Semalam yang aneh

Semalam, hari sangat panas. Saya dan kawan mengeluh begitu lama tidak hujan di tempat kami. Sehinggalah melihat berita TV waktu perdana. Tiada apa yang menarik kecuali isu perbincangan semula tanah KTMB di Tanjong Pagar ke Woodland dan perjanjian air dengan Singapura akan tamat akhir tahun ini. Tahun lalu saya ke Singapura dan melihat KTMB di Tanjong Pagar. Imejnya masih segar. Tulisan KTMB jadi sangat jelas bila pemandu pelancong kata, "Inilah satu-satunya tanah Malaysia yang masih ada di Singapura."
Malam menjelang, cuaca mula bertukar. Ada tanda-tanda air akan turun dari langit. Tidak mengesyaki apa-apa, saya tidur.

Saya pasti saya sudah hanyut dalam lena. Saya jenis tidur mati yang tidak akan tergugat dengan apa-apa anasir sekalipun. Tiba-tiba, satu bunyi kuat, sangat kuat persis bom meledak seperti betul-betul berlaku di telinga. Katil juga sedikit bergoyang. Mata saya terbuka. Keadaan sangat gelap. Saya menguakkan pintu untuk membiarkan cahaya lampu ruang tamu menerangi sedikit bilik. Jantung dipam dan berdegup sangat laju. Dalam kepala saya ada imej yang bukan-bukan. Barangkali taman perumahan saya sedang marak terbakar seperti gambaran yang tertulis dalam buku Debu Hiroshima. Tetapi saya tidak rasa ada bahang api di mana-mana. Saya beristighfar, daerah kami sedang dibom? Saya mengintai bilik rakan serumah. Tidak ada apa-apa pergerakkan. Saya berilusi? Saya menimbang, perlukah bangun bertahajjud dan solat taubat, mana tahu andai ini qiam yang terakhir? Saya melihat jam di telefon bimbit. Pukul 3 pagi. Waktu sesuai untuk munajat. Tapi saya takut bergerak ke bilik air.

Khali.
Saya mengaktifkan indera, andai saya boleh mengesan tanda-tanda. Badan saya masih terpaku di atas katil. Yang ada bunyi kipas sedang berpusing pada kelajuan 4. Hawa sejuk sedikit. Ada bau tanah hasil dari hawa panas naik ke udara. Rupanya di luar hari sedang hujan. Saya tidak bangun untuk qiam, memujuk hati barangkali saya berimaginasi. Rakan serumah saya tidak sedikitpun ada tanda pergerakkan. Mungkin betul-betul tidak ada apa-apa yang berlaku. Tidak qiam, gantikan dengan istighfar sehingga tertidur semula sebelum bangun meneguk secawan air untuk sahur.

Sudah subuh saya mengintai tingkap. Suasana seperti biasa. Hujan masih bersisa.

"Aneh-aneh, mungkin tiada apa-apa."

Pagi saya ke pejabat. Kepala masih berserabut dengan bunyi bom semalam. Kalau ianya guruh, ia adalah guruh paling aneh saya dengar. Jika ia guruh, ia guruh paling kuat pernah berlaku di daerah kami sehingga katil juga boleh bergegar. Tapi saya memilih untuk berdiam diri. Barangkali kejadian itu belaku pada saya sahaja untuk diuji. Barangkali. Jadi saya menyibukkan diri. Kebetulan, pagi ini saya perlu mencetak beberapa dokumen penting dan terpaksa menumpang di pejabat rakan. Ketika itulah misteri bunyi aneh semalam dibuka.

"Eh, kau perasan tak bunyi guruh kuat gila semalam?"

Saya memasang telinga. Kami bertiga dalam bilik. Saya mahu dia bercerita dahulu.

"Ish tak perasan apa-apa pun. Aku tidur mati la, tak sedar. Bunyi apa?" Rakan seorang lagi mencelah.

"Kau tak dengar. Kuat gila bunyi tu. Bunyi macam bom. Kalau guruh kan bunyi dia mesti lanjut-lanjut, ini tidak, 'BOM!' kemudian berhenti. Aku tengah layan you tube, tengok katil bergegar."

"Kau pun dengar Al, aku ingat aku seorang yang dengar" saya meminta kepastian.

"Apa pula tidak dengarnya. Kuat sangat, sampai-sampai aku ingat ada bom sedang jatuh."

"Betul ke guruh Al. Pelik sangat bunyi. Tidak pernah aku dengar bunyi guruh macam itu."

"Aku pun hairan. Ada juga rasa takut. Lepas bunyi tu terus tutup komputer dan tidur."

