Memahami Adam - 2
Keesokkan hari, di waktu mahu
tidur, anak-anak akan minta saya menyambung kisah Adam. Tentang peranan Adam
sebagai khalifah. Khalifah itu apa? Dan bolehkah mereka menjadi Khalifah juga,
seperti Adam.
Dalam bilik yang sederhana kecil
itu tanpa ada hiasan yang mewah-mewah, kecuali rak buku yang bersusun buku-buku
yang anak-anak suka baca, saya akan duduk di hujung katil dan memandang mereka
sepenuh kasih. Mereka ialah Adam masa depan, yang tidak perlu melalui kehidupan
penuh kejahilan seperti saya.
Saya akan mulai, dengan
memperkenalkan makna Khalifah.
Kata saya memulakan cerita,
“Perkataan Khalifah ini sungguh hebat ertinya. Khalifah bererti wakil. Kalau
dalam Bahasa Inggeris mereka menggunakan dua perkataan, Vicegerant dan juga
Representative.”
Bagaimana kita mahu fikir
mengenai perkataan ini, amat mudah. Kalau di sekolah kita ada wakil sekolah
dalam banyak perkara. Dalam sukan, dalam pertandingan pidato dan debat, dalam
menulis karangan dan esei, dalam pertandingan inovasi. Dalam semua perkara ini,
cuba anak-anak bayangkan, bagaimana sekolah akan memilih wakil-wakil mereka?
Anak-anak pastinya akan menjawab,
“yang paling pandai, berkebolehan, berbakat dan berketrampilan.”
Ayat berketrampilan itu mungkin
terlalu berlebih-lebihan. Mungkin anak-anak belum pandai menggunakan ayat itu.
Saya akan jawab, “betul. Memang
begitulah cara wakil dipilih. Mereka yang paling baik di antara terbaik.
Kadang-kadang berlaku saringan banyak kali untuk memilih yang paling sempurna
bakat dan kebolehan mereka.”
Begitulah Tuhan memilih
Khalifahnya. Di antara semua makhluk yang diciptakan, Adam yang paling sempurna
untuk diturunkan di muka bumi dan menjalankan fungsinya yang utama, sebagai
wakil Allah, The Khalifah.
Dan saya akan mula bertanyakan
kepada anak-anak, “suka tidak menjadi wakil Tuhan. Mereka yang dipilih antara mereka
yang terbaik?”
Anak-anak yang bermata kuyu mahu
tidur pastinya akan mempunyai tenaga luar biasa. Mungkin akan melompat-lompat
mahu jadi Khalifah. Wakil Allah. MakhlukNya yang terbaik. Menjadi wakil Tuhan
di muka bumi.
Melihatkan semangat anak-anak yang
begitu luar biasa, saya akan mengeluarkan lencana yang tertulis, “I’m A
Khalifah of Allah”. Saya akan menyematkan di baju tidur mereka satu persatu.
Yang sudah dipakaikan akan punyai senyuman paling bangga di alam semesta. Yang
belum akan menunggu tidak sabar.
Selesai memakai mereka lencana
itu, saya akan menunggu. Sehingga keterujaan mereka redha. Dan kemudian meminta
saya, ceritalah lagi.
Saya akan menyambung, “soal kita
ini sebagai Khalifah ada dalam Al Quran. Dah ditulis sejak 1400 tahun yang lalu
tak pernah padam-padam. Tapi kita sahaja yang selalu terlupa. Di kalangan orang
dewasa ramai yang lupa. Di kalangan anak-anak pula, ibu bapa tidak pernah ambil
masa untuk bercerita. Di kalangan guru sekolah, mereka disibukkan untuk
habiskan silibus persekolahan. Itu lebih penting dari mengingatkan anak-anak
tugas yang telah disediakan Tuhan untuk kita.”
Anak mungkin akan menjawab,
“tugas yang Malaikat rasa Adam tidak mampu buat.”
Anak yang lain pula akan
menambah, “tugas yang mana Tuhan sendiri membela manusia, bahawa potensi
kebaikkan manusia itu berganda-ganda lebih besar dari potensi mereka untuk buat
kerosakkan.”
Saya akan mengusap ubun-ubun
anak-anak ini penuh kasih. Jasad anak-anak ini dari tanah liat, tapi ruh
mereka, adalah ruh yang dititipkan Allah dari ruhNya. Kerana itu, apa pun yang
berlaku, anak-anak ini selayaknya dikasihi. Kerana mereka sedang memegang
amanah untuk menjadi Khalifah.
“Tapi Mummy, kalau jadi khalifah,
apa yang sepatutnya kita buat?” Ya betul, panggilan Mummy itu tidak sedap. Seperti
mumia rasanya. Saya akan ubah.
“Tapi Ummi, kalau jadi khalifah,
apa tugas-tugas yang patut saya buat?”
Saya mahu memetik kata-kata orang
pandai. Supaya anak-anak ini juga akan rasa saya pandai. Kata orang pandai,
“orang bodoh memikirkan mereka mahu mengubah orang, orang pandai memikirkan
mereka mahu mengubah dunia, tetapi orang bijak mengatakan mereka mahu mengubah
diri sendiri.”
Akhirnya saya tahu, kata-kata
orang pandai ni tinggi sangat. Tidak sesuai untuk anak-anak yang hanya mahu
mendengar cerita sebelum tidur.
“Ada 3 tugas penting kita sebagai
Khalifah. Anak-anak mahu tahu sekarang atau mahu tahu esok malam?”
Saya tahu ada di antara mereka
sudah pun tertidur. Jadi lebih baik saya menyambungnya esok malam.
Comments