tidak perlu menunggu fokus
baru ianya ditulis dalam memori kita. Hanya perlu seimbas dalam keadaan paling
lalai pun memadai. Tidak perlu mendengar dengan tepat, memadai dengan memasuki
indera telinga kita satu dua perkataan pun sudah cukup.
Begitu tingkah manusia. Begitu
kita menyimpannya. Sedar atau tidak ianya berlaku. Kita mampu memilih atau
tidak, ia juga berlaku.
Saya melepaskan TV pada mulanya
untuk mengoptimakan masa. Tidak sangka pula jihad kecil ini membawa saya kepada
penemuan paling berharga. Ilmu tentang bagaimana mesej ditulis, dan bagaimana
mesej-mesej ini kemudian akan menjadi pendorong paling kuat untuk kita
bertindak.
Kerana itu iklan itu ditulis,
disiarkan berulang-ulang tanpa penat. Produk yang sama tetapi mengalami evolusi
pengiklanan yang begitu cepat dan pantas. Betapa banyak pun duit dilaburkan di
dalam iklan, ia memang sangat berbaloi kerana jumlah jualan yang akan
diperolehi berbaloi-baloi.
Meski dalam iklan seringkas
diiklankan oleh Mat Sentul. Tanpa ada props dan pengambaran yang canggih. Tidak
perlu. Yang perlu ialah ulang dan ulang dan ulang. Sehingga manusia yang
menonton menjadi terangsang dan ketagihan untuk memilikinya.
Tidak ada manusia berkecuali.
Kerana setiap manusia diberi fitrah seperti itu.
Lepaskan TV lebih-lebih lagi di
zaman fitnah ini. Lepaskan.
Tetapi saya masih menonton.
Menonton rancangan terpilih di YouTube dan webTV. Itu sahaja.
Dan inshaaAllah, dan doakan saya
selalu istiqamah, rancangan yang dipilih adalah untuk kebaikkan diri,
mendekatkan diri pada Tuhan, untuk mendapat suntikan kesedaran sosial supaya
kita boleh berkhidmat sesama manusia.
Comments