Bunga + Api

Malam ini, jika sepertimana norma di tahun-tahun lalu, tepat jam 12 tengah malam nanti akan ada bunyi dentuman berlawanan dari Ampang dan KLCC. Seperti biasa juga kami akan keluar di halaman dan melihat langit hitam dihiasi percikan warna warni dari bunga api. Seperti perang, bunyi kuat menandakan semarak bermula kalender yang baru.

Marilah memberi makna pada bunga dan api untuk tahun 2013 ini.

Saya mungkin sudah tidak begitu hairan lagi melihat percikan api yang di'engineer' dengan ketepatan supaya dapat memberi persembahan di ruang udara. Layarnya langit Tuhan yang berwarna hitam, dijaga dengan penuh gilang gemilang oleh menara KLCC. Pertunjukkan yang mahal, saya percaya menelan belanja berjuta-juta dalam nilaian Ringgit Malaysia. 

Mimpi saya, duit yang berjuta-juta yang dibakar demi memuaskan hati penduduk kota atau bumi dapat diberikan sedikit kepada mereka yang masih lagi tidak terjamin makan pada keesokkan hari. Atau yang melarat berpenyakit di perbaringan tiada akses untuk perubatan sempurna. Atau untuk peluang pendidikan yang merata dan adil untuk semua. 

Untuk saya, 2013 adalah tahun bagi bunga bangsa. Tahun bagi anak muda dan remaja yang luar biasa, yang saya temui di celah masa ruang yang aneh, tetapi tetap menginspirasikan.

Ini cerita kami.

Cerita 1
Ketika berpanasan membuka gerai menjual buku di hadapan Perpustakaan Kuala Lumpur, saya tertarik kepada kelibat anak muda yang berpakaian batik seragam sekolah. Barangkali dia baru sampai dari sekolah, ambil masa berjalan-jalan di Kota Buku yang masih belum meriah dengan pengunjung. Kota Buku adalah inisiatif yang dibuat untuk menyemarakkan lagi budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia. Dengan jumlah yuran yang sangat sedikit, kami boleh membuka gerai dan berjualan buku baru dan lama.

Remaja berpakaian batik asrama begitu berminat memerhati satu-satu gerai dengan perasaan ingin tahu yang tinggi. Di gerai kami, dia meneliti judul buku sastera berat dari penulis mapan dan Sasterawan Negara. Fokusnya tinggi, bermakna minatnya juga tinggi. Tidak kekok berada di kalangan orang dewasa, dia tenggelam mencari judul buku yang menjadi dambaan hati.

Aneh, anak muda yang begitu keanak-anakkan wajahnya, datang seorang. Berpakaian seragam asrama, dengan berpeluh menahan panas, saya lihat dia tenggelam dalam mencari. Songkok pun dilepaskan kerana matahari begitu galak menaungi. Dia bertanya kepada rakan saya tentang beberapa judul buku dan berhasrat untuk membeli. Modal sebagai anak sekolah tidak banyak, tetapi dikeluarkan juga duit dengan nota beberapa keping berwarna merah dan biru untuk melengkapkan transaksi. Ajaib, anak muda ini membaca karya Sasterawan Negara!

Cerita 2
Tahun lalu, Tuhan mentakdirkan saya bertemu dengan sekelompok anak muda yang percaya, bahawa tanpa modal, pekerjaan, duit mereka tetap boleh berbakti pada negara dan bangsa. Mereka telah memperuntukkan sebahagian besar waktu hujung minggu mereka demi untuk berbakti kepada anak-anak yang dipinggirkan. Yang berada di kelas akhir di sekolah, ibu bapa dengan tanggungan ramai dan di bawah RM800 pendapatan bulanan. Perjalanan yang memakan masa 30 minit bukan halangan, sebaik sahaja sampai di rumah anak-anak yatim dan miskin, pelajaran dimulakan.

Mereka bukan setakat membantu memberi faham kerja-kerja sekolah tertangguh, juga aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada pencapaian kognitif. Mereka juga bermain bola, membuat permainan pendidikan, memberi ceramah motivasi, atau sekadar bersama mereka mendengarkan cerita dan meminjamkan telinga mendengar cerita mereka. Tangan-tangan anak-anak muda ini adalah tangan budiman yang mahal, kerana tidak kekok mengusap kepada menyalurkan rasa kasih dan peduli.

Ramai yang bertanya, perubahan apa yang boleh dilakukan jika hanya menghabiskan masa setengah hari untuk mengajar. Bukan dapat membimbing mereka setiap hari, tidak ada banyak yang boleh dilakukan. Jangankan orang yang bertanya, kami sendiri bertanya.

Tetapi saya percaya, kaki mereka melangkah ke rumah anak-anak miskin dan yatim itu sendiri detik sejarah dan perubahan. Mereka dapat mengumpul beberapa orang rakan yang tidak pernah peduli tentang ganjaran material itu sendiri perubahan. Anak-anak yang introvert tidak percaya pada orang lain kerana didera oleh ibu bapa sendiri, sudah mula membuka hati untuk bergaul dan bercakap juga perubahan. Anak-anak yang sudah tidak lagi terpaku di hadapan TV, sebaliknya mengajak dua tiga orang rakan sebaya untuk membuat latihan kendiri secara berkumpulan juga perubahan. Menyaksikan tangan-tangan ghaib di belakang gerakan ini yang memberi derma secara berkala, sokongan dan doa juga, pada saya perubahan.

Saya percaya, ini gerakan seperti air sungai mengalir. Setiap benda yang bergerak, menjamin perubahan sedang berlaku, dan insyaAllah, yang baik dan diredhaiNya.   

Cerita 3
Ketika berbengkel menulis di tahun-tahun 2007-2008 yang lalu, saya juga di kelilingi remaja-remaja luar biasa. Yang mencebur diri dalam peluang-peluang pembelajaran di luar kampus dan komuniti kampung/bandar. Mencari di internet, mendaftar diri kemudian mencabar diri mengikuti.

Ini mulanya saya menjumpai anak-anak muda luar kotak yang tidak berfikir seperti majoriti seusia dengan mereka berfikir. Yang tidak membuat perkara yang sama seperti majoriti golongan mereka buat di luar. Yang tegar membaca bacaan-bacaan kritikal yang mencabar minda dan kreativiti. Menjadikan mereka juga kelompok yang luar biasa kebolehan berfikir dan kreatif.

Seorang anak muda, yang penampilannya selalu tidak meyakinkan saya. Pendiam tetapi mempunyai mata yang cemerlang, menyimpan kertas kecil dalam dompetnya. Satu hari, di bengkel kami mendapat kesempatan berbual dan beliau menunjukkan kertas kecil yang dijaga begitu rapi. Seperti emas yang sangat mahal. Saya sendiri tertanya-tanya penuh debaran apa catatan dalam kertas yang berlipat-lipat, penuh tulisan dan kelihatan begitu lusuh tanda selalu digunakan.

Kertas itu adalah senarai buku-buku Sasterawan Negara A. Samad Said yang beliau sudah habis baca dan hadam! Beliau, Nazwan Hafeez, anak muda pelajar kejuruteraan yang mengambil serius bahan bacaan yang dipilih untuk ditelaah.

Cerita 4
Saya berkenalan dengan seorang Ustaz, pemilik toko buku internet Raudhah Al Miqyas yang menjual buku-buku bermutu dari Indonesia. Bahan bacaan Islamik, wacana falsafah, parenting, buku kanak-kanak dan banyak lagi.

Beliau mempunyai anak berusia 4 tahun dan seorang lagi akan berinjak umur 2 tahun. Ilkiya ialah nama kanak-kanak yang mengkagumkan kerana diajar bersekolah hanya di dalam rumah, yang dibantu sepenuh khidmat ibu yang penyayang.

4 tahun beliau sudah boleh membaca, menggemari tokoh-tokoh Islam seperti Sultan Muhammad Al Fateh, malah tahu menyebut satu persatu nama orang kanan Sultan Muhammad Al Fateh, sudah boleh membaca ayat-ayat Al Quran dan menghafal ayat-ayat lazim, dan terbaharu, saya diberi maklum ayahanda Ilkiya, beliau sudah pun selesai menghafaz Surah Yaasin.

Saya pernah berkunjung ke rumah Ustaz, Ilkiya anak kecil luar biasa itu mempunyai meja belajar sendiri. Memilih sendiri hiasan yang diletakkan di atas meja, juga memilih sendiri gambar poster Sultan Muhammad Al Fateh untuk dihiasa di dinding depan meja kecilnya. Anak kecil yang begitu rajin menolong ayah dan ibu, dan selalu ada kata-kata yang saya sendiri sejuk mendengarkan.

Bila ibu Ilkiya bertanya, "antara jari dan cincin yang ada di tangan, mana satu lebih cantik Kiya?"

"Tentulah jari ibu lebih cantik dari cincin, kerana cincin itu hanya buatan manusia, sedang jari ibu Allahlah yang menciptanya."

Tahun 2013, semoga ia menjadi tahun api. Perkataan anak-anak muda / remaja dalam bahasa Arab disebut sebagai Syabab, bermaksud api. Mereka adalah bunga + api sekaligus. Api yang akan menerangi langit malam yang kelam, api yang akan menunjuk jalan di jalan yang gelap gelita, api seperti di rumah api yang memberi panduan kapal-kapal yang berlayar dan berlabuh, api yang akan menghangatkan dunia yang dingin menjadi lebih nyaman.

Mereka harta negara lebih mahal tidak dapat dinilaikan dengan jutaan atau billion Ringgit Malaysia!

Malam tadi, saya masih keluar di halaman rumah. Melihat percikan bunga api yang meriah dari kejauhan. Jalan di hadapan rumah saya masih lagi jalan kegemaran jiran-jiran untuk berkumpul, merasai meriah tahun baru masihi. Budaya yang sudah lama. Bersorak dan bertepuk melihat pertunjukkan di layar langit Ilahi.

Bunga api yang cantik. Karya manusia yang cantik dan mempersona. Bukti kejuruteraan sempurna.

Setiap percikan, saya lihat, masa depan. Bunga + api yang akan digerakkan oleh anak-anak muda masa depan. Tahun ini, dan setiap hari, adalah tahun-tahun penuh harapan dan kasih sayang. Di antara mereka akan lahir juga Imam Ali, Sultan Muhammad Al Fateh!   

Comments

4feet8 said…
dari apa yg sy lihat,.. anak2 dipengaruhi perkara disekitarnya semasa membesar. sebagai contoh; jika dia membesar dgn kedua-dua ibubapanya suka membaca, dia juga turut suka membaca.
tapi bila mengenangkan suasana persekitaran sekarang, sy jadi takut dan terfikir, dimana nak membesarkan anak-anak dalam sosial masyarakat sekarang..
ASaL said…
Jadi tanggungjawab tu dah jatuh ke tangan setiap individu yang punya kesedaran sosial.

Contohnya, kita.

Mungkin dengan tindakan-tindakan kecil, seperti membelikan buku-buku, atau bawa anak-anak ke aktiviti fun learning (yang tetap membudayakan ilmu), buat small circle cam usrah (tapi tidak perlu kot guna perkataan usrah) yang kupas buku-buku, dan cuba dekat dengan anak-anak dengan memberikan mereka peluang berekspresi dan memberi pendapat.

Rasanya, kena mulakan.

Ingat kalau jadi family day nanti, kena buat small circle nilah secara santai. Sambil makan cekodok pun boleh.

Baru ni, dok lepak dengan sepupu, at least mereka open tuk mendengar, walau sikit sekali mereka nak mencelah. Akan datang insyaAllah, boleh bagi ruang lebih besar tuk mereka pulak yang berkongsi.

Errmmmm, ada formula lain?

mhimn said…
Kanak-kanak luar biasa. Teringat akan buku kegemaran sewaktu kecil, karya unggul Roald Dahl, Matilda.
Unknown said…
mhimn, saya pun belum pernah baca Matilda :p
ieka said…
ini juga boleh dikatakan Wow.. utk anak dan tentunya ibu bapa dia.. saya kata WOw hehe :-)

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah