Realiti TV: Penjelmaan Colosseum Zaman Moden 2

Realiti TV dan senarai yang semakin luas, Mentor, Akademi Fantasia 1-8, Malaysian Idol, Gadis Melayu. Yang berciri Islam, Akademi Al Quran dan terkini, Imam Muda yang menobatkan Ashraf sebagai juara pertama. Memborong semua rancangan realiti TV sebagai semuanya sama tentu tidak adil bukan?

Imam Muda yang berbeza dari segi pengisian, namun dalam memberi klasifikasi ia tetap sebuah rancangan realiti TV. Realiti TV secara tidak langsung adalah Colosseum bentuk baru yang dijenamakan semula selaras dengan perubahan zaman. Lebih terkehadapan, tidak perlu berada di arena untuk melihat para gladiator berentap. Cukup dengan memetik suiz televisyen, lebih 2 juta akan menumpukan mata masing-masing.

Rakyat akan lupa segala tentang hal yang penting-penting. Mengenai pelarasan atau kenaikkan harga barang menjelang aidilfitri, yang akan memberi impak langsung pada golongan miskin dan berpendapatan sederhana, pada hasil bumi yang dijarah dan dimanupulasi untuk kepentingan politik, pada air dan tanah yang dijangkiti kuman kencing tikus, pada masyarakat yang 34 tahun merdeka masih tidak mendapat bekalan air bersih secara konsisten, pada anak-anak sekolah yang sudah berani tampil bercerita di media mengenai kegiatan zina secara beramai-ramai dan bergilir-gilir, pada sampah yang dikumpulkan sekali bersama janin dan bayi yang baru lahir, segala-galanya. Bagi masyarakat kita, ia bagai sudah tidak dipeduli. Seluruhnya diletakkan atas peranan kerajaan tempatan, anggota keselamatan, badan kebajikan tetapi bukan atas anggota masyarakat yang akan bertindak dan mencegah.

Kita tidak akan melihat orang terbunuh dan dibunuh dalam realiti TV, mana boleh disamakan dengan Gladiator. Benar, secara jelas begitu. Tetapi kita tidak pernah menyelak apa yang ada disebaliknya. Realiti TV membenarkan pembunuhan karakter. Segala baik buruk cerita silam ditelanjangkan mungkin dengan persetujuan, namun tanpa menimbang dengan serius impak jangka panjang. Segala-gala dicungkil, penonton terhibur, pemain mendapat kepuasan, namun segala-galanya bersifat sementara.

Kita sudah melihat satu persatu pemain realiti TV rebah tanpa pembelaan, setelah aksi mereka dipertonton dan pemodal mendapat pulangan yang banyak. Lebih buruk, penonton juga melabur wang bukan sedikit untuk mengundi sms. Ini tarikan Colosseum gaya baru. Penonton mengambil peranan pada aksi yang akan dimainkan atau pada keputusan yang akan diumum. Methodologi sama seperti dalam cerita Gladiator. Penonton akan menjerit kill, kill, kill pada lawan yang tumbang tapi masih bernyawa. Lalu Gladiator yang tinggal akan segera mengangkat kapak tinggi-tinggi ke langit untuk menghabisi riwayat tamat di atas arena.
Ada juga laporan berita mereka ada yang mendapat rawatan psikitari kerana tekanan jiwa. Pada segala bentuk janji manis produksi tetapi tidak ditunai. Ada yang menjulang naik mendadak, turun juga mendadak. Seolah-olah mereka tiada memberi impak yang real berbanding rancangan yang mereka katakan realiti itu. Selepas permainan tamat, mereka dilupakan. Begitu mudah.

Namun ada yang menyanggah. Kita sudah ada rancangan yang lebih positif seperti Imam Muda. Benar, IM adalah satu bentuk rancangan yang dapat mencorak dan mengajak generasi kepada kebajikan dan kebaikkan. Malah untuk patuh pada syariat dan mengajak remaja bercita-cita menjadi pemimpin barisan hadapan dalam masyarakat. Lebih banyak rancangan seperti ini lebih bagus, mungkin akan datang akan ada rancangan Pidato yang akan melatih generasi baru menjadi orator unggul seperti Sukarno atau Martin Luther King (Mat Sabu juga boleh).


Walau apa pun alasan untuk menjustifikasi, realiti TV yang diharap untuk mengubah jangan nanti hanya bersifat superfisial. Ia perlu ada esensi, difahami dengan penuh kesedaran, diperjuang dengan landasan yang benar, baru ia akan mendapat impak yang baik. Kita mengharap rancangan IM dapat menghasilkan tokoh pembaharu. Moga dengan istiqamah dan niat yang ikhlas ia akan dapat dicapai.

Namun dengan meniliti, sejarah tokoh pembaharu tidak pernah terbit dari budaya popular yang dinobatkan masyarakat. Tokoh pembaharu adalah pemberontak yang keluar hasil dari proses pemikiran, analitikal, observasi dan kesedaran sosial yang tinggi. Seperti Maximus.
Dalam legasi Islam, yang dikisahkan melalui jalur perwira dari rumah kenabian. Ibrahim, Ismail, Musa, Daud, Isa dan Rasulullah. Baginda (ahs) ialah penentang struktur budaya politheisme dan menganjurkan monotheisme asli. Mereka adalah ikon-ikon yang diumpakan seperti bunga Silver Sword. Yang berkembang dari rekahan lava gunung berapi.

Baginda (ahs) bukan tokoh popular yang diangkat masyarakat. Tetapi tokoh yang memberi kesedaran total, kemudian baru masyarakat mengangkat mereka sebagai pemimpin. Kerana apa yang dibawa ada esensi dan nilai istiqamah. Perjuangan hakikat, dan inilah realiti paling hakikat dari realiti yang ada.

Pesimis pada rancangan IM? Buat masa ini tidak. Berdoa moga segala berjalan lancar. Agar jalan dakwah IM yang dinobatkan lebih luas. Moga tiada polisi yang menekan dikenakan pada mereka sehingga membuat kaki mereka terpasung dari menegakkan slogan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Moga mereka akan jadi tokoh ikutan, harapan baru generasi Ulul Albab. Orang muda intelektual yang berakhlak tinggi.

InsyaAllah.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK