Tuesday, August 31, 2010

MRRAZ: Kemerdekaan Sebenar


Hari ini 31 Ogos, hari kemerdekaan Malaysia. Barangkali ini adalah hari kemerdekaan paling tidak dirai. Meski jiran kita membuat provokasi paling buruk dengan membakar jalur gemilang, ia tidak juga menaikkan semangat patriotisme rakyat Malaysia. Mahu disalahkan siapa, pemimpin? Atau rakyat yang dikatakan tidak mengenang budi kerana tidak tahu menghargai sejarah kemerdekaan.

Baik kita, mahupun jiran, tidak menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar. Bukan negara lain perlu dimusuhi, lebih buruk kita berkongsi garis keturunan yang sama. Dari kepulauan Melayu. Berkongsi bahasa dan sebahagian budaya. Lalu atas nama apa kemarahan yang dipupuk dan tidak boleh ditahan-tahan lagi. Ini mahu salahkan siapa? Pemimpin yang tidak dapat mengawal hubungan diplomatik dan tidak menghiraukan sensitiviti. Atau rakyat yang super emosional.

Lebih buruk ia berlaku di bulan Ramadhan. Bulan mentarbiyyah. Bulan yang mengajar kita agar bersabar dan mendidik diri agar menjadi hamba Allah lebih tenang dan tawadduk. Yang mementingkan hubungan pada Allah langsung, dan menjadi pemaaf pada yang lain.


Bukan kita yang perlu bermusuh. Kerana kita ada common enemy yang boleh membawa kepada penyatuan yang teguh dan kukuh. Tetapi kita tidak mahu bersatu menentang musuh ini, Zionis Israel. Bukan hanya semata kerana agama, juga kerana kemanusiaan.

Setelah 53 tahun merdeka, kita masih tidak faham lagi ertinya.

Merdeka yang sebenar ialah pesanan para Nabi dan Rasul beribu-ribu tahun lamanya. Mesej pesanan yang amat mudah, tetapi besar dari segi makna iaitu Lailahaillallah, 'Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah.' Mesej paling logik dan hairan juga paling dimusuhi.

Selagi kita tidak dapat menghayati erti Merdeka paling asas ini, kita akan dibebankan dengan penghambaan sampai bila-bila.

Salam Merdeka. 'Bersatu dengan tali Allah dan janganlah bercerai berai'.

Saturday, August 28, 2010

MRRAZ: Kuasa Ummah

Kalau benar orang kata sejarah berulang dan kata bijak pandai juga jika mahu membetulkan keadaan, lihatlah pada sejarah. Kaji, analisa, buat kesimpulan, rangkakan dengan strategi kemudian bergerak dan bertindak!

Tetapi kita tidak suka sejarah. Di sekolah, sejarah hanya diajar sebagai rentetan peristiwa dan cerita. Senarai data yang perlu dihafal yang membuat pelajar-pelajar bosan dan putus asa. Saya salah seorang antara pelajar itu. Sejarah tidak diajar seperti melihat cetak biru untuk melakukan tranformasi masa hadapan. Tetapi diajar untuk hafal lapisan atas sahaja, hafal dan muntahkan.

Sejarah berpuasa zaman Nabi bermula selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah. Selepas kerajaan Islam ditubuhkan dengan Rasulullah sebagai ketua negara. Lebih mengkagumkan ayat suruhan berpuasa diturunkan kepada umat Islam pimpinan Nabi sedang menghadapi perang Badar. Selama Rasulullah berada di Makkah, puasa masih belum disyariatkan. Sehinggalah pemerintahan Islam bermula di Madinah. Dengan maksud Allah menunggu lebih 14 tahun sebelum mensyariatkan puasa dan ia dikuatkuasakan dalam negara Islam, pemerintahan Islam!

Tidak lain dan tidak bukan, puasa dan tujuannya untuk capai kepada TAQWA boleh dicapai sepenuhnya jika dan hanya jika KUASA kembali kepada ketuanan Islam.

Perkaitan ini nampak begitu lemah, tetapi ia akan nampak begitu signifikan bila kita mengambil kira Al Quran hanya diturunkan di bulan Ramadhan, dan ia diturunkan pada Malam Kuasa (Lailatul Qadar-The Night of Power). Kenapa Allah menamakannya sebagai Malam Kuasa jika ia tidak mempunyai kaitan?

Ummah memerlukan kuasa. Kita sepatutnya berkabung ketika Turki Uthmaniyyah jatuh dahulu pada tahun 1924 sehingga sekarang. Kerana disebabkan perpecahan dalaman Uthmaniyyah jatuh. Pemberontakkan dari negara yang dinaungi memburukkan keadaan. Tetapi kalau kita masih juga mahu berbangga dan memberi alasan masih ada lagi negara Islam, contoh Malaysia. Common lah. Janganlah naïf sangat dan mencari alasan-alasan yang apologetik.

Bagaimana mahu dikatakan Islam sedangkan sempadan geografi melihatkan kita terpecah-pecah. Disempadankan dengan garis pemisah negara, dan menyedihkan dipisahkan dengan mengambil doktrin luar, iaitu negara bangsa. Sama seperti sebelum Rasulullah diangkat menjadi Nabi dahulu. Terpisah dan berpuak-puak. Moral yang bejat dan hodoh. Sehinggakan Rom dan Parsi sebagai kuasa dunia tidak memandang pun semenanjung Arab. Tiada perlumbaan kuasa untuk menakluk kerana moral yang begitu buruk takut-takut menjangkiti bangsa Rom dan Parsi.

Dulu umat terpecah dan kini juga terpecah. Kerana itu tiada siapa yang sanggup membela Palestin walau orang Islam angkanya mencecah billion. Ketika Lubnan diceroboh Israel juga tiada negara Arab yang mengaku Islam datang membantu. Hanya Nasrallah dan tentera Hizbollah yang mempertahan. Ketika Pakistan banjir sekarang, apa yang ummah dapat lakukan? Ketika Bosnia Herzegovina disembelih tentera Serb apa yang ummah buat? Kita tidak buat apa-apa kerana hakikatnya ummah tidak ada.

Ya ummah perlu daulah. Ummah perlu pimpinan. Moga Allah, akan memperkenan mempercepatkan pemimpin akhir zaman Imam Al Mahdi untuk memandu kita keluar dari belenggu caca merba dalam agama dan pensekularannya. Moga pimpinan baginda akan membawa sinar cahaya.

Selepas Nuzul Al Quran, fasa ketiga agar segera menghampiri. Ini adalah malam-malam kritikal untuk semua umat Islam dalam merebut kebaikkan yang hanya dianugerahkan di bulan ini. Pengembaraan mencari Malam Kuasa, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Carilah di malam-malam ganjil, insyaAllah moga ditemui, pohonlah doa dan keampunan. Doakan untuk saya juga.
Gambate ni.

Thursday, August 26, 2010

MRRAZ: Pasangan Hadiah yang Sempurna

The Companion of the Perfect Gift

Ramadhan adalah bulan disyariatkan puasa (Al Baqarah:183). Puasa dilengkapkan dengan tujuannya yang terang iaitu untuk mencapai taqwa. Ada orang menafsirkan taqwa sebagai takutkan Allah. Saya mengambil definisi TAQWA sebagai piety, holiness, godliness. Perasaan penuh berTuhan pada setiap masa dan keadaan. Rasa ketundukan atas segala perintah dan menahan diri dari segala larangan dengan keyakinan penuh.

TAQWA, ia adalah perkataan besar. Untuk mencapainya bukan mudah. Meski seruan berpuasa wajib pada setiap umat Islam, ayat suruhan berpuasa di bulan Ramadhan bermula dengan perkataan ‘Wahai orang yang beriman.’ Dengan makna Allah sendiri sudah mengetahui kualiti umat zaman kerana itu dipilih perkataan ‘orang beriman’ bukan ‘orang Islam’. Yang paling minima menyahut syariat Allah ini ialah bila ada iman dalam dada. Itu akan menjawab kenapa ramai orang yang ditangkap tidak berpuasa. Itu juga menjawab laporan berita TV kenapa pihak berkuasa agama menjadi lebih sibuk di bulan ini. Katalah kita berpeluang bertanya pada mereka yang sengaja meninggalkan puasa dan pada masa yang sama mereka mengetahui tentang ayat Al Quran itu adakah mereka akan menjawab “Apa kau peduli, dah tentu aku tak de iman, buat apa nak berpuasa.”? Jika untuk memperoleh iman begitu sukar, apa lagi TAQWA.

Meski kita memahami makna TAQWA akan ada satu soalan seterusnya, bagaimana hendak mencapainya? Soalan ini Allah sudahpun memberi jawapan. Rahsianya dibongkar dalam bulan Ramadhan.

Berpuasalah di bulan Ramadhan kata Allah, supaya kamu berTAQWA (Al Baqarah:183). Kata Allah juga dalam surah yang sama “Inilah Kitab, tidak ada sebarang keraguan pun di dalamnya, (dan ia menjadi) petunjuk bagi orang-orang berTAQWA.” Kedua-duanya berjumpa di bulan Ramadhan seperti mana penjelasan Allah,

Ramadhan adalah bulan diturunkan Al Quran, sebagai petunjuk bagi manusia, juga sebagai petunjuk dan furqan (pembeza antara hak dan batil)”. (Al Baqarah:185).

Inilah hubungan langsung, antara Ramadhan dan TAQWA. Al Quran dan TAQWA. Berpuasa di bulan Ramadhan tidak diistimewakan begitu rupa, melainkan kerana ia dipasangkan dengan Al Quran.

Atas segala ketelitian dan pemilihan, Allah sebenarnya mahu menunjukkan kita jalan TAQWA. Ada apa dengan itu?

‘It is not thee flesh and blood which reach Allah. Rather it is the TAQWA of your hearts which reaches Him.’ (22:37)


Ya, DIA mahu kita sampai kepadaNya. DIA sebenar-benar mahu kita sampai kepadaNya. Atas nama cinta DIA serahkan Al Quran sebagai The Perfect Gift, The Love Letter, sebagai panduan dan suluh yang terang. Manusia tidak pernah ditinggalkan Al Khaliq, hanya sahaja kita yang menutup mata untuk melihat yang jelas terang itu.

Al Quran ialah Kalam Allah. Tiada ayat dan perkataan dalam dunia yang lebih agung. Sabda Nabi Muhammad sendiri tidak dapat menyaingi. Tiada manusia yang mampu mencapai ketinggian struktur ayat, kandungan, makna dan mesej avant garde yang akan terus relevan merentasi zaman. Sepanjang masa ayat-ayatnya selalu baru. Seperti Allah sendiri menitip pesan yang dibisikkan ditelinga, langsung tanpa perantara. Itulah bukti CINTA.

Setiap helaian Al Quran adalah kata-kata penuh kasih dan sayang. Setiap satunya haruman, manisan dan pesan rindu. Dan bahawa sesungguhnya DIA mahu, kita sampai padaNya. Subhanallah.

Ya, saya selalu mahu merai bulan ini sebagai bulan manifestasi cinta yang paling agung. Bila masa rasa ditinggalkan sebenarnya DIA terlalu dekat. Lalu DIA menganugerahkan Ramadhan saban tahun sebagai keraian dan bukti kita dikasihi. Setiap masa dan detik di bulan ini ialah jalan untuk melihat wajahNya. Di mana-mana DIA, dan di mana-mana DIA sedang memandang dengan kasih.

Jika tiada Ramadhan, SURAT CINTA itu juga tidak akan disampaikan.


Ya Allah, nikmat yang mana satu akan kudustakan?

Tuesday, August 24, 2010

MRRAZ: Hadiah yang Sempurna (The Perfect Gift)


Perhatikan ini:

Ada 12 bulan, dan Allah memilih 1 bulan. Ramadhan.
Ada 365 hari dan Allah memilih 1 hari di bulan Ramadhan.
Ada peredaran siang dan malam bersilih ganti, Allah memilih 1 malam. 1 malam. Lailatul Qadar.
Ada beribu-ribu Nabi dan Rasul, dan Allah memilih 1 Nabi. Muhammad Rasulullah.
Ada banyak mushaf, Allah memelihara hanya 1.
Atas segala pilihan itu, dengan sifat Ar Rahman dan Ar Rahim, Dia menurunkan 1 mushaf pilihan iaitu AL QURAN. (Al Baqarah: 185).

Pilihan yang begitu teliti, apakah maksudnya?
Al Quran sebagai hadiah paling sempurna. Hadiahnya berupa tali penghubung antara Al Khaliq dan hamba yang tidak akan putus sehingga akhir zaman.
(klik pada gambar untuk Al Quran interaktif).

Monday, August 23, 2010

MRRAZ: Konsep Masa

Di entri lepas, ada komen bahawa bila dibawa berbincang mengenai hal ini ramai ada yang menolak mengembalikan pentarikhan Hijriah. Kata mereka “guna mana-mana kalender pun sama.” Soalnya, benarkah sama?
Percayalah, kedengkian Iblis, Dajjal dan sekutu memang tiada sempadan. Seboleh mungkin mereka akan mencipta sistem supaya kita berlepas dari tujuan asal penciptaan manusia. Seperti mana firman Allah,

‘TidakKu jadikan Jin dan Manusia kecuali untuk menyembahKu.’

Apa sahaja sistem alternatif yang boleh membuat manusia lalai dari menyembah Allah, ‘mereka’ adakan. Ini dibuat seteliti mungkin supaya manusia tidak sedar disesatkan. Hinggalah manusia mencintai sistem itu sepenuh hati, menganggap sebagai hak, tiada lain yang lebih baik. Mana-mana yang menentang adalah paksi jahat dan anti modernis.


‘Mereka’ kemudian mencipta konsep masa seperti mana yang ditunjukkan jam dipergelangan tangan, dinding dan telefon bimbit. Masa kita diagihkan dengan 24 bahagian yang dipanggil jam. Setiap jam pula diagihkan dengan 60 bahagian yang dipanggil minit, dan 1 minit dibahagikan dengan 60 saat.

Apa bahayanya? ‘Mereka’ membahagikan masa dalam bentuk mekanis. Mendorong kita bergerak secara mekanik. Kita diperingatkan dengan nombor tanpa ada sebarang perkaitan dengan alam. Dan itu menjadikan kita, kita hari ini. Masuk jamban jam 6, Sarapan jam 8, makan tengahari jam 12, minum petang 5, makan malam 8. Hari akan tamat pada jam 12 malam atau sehingga kelab malam tutup.

Ramadhan sekali lagi mengajak kita mentadabbur akan keistimewaan kedatangannya berlapis makna. Konsep masa yang datang bersama Ramadhan begitu indah sekali. Ramadhan bermula ketika matahari terbenam. Hari baru sepatutnya bermula sewaktu matahari terbenam. Kerana itu Ramadhan ditanda dengan solat Tarawikh lebih dahulu dari berpuasa. Siang mula berfungsi pada beberapa minit sebelum masuk subuh untuk bersahur. Sahur dibolehkan sehingga nampak garis putih di langit. Kemudian solat Subuh. Sepanjang hari kita akan menahan diri dari makan dan minum. Pada waktu ini jam 8, 12, dan 5 tidak mempunyai makna. Yang lebih bermakna ialah bila kita melihat matahari terbenam sehingga langit gelap yang membolehkan kita menyambut kegembiraan bulan Ramadhan iaitu dengan berbuka puasa. Malam solat tarawikh dan bangun disepertiga malam untuk Qiam Al Lail.

Ramadhan mengajar kita untuk memahami konsep masa sakral. Kita tidak lagi menjadi manusia mekanis robotik yang digerakkan oleh nombor. Kita menjadi manusia sedar dengan perubahan alam. Waktu kita tidak pernah perlu ditentukan dengan nombor.


Ramadhan membawa kita kembali untuk memahami bahasa alam. Masa sakral ialah dengan melihat perjalanan matahari. Dari awal subuh ke subuh benar, dari awal siang ke siang cerah, Asar, gelincir matahari, maghrib, malam cahaya bulan, malam cahaya bintang, malam gelap, malam buta dan sebagainya. Masa sakral membuat kita menjadi manusia peka, merenung, refleks, dan bertindak sesuai dengan kehendak Ilahiyyah. Seperti dalam firman Allah,

'Katakanlah: Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi.' (Yunus: 101)

Kerana itu kita tidak pernah ada waktu tetap untuk menunaikan solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya’. Setiap hari waktunya berubah. Perubahannya berdasarkan pergerakkan matahari. Juga bersahur dan berbuka. Supaya sarana Allah dalam Al Quran akan kita praktikkan sepenuhnya.

Jika benar-benar memerhati alam, kita sendiri boleh menentukan waktunya. Jam digital, mekanikal, Rolex, Tag Heur, Bonia sekalipun tidak perlu. Sebatang kayu dan bayang-bayang sudah memadai. Bila kita menerima konsep masa sakral, kita tahu bahawa masa bukan ditentukan oleh nombor. tetapi ditentukan oleh panggilan Allah terhadap hambaNya.

‘Mereka’ arif tentang itu. Kerana itu ‘mereka’ mencipta sarana untuk memudahkan urusan manusia. Hakikat sebenar, menjauhkan manusia dari merenung alam sekaligus dari Tuhan.

Masalah kita ialah mengambil enteng tentang masa. Bukan setakat dibazirkan, malah tidak nampak betapa besar perhatian Allah tentang hal ini. Masakan Allah berSUMPAH demi MASA dalam surah popular yang dibaca dalam solat, dibaca dalam ceramah agama iaitu surah Al Asr.

Bersumpah adalah perbuatan paling tinggi dalam perundangan Islam mahupun sivil. Ketika suami isteri bertelagah menjatuhkan fitnah antara satu sama lain, SUMPAH adalah resolusi terakhir dalam penyelesaian masalah. Ketika berada di mahkamah, angkat SUMPAH adalah salah satu praktis untuk menjamin pihak yang dibicara dan disoal bercakap benar. Paling hebat dalam sejarah, SUMPAH menjadi penentu antara hak dan batil ketika peristiwa Mubahalah Nabi dan keluarga dengan puak Nasrani Najran untuk menentukan agama yang benar.

Ini SUMPAH Allah. Allah berSUMPAH demi masa.
Ramadhan ini, 2010 memaparkan satu fenomena kosmik. Akan terbit 2 bulan pada 27 Ogos nanti. 2 bulatan kosmik akan beredar di langit jelas secara beriring. Satu bulatan adalah bulan dan satu lagi planet Marikh. Marikh akan berada paling dekat dengan bumi kira-kira 34.65 M batu (miles) dan untuk manusia menyaksikan peristiwa pada tahun 2287.
Ramadhan, buat kita kembali memahami.

Sunday, August 22, 2010

MRRAZ: Mengembalikan Pentarikhan Islam

Salah satu tipu daya Iblis, Dajjal dan sekutu dalam menjauhkan manusia dari mempunyai hubungan harmoni dengan Al Khalik ialah dengan mencipta kalendar Gregorian. Seperti apa yang diguna pakai hari ini. Kita menandakan tahun baru dengan bulan Januari, mengakhirinya dengan bulan Disember. Kita tidak lagi menggunakan kalendar Islam dalam urusan sehari-hari.
Sebagai ummat Islam, kadang-kadang sendiri merasa menggunakan bulan Muharram sehingga Dzulhijjah tidak trendy dan begitu janggal. Jika diberi kuiz untuk menyebut bulan Islam yang pertama hingga yang akhir pasti ramai yang tidak akan lulus. Jika lulus sekalipun susunannya mungkin tunggang terbalik. Apatah lagi bila diminta untuk menceritakan peristiwa penting yang belaku dalam bulan tersebut.

Saya sendiri, jika tidak berada di dalam bulan Ramadhan selalu lupa berada di bulan Islam yang mana. Bila ditanya, eskapis saya mudah. Buka internet, di situ akan ada jawapan. Jika tiada internet akan cari akhbar. Jika tiada, saya akan mengangkat bahu tidak tahu.

Sistem bulanan Januari hingga Disember bukanlah dicipta dengan cara tidak sengaja. Ia adalah dari perancangan ‘mereka’ dengan sedar dan teliti. Jika kita mengambil masa mengkaji, nama bulan-bulan dalam kaledar Gregorian adalah mengambil nama Dewa Dewi agama pagan Eropah. Januari diambil dari Janus (lanuarius), Tuhan Pembuka Pintu, Februari dari Februum sempena ritual penyucian Februa dan sebagainya.


Malah penentuan jumlah hari dalam sebulan ini tidak dilakukan dengan sistematik. Bermula dengan 1 haribulan dan berakhir dengan 30 atau 31 haribulan. Jumlah hari dalam bulan ini sebenarnya ditentukan oleh Pope Eropah. Kerana itu bulan Februari menjadi mangsa kerana kadang-kadang berakhir dengan 29 atau 28 haribulan. Kita pula redha mengambil sistem ‘mereka’ sedangkan ia satu helah terancang. Tujuan halusnya agar kita turut mendewakan sembahan mereka tanpa sedar!

Kemudian Ramadhan datang. Ramadhan datang bukan sahaja membawa syariat berpuasa sebulan kepada umat Islam, tetapi juga untuk mengejutkan dan menyedarkan kita bahawa sistem pentarikhan berlandaskan syariat itu wujud. Ramadhan datang untuk mengingatkan bahawa sistem sedia ada yang diguna pakai tidaklah lebih baik dari apa yang telah Allah pilih. Ramadhan datang untuk menyeru mengembalikan semula sistem pentarikhan yang akan mempunyai hubungan terus kepada Al Khalik.

Berbanding kalendar Gregorian, kalendar Hijri bermula dengan melihat anak bulan. Aktiviti ini akan menggalakkan kita menjadi seorang pemerhati alam. Untuk melihat anak bulan kita perlu keluar dan merenung kejadian kosmik yang majestik. Bagaimana bulan bergerak mengikut aturan. Pergerakkan bulan yang konsisten membolehkan kita membuat interpretasi tentang jumlah hari dalam satu bulan, iaitu samada 29 atau 30. Ini akan mendorong kita membuat kesimpulan bahawa mustahil elemen celestial boleh bergerak dengan sendiri melainkan ada yang mengaturnya.

Bulan dalam Islam telah diberi dengan nama yang sangat indah. Bermula dari Muharram, kemudian Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awwal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Dzulqaedah dan Dzulhijjah. Setiap satu mempunyai peristiwa penting yang sentral kepada agama dan pada perjuangan Rasulullah. Jika kita kembali menggunakan kalendar Islam, kita akan terikat langsung dengan peraturan agama dan sejarah. Jika kita mempunyai sentimen kuat, ‘mereka’ akan punya halangan yang sangat besar untuk menggelincirkan dari mengingati Al Khalik.


Kerana itu Ramadhan wujud. Hanya dengan Ramadhan kita jadi begitu tersentak kerana ia datang bersama syariat puasa 30 hari. Berlapar dan dahaga selama 30 hari. Bagi ramai orang ia adalah berat. Jika meninggalkan walau satu hari dengan sengaja dendanya puasa 2 bulan berturut-turut, lagi berat! Betapa serius Allah dalam hal puasa di bulan Ramadhan ini. Hanya dengan sentakan seperti itu baru boleh membuat kita tersedar.

Ironi, kita masih di sini. Bila orang bertanya sekarang bulan apa? Kita akan lebih cepat menjawab, Ogos, bulan Merdeka, bulan 1Malaysia!

Tidak syak Ramadhan mengajak kita berfikir lebih dari soal lapar dan dahaga. Ia mengajak kita untuk menafi sebarang bentuk penyembahan secara sedar mahupun tidak, dan ia bermula dengan mengembalikan kalendar Hijri ke tempat asalnya.

Saturday, August 21, 2010

MRRAZ - 2


Barangkali kita sudah tidak boleh menafi bahawa memang kita sudah pun berada di ambang pintu akhir zaman. Janji Allah tentang kemunculan hari kemenangan Agama (Yaum Ad Din) sudah dekat. Hanya iman akan bercakap bagi pihak. Samada kita merasa gentar dan mula membuat persiapan, atau menempelak rakan-rakan yang begitu suka bercakap hal ini sebagai tukang karut dan ketinggalan zaman.

Samada kita suka atau tidak, percaya atau ragu-ragu, ini adalah zaman moden sekular yang mana paksi batil (Iblis, Dajjal dan sekutu) sedang membunyikan semboyan perang secara besar-besaran. Perang ini bukan khas untuk orang Islam. Di sinilah letak salah faham paling besar di kalangan kita. Perang ini adalah perang yang dilancarkan kepada umat manusia secara keseluruhan. Bukan fokus kepada umat Islam sahaja, bahkan semua tanpa kecuali. Ia adalah kesumat Iblis dari zaman Nabi Adam. Sumpahnya menyesatkan umat manusia tidak kira beragama agama atau tidak. Untuk menjauhkan manusia dari mempunyai rasa berTuhan. Agar tiada lagi pergantungan kepada Pencipta sehingga manusia sesat sesesat sesatnya. Itu dendam dan kesumat mereka, zaman berzaman tiada pernah padam.

Apakah ciri zaman akhir ini? Ingat lagi ketika ibu bapa kita lama dulu bercerita tentang Dajjal? Saya masih ingat bila mana ibu bercerita, Dajjal itu bermata satu. Badannya besar. Kekuatan tidak terbanding. Bila dia berdiri air laut hanya setakat buku lali sahaja. Di tangan kanan syurga, dan di tangan kiri neraka. Tetapi Dajjal ini penipu besar. Bila kita memilih syurga yang ditawar Dajjal, ia adalah jalan ke neraka. Jika menentang Dajjal, kita akan dimasukkan ke neraka sedangkan itu adalah sebenarnya syurga. Begitu jugakah cerita ibu dan ayah kepada anda? Kerana itu zaman kecil saya dihantui imej Dajjal seperti raksasa hodoh, penipu dan ultra jahat. Namun, hari ini bayangan yang dicerita ibu dan ayah bukanlah fantasi. Itu adalah kaedah pembelajaran mengenai simbol, alegori. Simbol akan bermakna kalau kita mampu untuk memecahkan rahsia di sebaliknya.

Hari ini dunia dipecahkan dengan peta ekonomi antara blok negara maju, negara membangun dan negara dunia ketiga. Perhatikanlah dengan mata hati bagaimana kita dipecahkan dengan status ekonomi. Golongan ultra kaya adalah negara-negara yang menyokong tidak berbelah bagi new world order golongan moden Yahudi-Eropah/ Kritian-Eropah. Mereka yang miskin dan hidup bangsat adalah yang menentang sistem mereka. Cuba lihat yang terjadi di Palestin, di Afghanistan, Moro-Filipina, Selatan Thailand, Iraq, Sudan. Yang dikenakan sekatan ekonomi seperti Iran, Iraq juga jelas dari paksi yang menentang ‘mereka’. Tidakkah benar perumpamaan yang diceritakan ibu dan ayah tentang Dajjal? Yang mengikut ‘mereka’ dijanji syurga, yang menentang dihidangkan penyeksaan dan neraka dunia. Itulah yang terjadi.


Apakah semua ini sunyi dari tradisi keilmuan Islam? Tidak, itulah jugalah yang diperingatkan Rasulullah. Tentang dunia dan kontradiksi-kontradiksi yang jauh dari realiti. Neraka di zaman akhir ini dizahirkan sebagai syurga, begitulah sebaliknya (vice versa). Mahu percaya atau menafi, zaman ini telah lama disahkan oleh ulama-ulama besar sebagai zaman fitnah, tipu muslihat, menafikan kewujudan Tuhan, penindasan, kemusnahan/pembunuhan, malapetaka dan bala bencana. Dan ada TANGAN yang merencana segala ini. Tidak lain 'mereka' adalah musuh Nabi Adam, musuh umat manusia zaman berzaman.

Iblis, Dajjal dan sekutu hanya mahukan satu, menjungkar balik semua decree yang telah disyariatkan oleh Allah. Mereka membuat sistem alternatif kepada umat manusia. Agar apa yang Allah katakan baik, akan dinilai jelek oleh manusia. Apa yang ditentukan suci dianggap keji dan menjijikkan. 'Mereka' akan membuatkan semua larangan Allah sebagai sesuatu yang super baik yang perlu diraikan secara besar-besaran. Memberi satu tanggapan kepada manusia bahawa semua suruhan agama adalah belenggu untuk menghalang manusia menikmati keseronokkan hakiki. Mewujudkan budaya popular dan menjadikan mereka yang taat beragama sebagai manusia jumud yang ketinggalan zaman.

'Mereka' akan berkata YA bila mana Allah mengatakan TIDAK. Seks bebas, arak, judi, riba’, rasuah, hedonisme, materialisme, gugur kandungan.

'Mereka' akan berkata TIDAK bila Allah mengatakan YA. Hijab, niqab, perkahwinan, poligami.

Jungkar balik.

Iblis telah bersumpah untuk memisahkan manusia dari mempunyai ikatan dalam mengingati Allah. Memutuskan hubungan antara manusia dan Khalik. Menjadikan manusia sesat seperti kawanan haiwan tanpa gembala. Menjatuhkan manusia hingga kekal masuk ke jurang neraka seperti mereka. Itu tujuan awal dan akhir Iblis, Dajjal dan sekutu. Tiada lain.

Tetapi ‘mereka’ tahu manusia tidak akan dapat disesatkan secara paksa. Kerana itu ‘mereka’ mewujudkan segala sistem yang ada dalam dunia ini secara halus, dikosmestik dengan cantik, sehingga manusia hanya nampak kecantikkan luaran sedang keburukan disorokkan. Perlahan-perlahan manusia masuk, terpersona dan akhirnya kekal dalam ‘syurga’ ciptaan 'mereka'. Mencandukan segala-segalanya sehingga manusia ketagih dan lalai. Hingga bila mana datang orang memberi peringatan, mereka akan mencela si pemberi nasihat sebagai golongan jumud yang ketinggalan.

Atas semua itu Allah memelihara Ramadhan untuk menjawab fenomena aneh-aneh di akhir zaman ini. Bila mana mulut ulama tertutup dan terkekang untuk memperingat ummah dari membicarakan Ramadhan dan peranannya melawan sistem Dajjal. Bila mana Ustaz-ustaz di semua peringkat pengajian tidak berani mengupas lapis makna bulan paling istimewa yang tiada dua. Bulan yang Allah sendiri mengangkat kemuliaannya sejak zaman berzaman tidak pernah pupus. Dari zaman Rasulullah hingga hari ini. Kerana itu Ramadhan itu hidup, punya roh dan bergerak. Ramadhan WAJIB hidup hanya dengan itu Ramadhan menjadi strategik merentasi millenia.

10 Ramadhan sudah, namun saya banyak tertinggal. Fasa kedua ini saya berdoa agar dapat bangkit. Saya mencari roh Ramadhan di akhir zaman. Moga sahabat, awak juga dapat memandu saya. Di akhir kita akan dapat mengerti, bahawa tempat yang paling baik untuk kembali hanyalah satu, di sisi Allah.

Friday, August 20, 2010

Mencari Roh Ramadhan di Akhir Zaman (MRRAZ)


Seorang rakan memberi pesan jika tiada air mata mengalir walau sekali baik di siang atau malam Ramadhan, umur sudah dibazirkan. Jika badan masih lagi berat untuk bangun untuk mengucap dan mendamba cinta di malam hari, anggaplah nyawa sudah tiada seri. Di akhir nasihat dia berpesan, carilah roh Ramadhan mudah-mudahan akan dijemput pulang dengan jiwa mutmainnah.

Hari ini sudah pun masuk ke 10 Ramadhan. Seperti baru semalam menyaksi penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengumumkan tarikh 1 Ramadhan, kita sudah dijemput masuk ke fasa ke dua. Subhanallah. Begitulah cepat masa berlalu. Benarlah seperti kata Nabi tentang tanda akhir zaman,

“Masa akan berlalu dengan begitu pantas, setahun akan berlalu seperti sebulan, sebulan akan berlalu seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti satu jam dan satu jam seolah-olah masa yang diambil untuk menghidupkan api.” (Diriwayatkan oleh Anas ibn Malik, Sunan Tirmizi)

Perbincangan mengenai akhir zaman, setiap kali saya mahu memula bicara setiap kenalan akan memalingkan kepala dan mula untuk mengubah topik. Jika ada yang meminjamkan telinga untuk mendengar, ia cuma akan berlangsung selama 10-15 minit. Kemudian perbincangan akan mati tanpa ada peluang untuk diungkitkan lagi pada masa hadapan. Apakah perbualan mengenai hal ini cukup menjengkelkan?

Tanda hari akhir yang telah diumumkan Rasulullah 1400 tahun lalu satu persatu muncul berterusan setiap hari di hadapan mata. Dengan berlanjutan banjir di Pakistan, China dan Eropah. Tanah runtuh dan gempa bumi. Letusan gunung berapi silih berganti menjadi topik penting dalam berita masa perdana. Salji berjuta-juta tan mencair dalam masa satu hari di kutub. Lalu dengan cara bagaimanakah harus kita perhatikan segala ini?

Tiga empat tahun lalu saya dikejutkan dengan cerita adik mengenai pelajar kolej di universiti cara mana mereka menyambut Ramadhan. Dalam fikiran saya membayangkan suasana lebih tenang dan aman kerana mereka tidak perlu bergegas-gegas untuk memenuhi tuntutan makan, sarapan-tengahari-minum petang. Dengan itu tumpuan akan dapat diberikan sepenuhnya dengan kuliah dan tugasan. Malam hari mereka akan berbondong-bondong ke masjid Uwais Al Qarni untuk bersolat jemaah Maghrib dan Isyak kemudian menyambung dengan solat tarawikh. Ternyata fikiran saya salah.

Adik saya menceritakan bagaimana ramai rakan-rakan sudah lama meninggalkan ibadah puasa. Alasan kerana sebelum menjejak kaki ke universiti mereka tidak berpuasa, untuk apa berubah hanya semata masuk pengajian tinggi? Kata adik, mereka membeli makanan seawal jam 3-4 petang kemudian tidak segan silu menjamah hidangan di kolej kediaman dengan pintu tertutup. Ramai yang menyertai, malah merai bagai dalam pesta. Bila dinasihat mereka akan marah-marah dan menengking agar jangan peduli, “bukan kamu pemberi dosa dan pahala!” Sehingga ada yang sanggup mencabar menampal kertas di luar pintu dengan mengumumkan “Ini Bilik Ahli Neraka!”

Kisah adik bukan cerita terpencil. Zaman sekolah kami juga tidak sunyi dari mereka yang tidak tahu bagaimana mahu menjaga syariat berpuasa di bulan Ramadhan. Pernah satu hari rakan sekelas kemalangan terjatuh motor. Kemalangan itu telah membongkar rahsia mereka tidak berpuasa bilamana makanan melambak jatuh atas tar sedang jam baru pukul 11.50 tengahari. Mendengar Buletin TV3 akhir-akhir ini lebih gempar bila sepasang lelaki dan perempuan ditangkap khalwat dengan makanan berbungkus penuh di bilik. Kemudian berita berbelas-belas orang Melayu ditangkap di pub sedang minum arak di malam Ramadhan.
Sekarang, kita tidak lagi boleh berbangga dengan bangsa Melayu yang penuh taat dalam memelihara semua suruhan agama. Tiada lagi zaman yang dibangga seperti dulu. Fenomena yang bukan terpencil terjadi di Malaysia, malah umat Islam di seluruh dunia. Indonesia, Singapura, Amerika, Trinidad dan Tobago, UK, around the globe namakan, syariat berpuasa sedang ditinggalkan.

Apa dah jadi?

Monday, August 09, 2010

Pelentur Alam 1

Zaki membawa Fieradz naik ke tingkat paling atas bangunan apartment 30 tingkat yang masih dalam pembinaan. Dari jauh awan hitam menyelimuti langit Kuala Lumpur.

Hari akan hujan.

Tangga hanya baharu siap sehingga tingkat 27. Untuk naik ke tingkat paling tinggi kederat dan keberanian diperlukan. Perancah (scaffolding) diikat kemas di sebelah bangunan. Besi-besi disambung dan membentuk tangga. Di situlah Zaki dan Fieradz perlu memanjat sebelum sampai. Dua tiga hari lagi sesi latihan industri di tapak bina akan tamat. Sayang jika tidak menggunakan kesempatan ini untuk mencipta advencer sendiri.

“Fier, kau boleh ke naik tangga ini?”

“Alang-alang menyeluk pekasam Ki, biar sampai lengan.”

Zaki tersenyum. Semangat seperti ini mungkin salah satu kemahiran insaniah bagi mereka yang bakal bergelar jurutera. Apa makna jika ahli pembina takut pada ketinggian dan cabaran.

Zaki memulakan langkah. Perlahan-lahan. Di tingkat seperti ini, angin kuat. Rambut beralun menutup mata menyukarkan pandangan. Tangan kiri memaut besi, tangan sebelah kanan menyelak rambut dan menyangkut ke telinga. Langkah dilajukan, tingkat 30 hari ini akan ditawan.

Sampai di atas Zaki dan Fieradz kagum melihat panorama sekeliling. Mereka berada dipinggir KL, berdekatan dengan Klang Gate. Tapak bina ini di atas bukit. Meski bangunan hanya 30 tingkat tetapi kerana di bina di atas tempat tinggi, seolah-olah ia adalah mercu tanda paling tinggi sini. Meski bangunan ini belum siap. Angin bertiup lebih kuat. Zaki dan Fieradz tidak berani berdiri di hujung bangunan. Beberapa orang pekerja Indonesia, Nepal dan Bangladesh sedang kusyuk mengikat besi di tingkat yang sama.

“Kau ingat lagi kisah seorang pelancong yang menegur tiga orang pekerja binaan yang diceritakan Profesor Harun dulu?” Zaki memulakan bicara.

Fieradz yang tenang itu mengalih pandang tepat ke wajah Zaki. Bunyi tower crane berselang seli dalam hujan.

“Tidak pasti, ceritalah sedikit mana tahu lama-lama boleh ingat.”

“Waktu itu Profesor Harun mengajar bagaimana tiga orang yang melakukan pekerjaan yang sama tetapi mempunyai sikap dan pandangan berbeza pada kerja masing-masing.”

Fieradz memandang Zaki penuh minat. Di belakang Zaki tower crane sedang mengangkat takungan simen untuk dipindahkan di blok satu lagi. Kelihatan dari jauh pemandu kren bekerja penuh hati-hati. Fieradz tahu di bawah akan ada seorang lagi yang akan memberi arahan di mana tower crane itu patut berhenti. Di lokasi yang akhir nanti segala isi dalam takungan itu akan dicurahkan semua sehingga habis. Mungkin akan membentuk tiang atau papak atau rasuk. Mereka yang bekerja di bahagian itu sahaja akan tahu.

“Satu hari sebuah sekolah sudah musnah akibat gegeran gempa bumi. Jadi ketiga-tiga pekerja ini bekerja mengangkat, memunggah, menyusun batu-bata. Ada yang menyodok dan membancuh simen. Ada juga yang sedang memanjat dan mengikat besi. Segala-gala yang kita lihat sewaktu latihan industri ini, pendek ceritanya.”

Fieradz mengangguk. Segala-gala yang disyarah dalam kuliah nampak begitu jelas sekarang di mata. Apa yang Zaki mahu cerita juga terbentang dalam layar fikiran. Yang diulang-ulang pensyarah dan jurutera jemputan sudah dapat dirasai dengan fizikal. Malah turut faham rasa bagaimana bahang mentari menyengat tubuh diwaktu cuaca panas menggigit. 5 minit berada di tapak bina peluh yang keluar seolah-olah sudah selesai berlari satu pusingan padang bola sepak. Kalau diminta untuk menjadi buruh tapak bina, 30 minit belum tentu dapat bertahan. Tapi petang ini di waktu langit hitam dan hujan, cuaca lembut membuatkan semua orang begitu lunak. Maki hamun dari penyelia sedikit sekali didengar.

“Waktu itu ada seorang pelancong sedang melalui kawasan. Sudah tentu mereka tidak tahu pekerja tersebut sedang melakukan pembinaan semula sekolah, mereka kan orang luar. Untuk beramah mesra pelancong bertanya kepada mereka apa yang mereka sedang lakukan.”

Fieradz tersenyum. Ingatan tentang cerita Profesor Harun kembali.

“Yang pertama menjawab, “tidak nampak ke saya sedang kerja mengangkut batu-bata ni?” dengan nada yang menjengkelkan.” Fieradz mengangguk.

“Yang seorang lagi pula jawab, “Tak nampak ke saya sedang cuba untuk mendapatkan pendapatan, makan gaji untuk membolehkan saya dapat duit?”

“Yang ketiga menjawab, “Saya sedang membina sebuah sekolah!” Tersenyum menjawab dengan tegas dan bangga.” Fieradz menghabiskan cerita Zaki. Zaki tidak keseorangan mengingat cerita berbentuk pengajaran hikmah dari Profesor Harun.

“Hairan bukan, 3 orang yang melakukan kerja yang sama tetapi masing-masing mempunyai fokus dan tujuan yang berlainan. Yang mana satu dari mereka akan dapat merasai kepuasan dalam bekerja?” giliran Fieradz pula bertanya.

“Tentulah yang terakhir. Dia percaya pekerjaan yang dilakukan secara susah payah ada saham dalam pembentukan bangsa dan negara sendiri. Orang yang macam ini diberi bayaran tidak setimpal tetap akan merasa puas kerana mungkin salah seorang pelajar sekolah itu adalah anak atau cucu sendiri.” Zaki lancar membalas tanya Fieradz.

Zaki membuang pandang ke arah Kuala Lumpur. KLCC berbalam disorak kabus dan air hujan. Matahari tidak menyinar untuk membolehkan mereka melihat jarak jauh dengan jelas.

“Tentu sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembinaan KLCC akan merasa bangga. Itu mercu tanda. Malaysia dikenal di seluruh dunia kerana dua pinakel dan jambatan langit yang merentangi antara keduanya.”

Thursday, August 05, 2010

Nikmat Sakit

Sewaktu menonton Bersamamu TV3 mengenai kisah seorang pemandu yang hampir lumpuh akibat tersadung kaki sewaktu membersihkan lori, hati disentuh. Seorang bapa yang dahulu dapat memberi anak-anak sedikit kesenangan akhirnya terlantar menerima apa sahaja di depan mata. Makan minum mandi yang diuruskan isteri. Melihat anak-anak berpakaian sekolah tetapi tidak ada wang belanja. Segala-gala sekadar ada.
Melihat ketua keluarga yang menyediakan keperluan seisi rumah tidak berdaya. Setiap butir kata yang dilontarkan di kaca TV, memperlihatkan rasa terkilan menebal dalam dada. Jika dia sihat tentu dia akan menyediakan yang terbaik. Malang, Allah menakdirkan lain. Terlantar dipembaringan itu bahagian yang Allah tentukan sekarang. Berdoa agar Allah akan mengurniakan kesihatan semula, dan si ayah upaya untuk menunaikan tanggungjawab pada isteri dan anak-anak.
Saya melihat dengan sebak. Tetapi tidak tahu bagaimana sihat itu adalah satu nikmat yang lebih utama berbanding semua kekayaan dalam dunia.
Lalu dalam sela waktu yang tidak berapa lama, Allah menarik kembali pinjaman nikmat bersuara pada saya. Subhanallah. Tidak pernah terjadi keadaan yang suara langsung tidak boleh dikeluarkan. Cuma mampu berbisik sahaja, tidak lebih.
Orang memandang saya seperti kurang upaya. Mereka melihat dan tersenyum tetapi tidak cuba mahu berbual. Kerana mereka tahu mereka tidak boleh faham apa yang diperkata. Apa yang ada pada saya hanya senyum, dan isyarat tangan yang saya tidak dapat berkomunikasi. Mereka segera faham tetapi akan senyap selepas itu. Begitu. Dan dari mata mereka jelas ada simpati. Baik mereka atau saya masing-masing tahu tidak ada apa yang boleh dibuat lagi. Kecuali diam menghormati kemalangan yang berlaku pada saya dan berdoa moga cepat sembuh.
Apa yang berlaku sewaktu ujian senyap?
Perasaan akan meronta-ronta untuk bercakap. Apatah lagi kalau ada benda yang mahu dikongsi. Melihat orang berbual dengan lancar dengan telefon bimbit menjadikan hati sangat cemburu. Lalu akan mencuba juga sehingga yang keluar bunyi seperti seekor angsa. Atau bunyi suara 'pink lady' dalam bentuknya yang asli. Kita akan memandang orang untuk meminta sesuatu, tetapi bila mereka tidak mendengar apa-apa mereka akan memaling ke tempat lain. Pada masa itu anda adalah seorang halimunan. Tidak kelihatan pada pandangan orang walau jasad anda berdiri di hadapan.
Sakit akan membuat kita menghargai mereka yang ada disekeliling. Yang membantu untuk menjadi penterjemah pada apa yang mahu disampaikan. Yang tolong berurusan hatta sekadar hanya mahu memesan makanan. Yang tetap mahu mendengar, walau yang keluar hanya bisikan. Dan yang paling utama menyedarkan bahawa manusia itu memang tidak berdaya.
Sakit ada nikmat. Ia menjadi kita lebih sensitif. Menghargai apa yang ada kemudian ditarik kemudian dipulangkan semula. Bersyukur. Dan baru akan benar-benar faham kalimah, ingat 5 sebelum 5. Termasuk bersyukur dengan kesihatan, sebelum datang sakit.
Namun senyap ini membuat saya mendengar sesuatu. Mungkin kita semua jarang beri perhatian pada bunyi ini. Saya mendengar suara dari dalam diri yang mengajak berbicara, merenung, berfikir dan menginsafi. Itulah nikmat senyap yang tidak akan dijumpai ketika hiruk pikuk.
Allahumma Yassir, Wa La Tu’assir. Rabbi Tammim Bil Khair.

Monday, August 02, 2010

Realiti TV: Penjelmaan Colosseum Zaman Moden 2

Realiti TV dan senarai yang semakin luas, Mentor, Akademi Fantasia 1-8, Malaysian Idol, Gadis Melayu. Yang berciri Islam, Akademi Al Quran dan terkini, Imam Muda yang menobatkan Ashraf sebagai juara pertama. Memborong semua rancangan realiti TV sebagai semuanya sama tentu tidak adil bukan?

Imam Muda yang berbeza dari segi pengisian, namun dalam memberi klasifikasi ia tetap sebuah rancangan realiti TV. Realiti TV secara tidak langsung adalah Colosseum bentuk baru yang dijenamakan semula selaras dengan perubahan zaman. Lebih terkehadapan, tidak perlu berada di arena untuk melihat para gladiator berentap. Cukup dengan memetik suiz televisyen, lebih 2 juta akan menumpukan mata masing-masing.

Rakyat akan lupa segala tentang hal yang penting-penting. Mengenai pelarasan atau kenaikkan harga barang menjelang aidilfitri, yang akan memberi impak langsung pada golongan miskin dan berpendapatan sederhana, pada hasil bumi yang dijarah dan dimanupulasi untuk kepentingan politik, pada air dan tanah yang dijangkiti kuman kencing tikus, pada masyarakat yang 34 tahun merdeka masih tidak mendapat bekalan air bersih secara konsisten, pada anak-anak sekolah yang sudah berani tampil bercerita di media mengenai kegiatan zina secara beramai-ramai dan bergilir-gilir, pada sampah yang dikumpulkan sekali bersama janin dan bayi yang baru lahir, segala-galanya. Bagi masyarakat kita, ia bagai sudah tidak dipeduli. Seluruhnya diletakkan atas peranan kerajaan tempatan, anggota keselamatan, badan kebajikan tetapi bukan atas anggota masyarakat yang akan bertindak dan mencegah.

Kita tidak akan melihat orang terbunuh dan dibunuh dalam realiti TV, mana boleh disamakan dengan Gladiator. Benar, secara jelas begitu. Tetapi kita tidak pernah menyelak apa yang ada disebaliknya. Realiti TV membenarkan pembunuhan karakter. Segala baik buruk cerita silam ditelanjangkan mungkin dengan persetujuan, namun tanpa menimbang dengan serius impak jangka panjang. Segala-gala dicungkil, penonton terhibur, pemain mendapat kepuasan, namun segala-galanya bersifat sementara.

Kita sudah melihat satu persatu pemain realiti TV rebah tanpa pembelaan, setelah aksi mereka dipertonton dan pemodal mendapat pulangan yang banyak. Lebih buruk, penonton juga melabur wang bukan sedikit untuk mengundi sms. Ini tarikan Colosseum gaya baru. Penonton mengambil peranan pada aksi yang akan dimainkan atau pada keputusan yang akan diumum. Methodologi sama seperti dalam cerita Gladiator. Penonton akan menjerit kill, kill, kill pada lawan yang tumbang tapi masih bernyawa. Lalu Gladiator yang tinggal akan segera mengangkat kapak tinggi-tinggi ke langit untuk menghabisi riwayat tamat di atas arena.
Ada juga laporan berita mereka ada yang mendapat rawatan psikitari kerana tekanan jiwa. Pada segala bentuk janji manis produksi tetapi tidak ditunai. Ada yang menjulang naik mendadak, turun juga mendadak. Seolah-olah mereka tiada memberi impak yang real berbanding rancangan yang mereka katakan realiti itu. Selepas permainan tamat, mereka dilupakan. Begitu mudah.

Namun ada yang menyanggah. Kita sudah ada rancangan yang lebih positif seperti Imam Muda. Benar, IM adalah satu bentuk rancangan yang dapat mencorak dan mengajak generasi kepada kebajikan dan kebaikkan. Malah untuk patuh pada syariat dan mengajak remaja bercita-cita menjadi pemimpin barisan hadapan dalam masyarakat. Lebih banyak rancangan seperti ini lebih bagus, mungkin akan datang akan ada rancangan Pidato yang akan melatih generasi baru menjadi orator unggul seperti Sukarno atau Martin Luther King (Mat Sabu juga boleh).


Walau apa pun alasan untuk menjustifikasi, realiti TV yang diharap untuk mengubah jangan nanti hanya bersifat superfisial. Ia perlu ada esensi, difahami dengan penuh kesedaran, diperjuang dengan landasan yang benar, baru ia akan mendapat impak yang baik. Kita mengharap rancangan IM dapat menghasilkan tokoh pembaharu. Moga dengan istiqamah dan niat yang ikhlas ia akan dapat dicapai.

Namun dengan meniliti, sejarah tokoh pembaharu tidak pernah terbit dari budaya popular yang dinobatkan masyarakat. Tokoh pembaharu adalah pemberontak yang keluar hasil dari proses pemikiran, analitikal, observasi dan kesedaran sosial yang tinggi. Seperti Maximus.
Dalam legasi Islam, yang dikisahkan melalui jalur perwira dari rumah kenabian. Ibrahim, Ismail, Musa, Daud, Isa dan Rasulullah. Baginda (ahs) ialah penentang struktur budaya politheisme dan menganjurkan monotheisme asli. Mereka adalah ikon-ikon yang diumpakan seperti bunga Silver Sword. Yang berkembang dari rekahan lava gunung berapi.

Baginda (ahs) bukan tokoh popular yang diangkat masyarakat. Tetapi tokoh yang memberi kesedaran total, kemudian baru masyarakat mengangkat mereka sebagai pemimpin. Kerana apa yang dibawa ada esensi dan nilai istiqamah. Perjuangan hakikat, dan inilah realiti paling hakikat dari realiti yang ada.

Pesimis pada rancangan IM? Buat masa ini tidak. Berdoa moga segala berjalan lancar. Agar jalan dakwah IM yang dinobatkan lebih luas. Moga tiada polisi yang menekan dikenakan pada mereka sehingga membuat kaki mereka terpasung dari menegakkan slogan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Moga mereka akan jadi tokoh ikutan, harapan baru generasi Ulul Albab. Orang muda intelektual yang berakhlak tinggi.

InsyaAllah.

Sunday, August 01, 2010

Realiti TV: Penjelmaan Colosseum Zaman Moden 1

Salah satu filem yang sering diulang tayang ialah Gladiator. Hasil kerja tangan Ridley Scott dan senarai aktor terbaik tahun 2000, Russel Crowe dan Joaquin Phoenix. Filem ini hebat kerana mengangkat sejarah dan politik sekaligus, dalam latar Rom yang dibuat secara rinci dan teliti. Tagline yang kekal dalam ingatan sepanjang zaman ialah yang dipetuturkan oleh Commodus (Joaquin Phoenix) rival kepada Maximus (Russel Crowe): a general who becomes a slave, a slave who become a gladiator, a gladiator who defies an emperor.

Kali ini, melihat dari sudut berbeza. Dengan melihat Colosseum secara dekat. Peranan terhadap struktur masyarakat Rom dan bagaimana Caesar Commodus memanupulasi Colosseum dalam survival karier politiknya.

Colosseum ialah arena mega, tidak boleh dibayangkan sebesar mana, tetapi boleh memuatkan seramai 50,000 penonton dalam satu-satu masa. Pentasnya adalah ruang terbuka yang besar, menampilkan perlawanan berdarah sehingga mati oleh para gladiator. Gladiator yang tarafnya lebih rendah dari hamba, dibeli untuk menyaksikan mereka mati dalam aksi. Tidak boleh dibayangkan bagaimana masyarakat Rom yang belum mengenal konkrit tetulang dapat membina bangunan mega. Namun, ia kekal ada sebagai bukti sejarah bagaimana binaan mempengaruhi kedudukan sesuatu kerajaan pada masa lalu. Juga kekal sebagai amalan hari ini, KLCC, Burj Al Dubai, 101 Taipei dan banyak lagi.

Berbalik pada cerita, Caesar Marcus Arelius (bapa Commodus) selepas kemenangan perang di Germania (jajahan takluk terakhir empayar Rom) berhasrat untuk menamakan pengganti takhta empayar memadangkan beliau sudah renta. Untuk membolehkan transisi pemerintahan berlaku dengan sempurna, penama takhta perlu diumumkan.
Mengejutkan Caesar memilih Maximus, Jenderal perang Rom bukan Commodus. Itupun hanya kerana Caesar mempercayai Maximus adalah orang yang tepat untuk mengekalkan kestabilan dan keselamatan politik Rom sebelum menyerahkan kuasa politik semula kepada rakyat yang diwakili oleh senator. Caesar membayangkan idealisme Rom, dari rakyat kepada rakyat, sebuah idea negara republik akan dijelmakan secara realiti. Disinilah Commodus membuat onar. Kerana cita-cita nekad untuk menjadi Caesar, Commodus membunuh bapanya sendiri.

Mengisytihar diri sebagai waris takhta yang sah, Commodus menuntut Maximus menyatakan bai'ah. Hanya Maximus mempunyai pengaruh terbesar dalam militari. Kesetiaan Maximus adalah pelan paling strategik dalam struktur Caesar yang baru. Tetapi, Maximus, petani yang menjadi jenderal adalah orang bermoral yang menjunjung nilai. Yang mencintai Marcus Arelius seperti seorang bapa. Tahu kematian Maharaja adalah kerana dibunuh, walau orang sekeliling cuba menutup mata. Maximus menentang, begitulah kisah bermula bagaimana jenderal menjadi gladiator.

Peristiwa Maximus sebagai gladiator ialah kisah yang menghantar. Isu terbesar ialah tentang waktu transisi politik maharaja sehebat Marcus Arelius kepada Commodus. Commodus dibayangi kehebatan bapanya yang meluaskan empayar sehingga meliputi Afrika dan Eropah, juga seorang filsof yang penuh hikmah. Di pengakhiran hidupnya, dia meninggalkan wasiat agar Rom dikembalikan kuasanya pada senator yang mewakili suara rakyat. Sebuah negara Republik yang asli sebagaimana idea penubuhannya.

Bila Commodus bermain siasah, dia bermain dengan siasah yang bahaya. Siasah yang mengumpulkan musuh disekeliling. Untuk mengimbangi Commodus mengambil langkah yang akan membeli hati rakyat secara massa, dan rakyat akan mencintai Commodus kerananya. Dengan membuka semula Colosseum dan membawa aksi berdarah di tengah kota Rom selama 150 hari dalam usaha memperingati kematian Caesar Marcus Arelius.

Kenapa membuka Colosseum untuk membeli hati rakyat? Kenapa mahu mendapat sokongan rakyat? Di sinilah terletak kebijaksanaan Commodus. Commodus tahu peranan Senator adalah disebabkan oleh sokongan rakyat, jika rakyat menolak maka kedudukan senator akan tumbang. Commodus memanupulasi kebodohan rakyat untuk mengekalkan takhta. Caesar tahu bahawa rakyat tidak perlu banyak, lagi pula majoriti rakyat bukanlah orang yang berpelajaran. Rakyat hanya memerlukan hiburan untuk membuatkan mereka lupa memikirkan apa yang lebih penting. Dalam kes ini, mengalihkan perhatian rakyat dari mendapat idea bahawa inilah masa yang paling tepat untuk mengubah landskap politik Rom, dari autokrasi ke tangan rakyat.

Pentas Colosseum dibuka. Rakyat (mob) terlupa akan segala-galanya. Fikiran mereka diracuni dengan hiburan yang mengujakan. Peristiwa perang yang dikisahkan melalui drama, yang pembunuhan adalah pembunuhan sebenar. Darah, potong tangan, kepala, kaki, tali perut terburai, tengkorak pecah, badan terputus dua, ditelanjangkan semua. Ditayangkan langsung tanpa ada ulangan dan tapisan.


Tetapi siasah Commodus siasah yang separuh masak. Dia tidak tahu Maximus tidak mati ketika dihukum bunuh kerana menolak bai'ah. Pegawai menipu Commodus dengan mengatakan Maximus telah dihabisi. Satu plot cerita yang tidak disangka, Maximus bangkit di dataran arena Colosseum dan dinobatkan sebagai ikon popular. Yang namanya disanjung, disebut-sebut oleh 50,000 pengunjung. Yang menenggelamkan Caesar sebagai pemimpin Rom yang utama. Maximus menjadi ikon penyelamat di seluruh Rom. Hero popular bikinan tidak sengaja Commodus, tetapi masih terpasung kaki tidak dapat berbuat apa-apa.

Dan hari ini, rancangan realiti TV adalah jelmaan semula Colosseum yang dibuat tanpa binaan mega seperti arena di Rom. Untuk mencari Gladiator baru zaman moden yang dipuja masyarakat massa.