Wah! Ini sudah jadi pelik. Saya bertekad balik nanti saya mahu tanya teman serumah. Tetapi sebelah petang saya perlu ke blok pentadbiran. Sham, kerani yang agak rapat dengan saya tiba-tiba membuka cerita.

"Dengar tak bunyi guruh semalam?"
"Kau dengar juga?"

"Tapi sebenarnya, sebelum bunyi tu kan, ada cahaya aneh."

Telinga saya jadi aktif. Bulu roma mula meremang.

"Nak kata kilat, pelik sangat cahaya dia." Sambil bercerita, tangan Sham masih lagi pantas membalut buku untuk dipos.

"Saya tak tidur lagi masa tu. Saya ingat hendak tengok bola. Tapi bila hujan renyai-renyai, ada kilat-kilat sikit, saya tutup TV. Masuk bilik orang rumah pun dah tidur, tapi saya perasan tingkap tidak ditutup rapat. Walaupun ada langsir, saya masih lagi boleh tengok luar."

"Apa yang kau nampak?"

"Cahaya yang berkilat panjang melintas kat langit. Lama lepas tu baru bunyi 'BOM' kuat yang akak dengar tu."

"Kau tak takut ke Sham?"

"Takut juga. Bunyi tu pelik sangat. Dah la lambat. Biasa lepas kilat terus je ada bunyi guruh. Ini tidak, lambat sikit baru bunyi. Tapi kuat sangat. Dan bunyi dia sekali je tak panjang. Kalau guruh bunyi dia lanjut-lanjut sikit."

"Betul Sham. Sama. Akak pun dengar yang sama. Tapi tak dapat lihat cahaya tu sebab tidur sebelum tu."

"Tah, tah bunyi pesawat pejuang kot?" Sham bersuara tanpa rasa. Saya membuat muka tanda soal. "Yelah, kita sekarang ni kan kuat sokong Palestin. Mana tahu kalu ada pengitip." Berspekulasi pula adik sorang ini.

Saya tidak berlama di situ. Jam pun sudah melepasi waktu pejabat. Perasaan seriau dalam hati berpanjangan. Bunyi mesej masuk. Cerita tentang dinding penjara Pudu 120 tahun akan mula dirobohkan malam ini. Rakan mengajak saya untuk menyaksi, tetapi saya sedang berada jauh dari KL. Malam ini, satu lagi sejarah akan dipadam, kali ini istimewa kerana menggunakan jentolak. Barangkali saya membimbangkan perkara yang tidak berasas.

Saya berjalan perlahan ke kereta. Dalam kepala memikir banyak perkara. Flotilla keamanan Mavi Marmara dan Rachel Correy penaja utamanya didanai Malaysia. Media sekarang juga rancak mempromosi tentang rasa prihatin untuk Ghazzah. Pekerja pelabuhan juga sampai protes kapal masuk. Segala-galanya tentang Palestin sekarang ini.

Masa makan malam (berbuka), saya mula bersembang dengan rakan apa yang belaku awal pagi tadi. Dia mengeyakan. Bunyi itu menyebabkan dia tidak dapat tidur sampai ke pagi. Saya melanjut cerita kawan-kawan yang menjadi telinga dan mata yang menyaksi. Komen teman,

"Satu hipotesis sahaja boleh dibuat. Cahaya, bunyi kuat, sela masa yang lambat, itu boleh jadi condition untuk fenomena super sonic. Atau lebih tepat dipanggil sonic boom. Sonic boom akan menghasilkan tenaga bunyi yang sangat kuat, lebih mirip kepada bunyi ledakan atau letupan. Keadaan ini hanya boleh berlaku dengan diiringi penerbangan yang mencecah level super sonik. Pada ketika itu kejutan gelombang sedang berlaku sehingga membolehkan bunyi kuat juga terhasil selepas itu."

Saya mengalih pandang ke TV tetapi tidak dapat melihat imej dengan jelas. Kepala saya ligat berfungsi. Pesanan ringkas masuk ke telefon bimbit. Korea Utara kalah dibelasah Portugal! Saya membalas, berapa gol? "7-0". TV menayang footage penjara Pudu. Saya rasa hari ini lebih baik tidur awal.


Comments

Bayangkan itu adalah pesawat pengintip tentera Israel yang cuba mencemar masuk ke ruang udara kita. Bukankah pangkalan mereka di negara jiran itu. Tidak jauh mana.

Dan dengan isu Israel-Yahudi-Zionis berpanjangan ditanah air, APCO, Rachel Corrie, PGPO, Freedom Flotilla, maka apakah kesudahannya?

Mari berilusi untuk karya seterusnya

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah