Wanita dan Perjuangan dari Perspektif Fatimah oleh Ali Shariati - 1


Ada kawan minta sambung cerita Aki, Aku dan Ako. Untuk kali ini saya kena beri laluan untuk perkongsian yang berlaku Sabtu lalu. Warning, artikel ini akan ditulis agak panjang, dan melibatkan isu perempuan (bagi mereka yang masih belum percaya, ya, saya adalah seorang perempuan.)

Saya diberi kesempatan sekali lagi untuk mengupas buku di dalam program Arts for Grab di booth TFTN. Tajuk itu yang diberi kepada saya. Walau sudah beberapa kali baca, saya masih lagi belum tahu dari sudut mana mahu dibaca dan dikupaskan.

Buku Fatimah dari Ali Shariati nipis, tetapi padat. Menyebabkan saya begitu gementar mahu mempersembahkan apa. Tidak seperti buku yang membicarakan tokoh yang lain, buku ini membicarakan dari sudut sosiolog dan humanis seorang Fatimah, dan bagaimana kedudukan Saidatina signifikan dalam perjuangan Rasulullah, malah dalam perjuangan Islam itu sendiri.

Ini adalah karya yang bahaya saya kira, kerana berkemungkinan saya akan masuk di daerah feminis, satu daerah yang asing yang saya tak pernah kaji. Dengan bismillah dan selawat, saya menerima tugasan ini dengan amanah.

(tulisan ini akan ada sedikit sebanyak penambahan dari versi kuliah)

Fatimah untuk Peranan Merevolusi Masyarakat

1.      Saya bermula dengan memberi gambaran kepada hadirin yang hadir Sabtu lalu, saya kira ada dalam 30 orang dipentas kecil di AFG, bahawa Fatimah adalah nama besar dalam Islam. Tetapi Saidatina sendiri tidak dikenali. Begitu ironi tetapi itulah yang berlegar dalam persepsi minda saya selama ini. Saya mengenali Fatimah sebagai penghulu wanita syurga, yang saya terima tanpa ragu dan soal. Tetapi buku Ali Shariati ini menggesa saya menyoal, bagaimana Fatimah boleh menerima kedudukan tertinggi itu. Adakah kerana Saidatina anak kepada Nabi Muhammad, maka selayaknya Saidatina menerima kedudukan itu? Apakah peranan dan sumbangan Saidatina sehinggakan Saidatina yang meninggal dunia muda dapat mendapat kedudukan tertinggi? Bagaimana usia muda boleh meninggalkan jasa yang begitu banyak? Soalan-soalan itu benar berlegar dalam kepala saya sehingga saya selesai membaca buku ini.

2.      Saya hanya mengenali Fatimah melalui sumbangan-sumbangan yang bersifat domestic. Tentang ketaatan terhadap suami, perlayanan kepada anak-anak, kesanggupan Fatimah untuk hidup susah dan sebagainya, tetapi saya gagal menjumpai peranan yang lain sehinggalah saya membaca karya Ali Shariati.

3.      Fatimah adalah takdir Allah (jika saya boleh rumuskan dalam ayat sendiri) untuk memberi contoh tauladan kepada suatu bentuk keadaan yang kita kira susah untuk diubah. Contohnya, stigma masyarakat, tradisi, budaya yang berakar umbi, warisan nenek moyang, malah sistem yang sedia ada.

Baik, macam akan jadi begitu serius pula perbincangan ini. Warning sekali lagi, mungkin akan serius (hahaha).

Apa yang ada sebelum Fatimah?

Ini saya yakin satu soalan yang penting, sebelum dapat meletakkan Fatimah untuk menjadi watak yang merevolusi masyarakat. Persoalannya akan banyak berkisar mengenai perempuan dan dimanakah seharusnya kita meletak mereka. Malah bagaimana kita memandang mereka.

Masyarakat pra Islam adalah masyarakat Arab Jahiliyyah. Kita selalu salah beri maksud kepada jahiliyyah. Selalu kita tafsirkan sebagai bodoh. Sebenarnya kita sudah jauh tersasar.

Dalam konteks semantik, perkataan Jahiliyyah adalah satu konsep yang sangat besar dan luas. Dan hakikatnya sebelum kedatangan Islam, perangai-perangai Jahiliyyah itu adalah bersifat positif. Dengan maksud, ia adalah perangai yang perlu ada bagi setiap lelaki Arab, jika mahu diangkat menjadi lelaki sebenar. The real man.

Apakah ciri-ciri Jahiliyyah itu?

·         Berhidung tinggi (super ego)

·         Menolak cercaan kepada pribadi dan kehormatan

·         Melindungi amanah

Secara ringkasnya sifat jahiliyah adalah kebanggaan seorang lelaki yang akan menolak atau menerima sesuatu yang akan menjatuhkan maruah peribadi, menunjukkan penentangan secara kasar dan garang untuk setiap sesuatu yang akan memalukan dirinya walau dalam keadaan sekecil mana pun.

Kerana sifat-sifat ini diwarisi oleh setiap anggota kabilah atau orang Arab itu sendiri (secara eksplisit), maka sistem yang ada di zaman pre-Islam adalah sistem patriaki. Patriaki atau lelaki sebagai pusat dan segala tindakan, malah perundangan, kelebihan dan segala percaturan.

Di dunia patriaki, perempuan tiada nilai. Bahkan dilihat sebagai benda atau alat, mungkin juga semi-human. Kerana itu di zaman pre-Islam, perempuan itu adalah kasta yang sangat bawah dan hina. Boleh dijual beli, diwarisi, dipergunakan, diperdagangkan malah di suatu ekstrim yang kita tahu, boleh ditanam hidup-hidup meskipun ketika masih bayi.

Baik, ada beberapa lagi persoalan untuk menggambarkan situasi budaya masyarakat Arab sebelum Islam. Tentang perempuan dan penerimaan mereka dalam keluarga.

Diceritakan dalam buku Ali Shariati, sekiranya ada seorang bayi perempuan lahir dalam keluarga, seorang bapa akan memikirkan 3 menantu untuk anak ini. Tetapi selalu juga kita digambarkan bahawa ketika lahir bayi perempuan dalam keluarga, wajah bapa akan jadi hitam kerana malu. Begitu dahsyat sekali hina kedudukan perempuan pada waktu itu.

Mari kita teliti pula 3 menantu ini. Apakah dia?

·         Yang pertama adalah rumah mana yang akan menyorokkan bayi ini.

·         Kedua, lelaki mana yang akan mengambilnya sebagai isteri

·         Ketiga, kuburan mana yang akan menanam bayi ini

Secara tradisi sejarah yang kita baca selalu bapa akan memilih menantu yang ketiga kerana ianya begitu senang dilaksanakan dan penyelesai masalah paling cepat.

Itulah wanita, kedudukannya sebelum kedatangan Islam.

Saya mengajak audien untuk berfikir sejenak, apa nasib yang dirasa perempuan. Layanan sebegitu, maksudnya, perempuan dilihat sebagai kaum tanpa kelas masih lagi bersisa sehingga sekarang. Malah masih terasa di kalangan generasi X, Y, Z dan saya kira, di masa-masa akan datang.

Bukan susah untuk faham perkara ini, kerana merendahkan wanita ada dalam tradisi Bible dalam cerita Adam dan Eve, juga berlaku di kalangan bangsa India (ancient India), juga ada dalam mythology Greek melalui cerita Pandora, dan sebagainya.

Cerita tradisi ini dari jalur agama dan mitos telah melayakkan wanita disalahkan, kerana dosa-dosa yang dilakukan olen lelaki adalah disebabkan oleh wanita.
 
(bersambung...)

Comments

La Kuchi said…
salam. kak, kat mana ye saya boleh dapatkan buku itu?
ASaL said…
Salam. Boleh cari di Gerak Budaya. Kawan akak yang jual buku ni kehabisan stok.

Popular posts from this blog

Mimpi

Yang dimain-mainkan: Ubat Gigi

Pernah dengar Pulut Himpit?