MRRAZ: Pasangan Hadiah yang Sempurna

The Companion of the Perfect Gift

Ramadhan adalah bulan disyariatkan puasa (Al Baqarah:183). Puasa dilengkapkan dengan tujuannya yang terang iaitu untuk mencapai taqwa. Ada orang menafsirkan taqwa sebagai takutkan Allah. Saya mengambil definisi TAQWA sebagai piety, holiness, godliness. Perasaan penuh berTuhan pada setiap masa dan keadaan. Rasa ketundukan atas segala perintah dan menahan diri dari segala larangan dengan keyakinan penuh.

TAQWA, ia adalah perkataan besar. Untuk mencapainya bukan mudah. Meski seruan berpuasa wajib pada setiap umat Islam, ayat suruhan berpuasa di bulan Ramadhan bermula dengan perkataan ‘Wahai orang yang beriman.’ Dengan makna Allah sendiri sudah mengetahui kualiti umat zaman kerana itu dipilih perkataan ‘orang beriman’ bukan ‘orang Islam’. Yang paling minima menyahut syariat Allah ini ialah bila ada iman dalam dada. Itu akan menjawab kenapa ramai orang yang ditangkap tidak berpuasa. Itu juga menjawab laporan berita TV kenapa pihak berkuasa agama menjadi lebih sibuk di bulan ini. Katalah kita berpeluang bertanya pada mereka yang sengaja meninggalkan puasa dan pada masa yang sama mereka mengetahui tentang ayat Al Quran itu adakah mereka akan menjawab “Apa kau peduli, dah tentu aku tak de iman, buat apa nak berpuasa.”? Jika untuk memperoleh iman begitu sukar, apa lagi TAQWA.

Meski kita memahami makna TAQWA akan ada satu soalan seterusnya, bagaimana hendak mencapainya? Soalan ini Allah sudahpun memberi jawapan. Rahsianya dibongkar dalam bulan Ramadhan.

Berpuasalah di bulan Ramadhan kata Allah, supaya kamu berTAQWA (Al Baqarah:183). Kata Allah juga dalam surah yang sama “Inilah Kitab, tidak ada sebarang keraguan pun di dalamnya, (dan ia menjadi) petunjuk bagi orang-orang berTAQWA.” Kedua-duanya berjumpa di bulan Ramadhan seperti mana penjelasan Allah,

Ramadhan adalah bulan diturunkan Al Quran, sebagai petunjuk bagi manusia, juga sebagai petunjuk dan furqan (pembeza antara hak dan batil)”. (Al Baqarah:185).

Inilah hubungan langsung, antara Ramadhan dan TAQWA. Al Quran dan TAQWA. Berpuasa di bulan Ramadhan tidak diistimewakan begitu rupa, melainkan kerana ia dipasangkan dengan Al Quran.

Atas segala ketelitian dan pemilihan, Allah sebenarnya mahu menunjukkan kita jalan TAQWA. Ada apa dengan itu?

‘It is not thee flesh and blood which reach Allah. Rather it is the TAQWA of your hearts which reaches Him.’ (22:37)


Ya, DIA mahu kita sampai kepadaNya. DIA sebenar-benar mahu kita sampai kepadaNya. Atas nama cinta DIA serahkan Al Quran sebagai The Perfect Gift, The Love Letter, sebagai panduan dan suluh yang terang. Manusia tidak pernah ditinggalkan Al Khaliq, hanya sahaja kita yang menutup mata untuk melihat yang jelas terang itu.

Al Quran ialah Kalam Allah. Tiada ayat dan perkataan dalam dunia yang lebih agung. Sabda Nabi Muhammad sendiri tidak dapat menyaingi. Tiada manusia yang mampu mencapai ketinggian struktur ayat, kandungan, makna dan mesej avant garde yang akan terus relevan merentasi zaman. Sepanjang masa ayat-ayatnya selalu baru. Seperti Allah sendiri menitip pesan yang dibisikkan ditelinga, langsung tanpa perantara. Itulah bukti CINTA.

Setiap helaian Al Quran adalah kata-kata penuh kasih dan sayang. Setiap satunya haruman, manisan dan pesan rindu. Dan bahawa sesungguhnya DIA mahu, kita sampai padaNya. Subhanallah.

Ya, saya selalu mahu merai bulan ini sebagai bulan manifestasi cinta yang paling agung. Bila masa rasa ditinggalkan sebenarnya DIA terlalu dekat. Lalu DIA menganugerahkan Ramadhan saban tahun sebagai keraian dan bukti kita dikasihi. Setiap masa dan detik di bulan ini ialah jalan untuk melihat wajahNya. Di mana-mana DIA, dan di mana-mana DIA sedang memandang dengan kasih.

Jika tiada Ramadhan, SURAT CINTA itu juga tidak akan disampaikan.


Ya Allah, nikmat yang mana satu akan kudustakan?

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah