Regu

Bila sebut perkataan regu, yang paling sinonim adalah sukan badminton. Sebab ada kategori beregu. 

Tetapi ini entri sambungan, dan fokus di sini ialah regu baca atau dapat difahami juga dengan maksud rakan ganding baca.

Sepertimana bermain badminton, kita juga perlu ada regu baca. Tetapi selalu kita salah faham untuk mendapat regu baca yang sama level dan kapasiti intelektual dengan kita. Tidak selalunya perlu begitu. Seperti main badminton dalam kategori beregu, kedua-duanya mesti berada di posisi yang seimbang supaya serangan lawan dapat ditangkis dengan baik. Kalau seorang di depan, seorang lagi akan cover bahagian belakang. Kalau sorang duduk di sebelah kanan gelanggang, seorang lagi akan mengawal di kiri gelanggang. 

Begitu lebih baik, meski dalam mencari rakan untuk ganding baca. Yang saling melengkapi, yang duduk di kawasan tertentu, bukan overlapping. Overlapping pun kadang-kadang bagus juga, kerana ia akan membuatkan kita lebih faham tentang sesuatu.

Regu ganding saya pelbagai. Dari yang muda dan lebih berusia. Semuanya berperanan di tempat masing-masing. Tidak perlu mereka perlu baca apa yang saya baca, dan tidak juga selalunya perlu untuk saya baca apa yang mereka baca.

Regu baca saya yang pertama ialah adik saya sendiri yang pakar dalam bidang sejarah dan geografi. Jadi saya mengambil jalan pintas untuk tidak perlu tahu banyak tentang sejarah, dengan merujuk kepada dia untuk tahu tentang sesuatu perkara, keadaan, situasi, sosio-politik, peristiwa-peristiwa besar dan sebagainya. Beza usia kami adalah 10 tahun, saya menghargai dia sama seperti guru-guru yang mencerahkan ketika mana saya tidak tahu. 

Regu baca yang kedua ialah abang saya juga pakar sejarah dan geografi, dan tambah kepada satu aspek penting iaitu teologi dan agama. Juga membuatkan saya mempunyai ensiklopedia sejarah, geografi dan teologi yang dapat bercakap dan memberi respon jika saya bertanya. Beza umur saya dengan dia juga sejarak 10 tahun dan penghormatan tidak luntur sebagai saudara sekandung, guru dan pencerah.

Saya bersyukur kerana ada mereka berdua kerana kekurangan diri sendiri kerana kebolehan saya untuk memahami sejarah adalah sangat minimal, begitu juga keupayaan untuk memahami bentuk muka bumi dan lokasi.

Ok baik, bagaimana kami berinteraksi?

Ya tidak perlu kita bayangkan bahawa ulat buku semuanya berkaca mata, akan duduk berteleku di atas kerusi berjam-jam sambil menyelak lembaran kertas, dan berbual perkara yang serius.

Ulat buku sekarang sudah berevolusi dengan pakaian t-shirt kadang-kadang v-neck, duduk di Star Bucks atau Secret Recipe kemudian berbincang apa yang mereka mahu dari intipati buku yang mereka baca. Atau ulat buku mungkin juga dari mereka yang dari industri oil & gas, yang seperti tidak serius dalam semua perkara, tetapi bila bercakap mengutip kata-kata mutiara dari Carlyle, Chomsky, Confucious, Ali Shariati, Ibn Tamiyyah, Ibn Arabi, Che Guevera, Malik Ben Nabi, Said Nursi Badiuzzaman dan sebagainya.

"Beruntunglah dapat adik beradik macam tu."

Well, sebenarnya pada permulaan pun saya tidak tahu mereka berkecenderungan membaca secara serius. Tidak pernah ada satu appearance yang menunjukkan mereka adalah pembaca buku tegar. Kerana pada masa yang sama mereka juga adalah penonton movie tegar, pelepak dengan kawan-kawan yang tegar, penonton bola EPL, Champions League, La Liga yang tegar, pengukur shopping complex yang tegar, pemain games tegar, menonton TV dan segalanya.

Sehinggalah satu masa kami berkumpul bersama dan cuba berbual serius yang menyeronokkan, kemudian baharu saya tahu di kalangan adik-beradik saya sendiri mutiara ilmu yang belum dieksplorasi.

Kemudian akhirnya saya mendapat rahsia bagaimana adik saya mempunyai keupayaan sejarah dan geografi jauh lebih hebat dari apa yang saya mampu kuasai. Antara adik dan abang yang berjarak umur 20 tahun, mereka lebih dahulu menjadi rakan gading baca (regu baca). Bertahun-tahun lebih awal dari saya. Errmm, no wonder my brother has that capabilities, almost similar like my brother (bila mereka sembang eh?)

Well, itu di kalangan ahli keluarga sendiri. Kawan-kawan lain pula. Kami akan pergi ke restoren kedai makan, pizza hut, secret recipe, mapley selalunya. Pesan makan yang boleh alas perut dan sembang sampai bergaduh-gaduh mengenai satu-satu isu dan gagasan. Masing-masing akan bawa perisai masing-masing, buku itu buku ini, intelektual itu intelektual ini, dan kupasan mesti dibuat sehingga apa yang terhidang atas meja selesai habis dimakan.

Dan kami pergi berperang idea dengan pakaian santai yang kadang-kadang sambil berseluar jeans koyak (stylo letew).

Akhirnya saya tahu membaca lebih dari horizon pasif yang hanya berinteraksi dengan teks, tetapi berinteraksi aktif dengan manusia lain, sehingga menjelmakan idea-idea manusiawi yang boleh dilakukan dengan tindakan, dengan tulang empat kerat, dengan peluh, tanpa modal.

Seperti badminton, baca juga perlu pergerakkan maksimum. Hanya dengan itu keseronokkan akan muncul berdatangan. Bagaimana? Jangan terima bulat-bulat apa yang dibaca. Berani untuk dekonstruk dan rekonstruk. Berani mengemukakan idea baru dari apa yang telah kita baca. Berani untuk eksplorasi lebih jauh dengan idea yang dibaca dari buku. Cabar idea itu adakah sesuai dengan apa yang ada di dalam masyarakat sendiri, negara sendiri dan sebagainya. Lebih berani, bereksperimen dengan idea yang dijelmakan dalam buku.

Saya bukan bercakap ini atas pengalaman diri semata, pelajar yang jarak umur lebih dari 10 tahun pernah berkongsi di dalam kelas. Kata beliau, "belajar dengan guru memang kita boleh mempelajari sesuatu, tetapi belajar dari buku ilmu itu tanpa batas dan sempadan. Kita boleh tahu apa sahaja, dengan syarat kita mahu membaca." Pelajar itu rupanya suka baca buku Dr. Suess dan penguasaan Bahasa Inggerisnya, masyaAllah, memang boleh dipuji. Dia tidak mempunyai kriteria ulat buku yang tipikal pun. Berkarektor dan versatile. Dan mungkin juga Harith, yang hadir dalam ruangan komen dalam entri sebelum ini punya karaktor yang sama?

"Seronok sangatkah membaca dan bagaimana untuk memulai kumpulan membaca ini?"

Keseronokkan itu kena cari sendiri. Pengalaman rasa seronok membaca untuk diri saya sampai lewat. Keupayaan saya untuk visual dalam kepada sangat lemah. Kerana itu dulu saya memang kurang membaca. Sekarang keupayaan itu sudah berjaya ditingkatkan, kerana itu setiap kali membaca saya rasakan kepala saya riuh rendah dengan karaktor manusia, cantik dan berkesan dengan latar cerita, tersentuh sehingga mengalir air mata dan tersayat di ulu hati. Jika buku perjuangan yang dibaca, terasa semangat mereka meresap masuk membakar dan mencabar. Menjadikan kita sendiri bertanya, bila akan mampu kita berbuat sesuatu yang bermakna seperti itu?

Kumpulan membaca itu tidak semestinya kita declare, "oii kawan-kawan, jom buat circle membaca." Mati hidup balik mungkin tiada orang yang mahu. Saya saksikan satu peristiwa kecil yang simple yang terjadi sewaktu cuti Krismas baru-baru ini. Saya membawa sepupu untuk makan-makan di rumah kawan yang juga hantu buku. Sepupu saya dan kawan ini adalah kawan yang baru bertemu. Mungkin komunikasi mereka akan jadi terhad sebab belum begitu banyak kali bertemu mata.

Sebelum balik, sepupu saya meminta untuk melihat beberapa buah judul buku, dan melihat buku-buku yang ada dirak. Sebelum balik juga, sepupu saya ada 2-3 buah judul ditangan untuk dibaca. Habis saya menulis entri ini, sepupu saya sekurang-kurangnya sudah menghabiskan 2 buah judul buku dan tunggu untuk dipulangkan semula.

Senangkan? Hanya dengan bertukar-tukar buku.

Saya juga ada rakan yang senang hati memberi buku yang sudah cantik berbalut, untuk saya baca walau bertahun-tahun belum tentu habis.

Carilah pengalaman sendiri melalui buku. Saring maklumat dan ambil apa yang boleh dimanfaat. Kawan-kawan saya sudah menjadi pelari hanya kerana membaca buku Murakami. Kawan-kawan saya sudah jatuh cinta dengan aktiviti backpakers hanya kerana mereka membaca Into the Wild.

Saya? Saya sudah jadi apa? Belum ada apa-apa lagi yang boleh dibangga, tetapi untuk penutup 2012 ini saya berani berkata saya sudah menjadi pembaca!

Percayalah, setiap kali buka buku, mulalah dengan bismillah. Kita sedang mengulangi sejarah dalam gua Hira', ketika Jibrail menyampaikan ayat Tuhan kepada Rasulullah, dan ayat itu sebenar-benarnya untuk kita. Terimalah perutusan Tuhan ini dengan rasa rendah diri dan penuh berserah, dan bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menjadikan.

Belilah bacaan-bacaan baik walaupun murah, dan hadiahkanlah kepada kenalan, adik-adik, anak-anak saudara, anak-anak kecil miskin dan yatim. Jika mereka membaca dan mendapat manfaatnya, insyaAllah kebaikkan itu akan dapat juga terpalit kepada kita semula.


Comments

ASaL said…
ya, regu yang sibuk betul.
hara said…
yep, seronok. to debate over things we read.. and maybe some parts boleh dikupas bersama

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK