Tentang Pelajaran Masa Depan - 2

Bila dapat peluang belajar karangan darjah 5 saya tambah tercengang. Karangan mereka merupakan satu bentuk problem solving. Tajuk untuk disiapkan pada hari itu ialah Maid Abuse. Ini karangan darjah 5. Saya jadi jauh terfikir, di usia 11 tahun, bagaimana mereka boleh menggumpulkan poin-poin penting sekiranya mereka tidak banyak membaca? Dan bagaimana guru boleh membantu mereka tanpa perlu menyuap dengan banyak sehingga mereka tidak mampu menjana idea sendiri? Kemudian, sekiranya kita boleh bantu pelajar dibanyak tempat sekalipun, adakah pelajar ini mampu menulis karangan yang baik kerana penulisan adalah aktiviti intelektual tingkat tinggi. Yang mempunyai kemahiran berbahasa dan pemikiran yang kreatif dan kritis sahaja mampu menghasilkan tulisan yang benar-benar baik.
Kami tidak sempat menilai hasil pembelajaran pada hari tersebut. Tetapi sempat juga Sha upload contoh karangan yang berjaya disiapkan oleh salah seorang anak murid, dan ya tentu, saya tercengang entah untuk kali keberapa.
Saya sempat kongsi pengalaman ini bersama rakan di Shah Alam. Kesimpulan saya mudah, anak-anak Singapura ini jika diletakkan di Malaysia, kita akan merasakan mereka ini genius. Hakikatnya, di Singapura, itu adalah pencapaian purata kebanyakkan pelajar. Sistem yang mereka lalui yang menyebabkan mereka punya kemahiran logic, menyelesaikan masalah, berkreativiti dan berekspresi. Satu aspek lain yang saya tidak lihat di Malaysia, anak-anak sekolah yang berani menyatakan pendapat dan berkongsi jawapan walaupun tidak semua jawapan mereka tepat.
Saya tidak sepatutnya terlalu memuji, tetapi itulah realiti. Tidak menghairankan universiti Singapura berada di ranking 10 terbaik dunia. Sebab mereka yang kecil sudah didedahkan dengan kemahiran tahap tinggi, sedang kita di Malaysia baru mahu memperkenalkannya di peringkat universiti.

Usia belajar di universiti sangat singkat, dalam 3-4 tahun. Sedang adik-adik di Singapura didedahkan dengan kemahiran tingkat tinggi, dari darjah 1 sehingga tingkatan 5. 11 tahun mereka dilatih untuk mempunyai kemahiran tinggi. 11 tahun didedahkan dengan proses pembelajaran yang konsisten menyebabkan diakhir pembelajaran, anak-anak muda Singapura akan mempunyai tabiat yang tertanam dalam jiwa mereka. Apa yang saya jangkakan, di masa hadapan, mereka adalah manusia yang terbina keupayaan untuk survival dalam kehidupan, tidak kira di mana pun. Memandangkan keupayaan untuk survival di Singapura sangat tinggi, mereka boleh praktis kemahiran ini juga di mana-mana meski belum tamat sekolah.
Tapi meletakkan Singapura sebagai penanda aras akan menyebabkan kita rasa lebih tercungap untuk menyaingi. Menyebabkan pendidikan masa depan yang saya harapkan akan terbantut juga dari segi pelaksanaannya.
Apa yang saya mahukan dalam pendidikan masa depan?
Iaitu kemahuan setiap dari individu untuk belajar, dan setiap individu mempunyai pemikiran bahawa jika mahukan sesuatu kita perlu berusaha dengan cara yang baik dan jujur. Pendidikan masa depan itu adalah pencarian ilmu untuk mencari kebenaran dan kebahagian, bukan lagi mengejar material, status dan pengaruh.
Adakah perkara ini boleh berlaku?
Tidak mustahil. Yang paling penting ialah kita menyiapkan adik-adik dibangku sekolah dengan kemahiran membaca, mengira dan menulis. Asas ini perlu cukup kuat dan mantap, supaya kemahiran inilah yang menjadi alat untuk mereka belajar sendiri nanti melalui pembacaan, kembara, wacana, dan berkomunikasi. Akhirnya akan merangsang daya fikir dan imaginasi mereka.  
Dunia sekarang untuk mendapat ilmu bukan terhad dalam pagar universiti. Sudah ada universiti terbuka dengan sijil terbuka yang boleh kita ikuti kelas dan pengajian secara online. Yang panting kemahiran asas itu perlu kukuh, baru kita boleh melangkah lebih jauh. 

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK