Rejab ini Kita di Jurusalem
Ada orang bertanya kenapa perlu sibuk-sibuk pasal Palestin dan Jurusalem. Sekarangkan musim bola, tengok bola lah. Kalau awak jadi saya, apa jawapan yang paling baik diberi pada mereka?
Saya pernah berpolemik lama dulu tentang Palestin. Bagaimana sinikal seorang rakan yang memberi komen kenapa perlu bergaduh dan berperang? Tidak bolehkah duduk secara harmoni seperti jiran tetangga yang baik? Saya tahu apa yang awak fikirkan, tentu awak kata kawan saya itu buta sejarah dan buta geografi sebab tidak pernah tengok peta Palestin semaki menyusut sekarang ini. Sehingga telah dipisahkan menjadi dua blok. Tebing Barat (Fatah-Mahmoud Abbas) dan Ghazzah (Hamas-Ismael Haniyeh). Zaman ini yang membuat kita menyaksi penjara terbuka paling besar di atas muka bumi ini, iaitu Ghazzah. Yang kita relakan kewujudannya, walau apa pun alasan kita, hakikat kita sedang merelakan kewujudannya.
Meski peristiwa perbincangan itu telah lama belalu, saya masih sesal kerana tidak dapat berhujah dengan baik. Sekurang-kurangnya dapat menjemput rakan saya itu kembali membaca sejarah, kemudian membuat penilaian semula.
Jurusalem, samada kita orang Malaysia merasa jauh atau tidak, ia tetap sebuah tanah yang dijanjikan. Di tanahnya penuh jejak yang mulia iaitu jejak para Nabi. Dan bulan Rejab ini, bulan paling baik untuk mengingat kembali sejarah di tanah Palestin, paling tepat di tapak Masjid Al Aqsa.
Ini bulan Rejab, tidak sah kalau tidak kita membicarakan tentang peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa yang dirakam dalam Al Quran. Peristiwa yang membawa kita kembali berwaras diri, bahawa perlu mempunyai kecintaan yang sama pada tanah Jurusalem. Sama besarnya pada tanah Makkah dan Madinah. Rejab ini, insyaAllah, mari kita sama-sama mengulang baca ayat surah Isra': Bismillahirahmanirrahim.
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
17:1 Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid Al Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Subhanallah.
Dahulu, saya membaca Al Quran, saya cuma rasakan ia ayat peringatan dengan cara melihat kembali sejarah. Saya silap. Bukankah Al Quran itu mukjizat paling besar. Masakan ia dipelihara untuk kita menilai Ia sama seperti buku sejarah?
Sekarang saya yakin, ayat-ayat Al Quran pada tiap minit dan ketika manapun, ia ibarat obor yang sedang menerangi jalan yang gelap. Seperti mana ayat yang awak baca di atas, Al Aqsa dengan janji Allah adalah tanah yang Allah sendiri berikan berkah disekelilingnya. Dan ia masa dahulu menunjukkan tanda kebesaranNya dan yakinlah, peristiwa yang berlaku hari ini juga, sebahagian dari tanda kebesaranNya. Dengan syarat, kita punya mata lahir dan batin untuk melihat.
Sewaktu bersekolah, tidak pernah ada ustaz ustazah mengajar saya mencintai tanah Jurusalem, supaya mempunyai sama kecintaan pada tanah Makkah dan Madinah. Bukankah itu yang perlu diajarkan di sekolah? Jika awak pernah sampai Makkah dan Madinah, ia tidak jauh mana bukan? Lebih-lebih lagi sekarang bila mana kita boleh menaiki kapal terbang. Nah, masakan Jurusalem itu jauh, hanya kita yang menjauhkan hati darinya.
Kemudian lihat bagaimana hebat perancangan mereka kepada kita. Bila Piala Dunia 2010 diadakan jatuh bersamaan di sepanjang bulan Rejab. Hebat bukan! Ya kita akan berjaga malam dan pagi, seperti itulah yang dirancangkan. Sewaktu kita bersorak meraikan jaringan gol Argentina, German, Brazil, Mexico, dsb, di situlah mereka berkata, "kami telah jauhkan umat Muhammad dari Nabinya. Mereka akan lupa akan kisah Isra' Mikraj. Mereka akan lupakan Al Aqsa!"
Comments