Tawar Menawar Dalam Berdoa - 2

Saya akan ceritakan kisah saya, ilmu yang diperlengkapkan selepas lebih 20 tahun. Ketika saya benar-benar boleh mengerti dan faham, kemudian saya kongsikan.
 
Selepas balik melawat rakan, saya berfikir panjang. Ucapan doa seperti itu, pernah tidak saya ucakan. Saya mohon sesuatu untuk diri sendiri dengan bersandar kepada sesuatu.

Ada satu ketakutan yang sangat besar ketika saya di usia remaja. Ayah sudah pun mencapai umur pencen. Ketika itu saya sangat takut kehilangan Ayah. Lagi pula sebagai remaja kita sangat stress bila terpaksa menghadapi ujian besar selang tahun.
 
UPR, PMR, SPM dan sebagainya. Saya pula belajar di asrama menjadikan sepanjang usia pembelajaran saya sangat jauh dari Mak Ayah. Tidak dinafikan saya menyayangi Ayah setulusnya, walau Ayah bukan jenis bercakap, tetapi perhatian Ayah terhadap pelajaran anak-anak tidak pernah kurang.
 
Menyedari realiti ini, saya mula berdoa. Saya berdoa, seingat saya ketika saya ingat untuk berdoa, supaya Allah memanjangkan usia Ayah sehingga saya selesai menghadapi peperiksaan paling besar, iaitu SPM.
 
Pada ketika itu saya merasakan tidak sanggup untuk menghadapi peperiksaan besar tanpa Ayah, tanpa doa dari Ayah. Allah memakbulkan doa saya. Ayah masih kuat ketika saya selesai peperiksaan. Dan itu menyebabkan saya menjadi leka dengan kurnia Allah.
 
Melihat Ayah yang jarang sekali sakit, atau sakit pening Ayah selalu simpan sendiri. Saya juga menjadi semakin alpa dalam berdoa. Saya berdoa pasti, tapi sudah tentu khusyuk dan kekuatan berdoa itu sendiri boleh dipersoalkan.
 
Saya tidak sangka, setiap doa kita itu makbul. Tapi boleh jadi makbulnya mengikut masa yang ditentukan Allah. Atau bahasa klasiknya, doa yang tertangguh.
 
Akhirnya kelekaan berdoa itu ada harganya. Ayahanda yang dicintai pergi juga ketika saya sedang terseksa menyelesaikan thesis sarjana. Ujian peperiksaan yang lebih besar dari segala ujian peperiksaan yang pernah saya hadapi.
 
Kesedaran ini hanya saya sedari minggu lepas. Bila melibatkan diri dengan proses muhasabah dan berfikir yang panjang. Pelajaran yang mengambil masa berpuluh tahun.
 
Ilham yang saya terima sewaktu membantu rakan memasak di dapur. Saya kira saya diuji dengan maksima dengan doa yang diucapkan dan bagaimana makbul dan realiti yang Allah sendiri hadapkan di sepanjang usia dewasa saya.
 
Saya ingat ia terhenti di situ. Saya katakan pada kawan, "dalam kita dok berdoa dalam ketakutan kita yang paling kita takuti, kita tidak pernah menyangka Allah boleh sahaja menakdirkan dalam waktu kita paling sengsara." Dalam kes saya, menghabiskan thesis adalah tahap kesengsaraan yang sangat tinggi (waktu itu).
 
Kawan menasihat, "mungkin ia ada kena mengena dengan doa."
 
Ia tidak berakhir di situ. Selang beberapa lama lepas membincangkan itu, Allah memberikan ilham lain. Saya kembali mengigati hari kembali Ayah ke rahmatullah. Dan mengenangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku seputar keluarga saya, adik-adik beradik. Melalui apa yang saya lihat dengan mata, dan apa yang mereka ceritakan kepada saya selepas peristiwa besar itu.
 
Hanya minggu lepas, Allah membuat saya ingat, bahawa hari pemergian Ayah berlaku pada tahun yang sama Adik saya akan mengambil peperiksaan SPMnya. Seingat saya, hanya selang beberapa bulan sebelum Adik perlu menghadapi peperiksaan besar itu.
 
Saya menjerit "Allah" dalam hati. Saya tidak pernah menyangka doa yang saya lantunkan ketika muda remaja dahulu sangat bersifat mementingkan diri sendiri. Saya terlepas dari ketakutan sendiri bila Allah masih tetap memanjangkan usia Ayah, tanpa saya pernah terfikir sedikit pun, Adik pula yang perlu menghadapinya. Ketakutan saya, tetapi Adik yang menghadapinya.
 
Sehingga sekarang saya masih memikirkan. Pelajaran doa lain yang saya mampu faham selepas beberapa tahun. Hakikatnya makan puluh tahun.
 
Hari ini saya perlu sedar bahawa setiap doa itu makbul. Bahawa doa itu tidak boleh bersifat mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain yang akan terlibat secara langsung dan tidak langsung. Untuk itu, hari ini saya berazam untuk belajar mengucapkan doa yang paling baik, yang terpandu dengan nilai kehambaan dan khidmat kepada kemanusiaan.
 
Pelajaran yang saya perolehi mahal, sekurang-kurangnya itu yang saya rasakan untuk diri sendiri.
 
Saya terfikir doa-doa tawar-menawar yang pernah kita lakukan. Mungkin belum terlambat untuk kita menuturkan doa yang baik, yang tidak mementingkan diri sendiri, dan menjadi keselamatan untuk semua orang. Mungkin belum terlewat untuk semua itu.
 
Semoga Allah mengampuni saya, mengampuni kita semua. Allah tetap akan mengambil kembali apa yang menjadi punyaNya, sehingga tiba waktu. Termasuk nyawa kita yang dipinjamkan dengan kadar waktu. Semoga kita pulang dalam keadaan baik dan diampunkan.
 
 
 
 

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

tanya sama POKOK