Apa yang Kita Hilang - 2
Akhir-akhirnya ada ramai kawan bertanya mengenai banyak benda. Antaranya ialah bagaimana kita menangani perasaan bersalah pada kesalahan kita yang lalu-lalu. Ramai juga yang bertanya, kenapa kita menjadi umat yang tidak berdaya.
Saya kira soalan-soalan itu juga menampakkan kita kehilangan banyak benda dengan budaya yang kita ada. Terlalu bergantung kepada jawapan dari orang agama, dan lagi buruk orang-orang yang bukan agama tetapi kita percaya mereka boleh bagi kita jawapan juga sebagai salah satu kehilangan yang kita miliki.
Dr Lang telah membuka mata saya bagaimana kita perlu baca Al Quran. Paling tersentuh bila Dr Lang membicarakan tentang ayat 30 surah Al Baqarah. Di situlah soalan Dr Lang sepanjang hidupnya, iaitu tentang Tuhan dan kenapa Tuhan ciptakan dunia penuh kerosakkan. Hanya membaca surah kedua, Dr Lang telah menjumpai jawapan kepada sebab Dr Lang menjadi seorang atheist.
Saya mencari apa yang hilang. Apa yang salah dalam proses saya membaca. Di mana silapnya?
Setiap kali Dr Lang membaca sebaris ayat, Dr Lang akan berhenti dan berfikir. Bertanya kembali. Mencabar-cabar dan tidak rasa bersalah pula menyalahkan. Bahkan dalam satu keadaan Dr Lang seolah-olah sedang berkomunikasi ataupun berdebat dengan Tuhan. Semua ini berlaku ketika Dr Lang membaca hanya satu baris ayat dalam Quran.
Saya kira saya tahu apa yang saya hilang selepas mendengar beberapa klip Dr Lang. Saya tidak membaca dengan kritikal, saya tidak berani kerana saya dibesarkan dalam masyarakat menerima. Program Tanyalah macam-macam dalam TV juga saya kira akan membantutkan kemahiran untuk berani bertanya ini.
Apa yang Dr Lang temui dengan cara bacaannya seperti itu?
Dr Lang akhirnya menjumpai bahawa buku yang dibaca itu seolah-olah ditujukan untuk dirinya sendiri. Setiap satunya akhirnya mencabar dirinya untuk kembali berfikir secara rasional dan logikal. Yang pada mulanya untuk tahu, akhirnya Dr Lang dicabar untuk kembali berfikir sebagai seorang makhluk yang diciptakan oleh Maha Pencipta.
Dr Lang akhirnya menjumpai, Al Quran seperti surat cinta yang ditulis untuknya. Yang berbicara dengan Dr Lang secara aktif, bukan secara pasif.
Ini yang saya hilang, ini yang mungkin kita semua hilang. Kita hilang untuk mendapat manfaat langsung daripada Al Quran kerana terlalu bergantung kepada jawapan orang, berbanding dengan jawapan Tuhan yang mahu kita temui dalam ayat-ayatNya.
Saya kira hujung minggu ini saya mendapat satu solusi. Bahawa saya tidak perlu takut lagi. Jika ada orang takut-takutkan jika nanti saya tersalah, Al Quran sendiri telah menjamin dalam surah kedua, "Inilah Kitab yang tak ada sebarang keraguan pun dalamnya. Al Quran ini sendiri adalah petunjuk, petunjuk kepada orang-orang bertakwa."
Ada beberapa kisah dalam hidup kita yang mungkin terlalu hitam untuk diceritakan pada orang. Tetapi peristiwa ini menekan kita kerana kita akan dibawa rasa bersalah sepanjang hidup. Kerana itu kita rasakan perlu terpanggil untuk bercerita pada orang agama. Harap kita agar mereka dalam memberikan kita nasihat yang baik untuk kita lepas dari rasa bersalah itu.
Saya kira, jika peristiwa itu Tuhan rahsiakan kepada orang, bermakna atas belas ikhsanNya ia disembunyikan kerana mahu memelihara kita dari persepsi manusia yang tidak adil. Mungkin juga, Tuhan mahu kita kembali kepadaNya, semata-mata kepadaNya untuk meminta nasihat ini pada Dia.
Kerana itu Dia menghadiahkan kita surat-surat Cinta. Dan sebagai kekasih, Dia tidak akan kisah jika kita banyak soalan. Jika sekali-sekala kita bertanya dengan nada provokasi, jika kita bertanya dalam bentuk paling provokatif. Kerana Dia seorang kekasih yang paling memahami, tidak ada satu dalam hidup kita yang luput dari pengetahuan Dia, kerana Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Saya kira ini juga jawapan yang saya dapat untuk hadiah yang paling baik kita dapat berikan pada anak-anak. Ajari mereka untuk tidak takut untuk bertanya, tetapi ajarilah mereka untuk membaca surat Cinta (Al Quran) dengan segenap kekuatan intelektual yang mereka ada.
Kita tidak sedar yang kita mempunyai kemampuan itu kerana kita dibesarkan dalam masyarakat menerima.
Dr Lang menjelaskan ayat 31 surah Al Baqarah, "Tuhan mengajarkan Adam nama benda-benda." Ayat ini menunjukkan kita mempunyai kemampuan berfikir, peluang untuk diajarkan, potensi manusia untuk menjadi lebih baik malah lebih tinggi tingkatannya dari malaikat, sekiranyanya kita berada dalam jalanNya. Bahkah kita dilahirkan natural dengan kemampuan intelektual, untuk belajar dan untuk diajari. Kita perlu lebih dahulu sedar bahawa kemampuan ini memang sudah disediakan dalam diri kita sedari awal, sifat fitrah dan semulajadi diri kita.
Kerana itu kita berada dalam keadilan Tuhan yang tidak dapat dipertikaikan. Kita mungkin lahir dalam keluarga Islam, tetapi kita rasa selesa dan tidak perlu mencari. Mereka tidak pernah tahu Islam, tapi kemampuan intelektual mereka akan membuat mereka terdorong untuk tahu dan mencari. Kerana mereka masyarakat membaca, dan mereka membaca dengan cara yang benar dan kritikal. Kerana itu Tuhan Maha Adil dalam segenap keadaan, segenap keindahan
Kerana itu kita berada dalam keadilan Tuhan yang tidak dapat dipertikaikan. Kita mungkin lahir dalam keluarga Islam, tetapi kita rasa selesa dan tidak perlu mencari. Mereka tidak pernah tahu Islam, tapi kemampuan intelektual mereka akan membuat mereka terdorong untuk tahu dan mencari. Kerana mereka masyarakat membaca, dan mereka membaca dengan cara yang benar dan kritikal. Kerana itu Tuhan Maha Adil dalam segenap keadaan, segenap keindahan
Maha Suci Tuhan yang memberikan saya kesedaran ini. Dengan mengemas rumah juga kita mendapat satu bermakna. Sekiranya dalam tugas yang kita lakukan itu, kita niatkan untuk mendapat redha suami/isteri, redha Nabi dan akhirnya mendapat keberkatan dari Tuhan.
Kita mungkin selesa lahir dalam keluarga Islam. Tetapi keadaan itu tidak membawa kita ke mana-mana, malah static di tempatnya. Untuk anak-anak sendiri pun jarang dapat manfaat. Untuk keluarga sendiri pun jarang dapat manfaat.
Tetapi Dr Lang, di tangannya ada 3 buku yang ditulisnya sendiri. Bekal untuk orang lain, bekal untuk penebusan dirinya yang atheist satu masa dahulu, ketika berada di hadapan Tuhan.
Kita?
Kita terlalu banyak kehilangan, sudah sampai masanya untuk kita kembali mencari dan temui yang terbaik Allah sediakan untuk kita.
Kita mungkin selesa lahir dalam keluarga Islam. Tetapi keadaan itu tidak membawa kita ke mana-mana, malah static di tempatnya. Untuk anak-anak sendiri pun jarang dapat manfaat. Untuk keluarga sendiri pun jarang dapat manfaat.
Tetapi Dr Lang, di tangannya ada 3 buku yang ditulisnya sendiri. Bekal untuk orang lain, bekal untuk penebusan dirinya yang atheist satu masa dahulu, ketika berada di hadapan Tuhan.
Kita?
Kita terlalu banyak kehilangan, sudah sampai masanya untuk kita kembali mencari dan temui yang terbaik Allah sediakan untuk kita.
Comments