Hari Terakhir...


Hari ini, hari terakhir saya di unit penerbitan. Minggu-minggu terakhir masih lagi sibuk dengan kerja-kerja. Moga-moga dengan kedatangan orang baru di unit itu dimudahkan. Mereka akan masuk dengan hati dan perasaan yang selesa. Semua kerja-kerja telah dihabiskan, insyaAllah tiada yang terbengkalai kecuali kerja-kerja semasa yang boleh disambung terus dengan pasukan baru.

Unit ini amat bermakna. Ia telah mengajar saya banyak. Namun setiap satu yang ada mula, pasti akan ada pengakhirannya. Sentimental? Kering sangat hati saya kalau tiada rasa yang tinggal di saat saya menutup pintu di petang terakhir. Di dalam ruang yang kecil itu macam-macam telah belaku. Berbagai-bagai wajah telah saya lihat. Juga saya belajar banyak makna dan menilai.

Satu hari yang tenang, saya sedang menyusun atur barang-barang di unit itu, seorang yang saya hormati peribadi dan pencapaiannya telah masuk dan menegur. Saya namakan dia sebagai DM. Banyak perkara telah kami bincangkan termasuk siapa bakal menduduki kerusi pengerusi selepas ini. Saya cuma ahli kecil yang bukan semua keputusan pengurusan saya tahu. Saya cuma mengangkat bahu dan mula mengusik “Alangkah bagus kalau DM yang berada di sana.”

Dia mencebik. Dan tidak sangka pula ayat yang keluar seterusnya dari mulut dia, “Saya tidak mahu, RUGI berada di sini.”

Saya memanggung muka. Ingat melihat bagaimana wajah dia ketika dia menyebut perkataan rugi itu. Saya akan ingat wajah dia sampai bila-bila. Ia adalah wajah sinis penuh penghinaan. Dan saya tahu, dia sedang mengingatkan saya betapa bodohnya saya sudah berada bertahun-tahun di situ tanpa mendapat ganjaran apa-apa. Saya ingin berdebat, “Siapa awak untuk menentukan untung rugi saya berada di sini? Siapa kamu untuk memberi kesimpulan yang saya tidak mendapat apa-apa ganjaran di unit ini?” Tetapi saya diam hanya kerana saya masih mengingat dia sebagai orang tua. Namun, kerana komen ringkas menusuk itu, telah menanggalkan pakaian hormat dan menjadikan dia sama seperti orang lain. Orang yang mementingkan diri sendiri, yang sanggup memijak orang lain hanya semata untuk mendapat pencapaian peribadi. Itulah pakaian dia sekarang. Dia memandang, meski saya tidak bersuara dia melihat wajah tegang saya. Tetapi dia nampaknya tidak puas menyakiti saya begitu sehinggalah dia melanjutkan bicara,

“Untuk apa berada di sini, ada banyak lagi perkara penting yang boleh dibuat” Noktah. Dan noktah juga rasa hormat saya pada dia. Hilang seperti wap air naik ke langit. Istighfar. Saya memandang luar. Pohon hijau juga tidak dapat mendamaikan hati.


Saya bercerita pada Ketua Unit. Saya mahu dia berkongsi sedih. Ketua unit yang banyak bersabar itu akhirnya mengajak saya menimbang hal. Kami bekerja untuk menerbitkan makalah. Satu makalah paling nipis sekalipun, sekurang-kurangnya dapat menampung 7 kertas kerja. 1 kertas kerja akan ditulis oleh 2 atau 3 orang. Satu penerbitan kami dapat menggembirakan 14 orang. Dalam setahun kami menerbitkan 7 penerbitan. Paling sedikit 7 kertas kerja dalam satu makalah dan paling banyak 200 kertas kerja. Itu bagi yang menulis dan bayangkan apa yang diperoleh bagi mereka yang membaca dan mendapat manfaat dari penulisan tersebut. Begitulah kesan ganda hasil dari kerja-kerja yang dianggap RUGI itu.

Entah, rasa saya adakala orang yang pandai sekalipun begitu lemah daya fikirnya.

Saya membayangkan perasaan Ketua Unit. Jika saya yang seorang yang kecil peranan di situ begitu terguris dengan provokasi mendadak seperti itu, apatah lagi dia. Jauh di sudut hati saya tahu Ketua Unit lebih kecil hati.

Petang tadi, Ketua Unit membuka cerita.

“Kami bermula dengan sebuah fail. Itu sahaja.” Dia menunjukkan fail yang disimpan dalam almari bercermin. Sudah lusuh. Kemudian saya menyeluruhi bilik. Selepas 6 tahun beliau di situ, koleksi makalah disusun cermat di rak. Semuanya hasil kerja yang dianggap RUGI oleh orang lain. Saya memandang dia, saya tahu hari ini ketika dia keluar dari bilik ini, dia tidak akan terkilan apa-apa. Malah puas. Saya juga puas.


Kawan saya selalu mengulang-ulang ayat, “Semua ini dunia sahaja,”

Benar, semua ini dunia sahaja. Namun Allah telah menjanji, meski ia dunia yang kita cela sekalipun, disinilah tempatnya untuk kita beramal. Tiada tempat lain.

Pekerjaan RUGI kami, kami tidak sandarkan pada ganjaran lain. Moga segalanya akan ditukar menjadi amal kebajikan, insyaAllah. Saya tidak nampak ganjaran yang lebih hebat melainkan apa yang diredha dari langit.

“Wealth and children are an adornment of the life of this world: but GOOD DEEDS, the fruit whereof endures forever, are FAR GREATER MERIT in thy Lord-God’s sight, and FAR BETTER as HOPE.” (Quran, 18:46)

Saya mengambil janji ini sebagai janji peribadi Allah kepada kami.

Saya menuntup lampu kali terakhir sebagai warga bilik ini, kemudian menutup pintu. Bilik ini mengajar saya banyak, terlalu banyak. Bilik ini juga mengenalkan saya pada wajah-wajah. Dan pakaian hormat hanya layak dipakai oleh mereka, yang tahu menghormati orang lain.

Comments

ilhamkasturi said…
siapa yang rugi jika setiap makalah mahupun tulisan itu akan menjadi salah 1 drp 3 amal yang ganjarannya berterusan walaupun ruh telah berpisah dari jasad?
ASaL said…
terima kasih Ilham! sy lupa tentang itu. Nasihat ilham telah menjadi azimat, insyaAllah, saya akan sampaikan pada yg lain untuk jadi pengubat.

:)

terima kasih!
Anonymous said…
Kita RUGI kerana tidak nampak jalan pintas untuk ganjaran di dunia. Kita juga RUGI kerana membantu rakan-rakan yang tidak memaling muka berterima kasih atas sumbangan kita untuk mereka memperolehi jalan pintas itu. Kiranya sayalah yang paling RUGI kerana menjadi ketua kepada kerja-kerja yang meRUGIkan itu. Tetapi benarkah kita RUGI? Apalah RUGI itu jika bekal yang kita dapat dan bekal yang kita tinggalkan itu berpanjangan? Rasanya saya tidak kisah jika RUGI dengan cara ini, dan saya sanggup melakukannya lagi..
ASaL said…
betul, sepotong doa orang dengan ikhlas adalah ganjaran bagi saya. dan beberapa perkataan baik yang mereka ucapkan kerana menghargai apa yang telah kita lakukan, satu kepuasan pada saya.
mereka tidak akan nampak yang ini, dan mereka juga akan sinis komen, tidak ada kayanya awak semua dengan doa orang.
subhanallah, saya serahkan sahaja pada Allah. Dialah sebaik2 pembalas dan penggalas doa yang ikhlas.
InsyaALlah
Anonymous said…
excellent points and the details are more precise than somewhere else, thanks.

- Norman

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK