Thursday, August 05, 2010

Nikmat Sakit

Sewaktu menonton Bersamamu TV3 mengenai kisah seorang pemandu yang hampir lumpuh akibat tersadung kaki sewaktu membersihkan lori, hati disentuh. Seorang bapa yang dahulu dapat memberi anak-anak sedikit kesenangan akhirnya terlantar menerima apa sahaja di depan mata. Makan minum mandi yang diuruskan isteri. Melihat anak-anak berpakaian sekolah tetapi tidak ada wang belanja. Segala-gala sekadar ada.
Melihat ketua keluarga yang menyediakan keperluan seisi rumah tidak berdaya. Setiap butir kata yang dilontarkan di kaca TV, memperlihatkan rasa terkilan menebal dalam dada. Jika dia sihat tentu dia akan menyediakan yang terbaik. Malang, Allah menakdirkan lain. Terlantar dipembaringan itu bahagian yang Allah tentukan sekarang. Berdoa agar Allah akan mengurniakan kesihatan semula, dan si ayah upaya untuk menunaikan tanggungjawab pada isteri dan anak-anak.
Saya melihat dengan sebak. Tetapi tidak tahu bagaimana sihat itu adalah satu nikmat yang lebih utama berbanding semua kekayaan dalam dunia.
Lalu dalam sela waktu yang tidak berapa lama, Allah menarik kembali pinjaman nikmat bersuara pada saya. Subhanallah. Tidak pernah terjadi keadaan yang suara langsung tidak boleh dikeluarkan. Cuma mampu berbisik sahaja, tidak lebih.
Orang memandang saya seperti kurang upaya. Mereka melihat dan tersenyum tetapi tidak cuba mahu berbual. Kerana mereka tahu mereka tidak boleh faham apa yang diperkata. Apa yang ada pada saya hanya senyum, dan isyarat tangan yang saya tidak dapat berkomunikasi. Mereka segera faham tetapi akan senyap selepas itu. Begitu. Dan dari mata mereka jelas ada simpati. Baik mereka atau saya masing-masing tahu tidak ada apa yang boleh dibuat lagi. Kecuali diam menghormati kemalangan yang berlaku pada saya dan berdoa moga cepat sembuh.
Apa yang berlaku sewaktu ujian senyap?
Perasaan akan meronta-ronta untuk bercakap. Apatah lagi kalau ada benda yang mahu dikongsi. Melihat orang berbual dengan lancar dengan telefon bimbit menjadikan hati sangat cemburu. Lalu akan mencuba juga sehingga yang keluar bunyi seperti seekor angsa. Atau bunyi suara 'pink lady' dalam bentuknya yang asli. Kita akan memandang orang untuk meminta sesuatu, tetapi bila mereka tidak mendengar apa-apa mereka akan memaling ke tempat lain. Pada masa itu anda adalah seorang halimunan. Tidak kelihatan pada pandangan orang walau jasad anda berdiri di hadapan.
Sakit akan membuat kita menghargai mereka yang ada disekeliling. Yang membantu untuk menjadi penterjemah pada apa yang mahu disampaikan. Yang tolong berurusan hatta sekadar hanya mahu memesan makanan. Yang tetap mahu mendengar, walau yang keluar hanya bisikan. Dan yang paling utama menyedarkan bahawa manusia itu memang tidak berdaya.
Sakit ada nikmat. Ia menjadi kita lebih sensitif. Menghargai apa yang ada kemudian ditarik kemudian dipulangkan semula. Bersyukur. Dan baru akan benar-benar faham kalimah, ingat 5 sebelum 5. Termasuk bersyukur dengan kesihatan, sebelum datang sakit.
Namun senyap ini membuat saya mendengar sesuatu. Mungkin kita semua jarang beri perhatian pada bunyi ini. Saya mendengar suara dari dalam diri yang mengajak berbicara, merenung, berfikir dan menginsafi. Itulah nikmat senyap yang tidak akan dijumpai ketika hiruk pikuk.
Allahumma Yassir, Wa La Tu’assir. Rabbi Tammim Bil Khair.

No comments: