Wanita dan Perjuangan dari Perspektif Fatimah oleh Ali Shariati - 2
Itu sebenarnya persepsi
dunia yang kita warisi.
Sebab itu tidak hairan jika
ada kes rogol, masyarakat akan beri justifikasi, siapa suruh perempuan tu pakai
seksi. Hakikat di tanah Arab yang perempuan berkelubung dalam kelambu pun
mencatat rekod kes rogol yang tinggi. Salah siapa lagi? Tetap masyarakat akan
salahkan perempuan, kata mereka, siapa suruh wanita keluar rumah.
Baik, kita berhenti dulu
bicara soal sentimen.
Soalan seterusnya, ke mana
revolusi yang dibawa oleh seorang Fatimah?
Di sinilah peranan besar
Fatimah, iaitu untuk merungkai segala tradisi yang berakar umbi dalam
masyarakat Arab tentang wanita.
Baik (berapa banyak baik
daaa), saya perlu bercerita tentang Fatimah. Dia sebagai anak bongsu dan
perempuan Nabi dan Siti Khadijah.
Ada satu lagi sudut historis
yang dikupas oleh Ali Shariati yang saya kira menarik. Iaitu dari aspek politik
tanah Arab. Sebelum Islam lagi, keluarga Nabi dipandang penuh minat oleh bangsa
Quraisy. Ini adalah kerana hak custody (menjaga) Kaabah dan urusan Haji dijaga
oleh Bani Hasyim. Ada puak yang sedang menunggu untuk mendapat hak penjagaan
seterusnya, sekiranya Bani Hasyim tidak ada waris lelaki.
Di pihak bani Hasyim, dari
keturunan Abdul Mutalib, ada anak-anak beliau iaitu:
·
Hamzah – seorang yang bertubuh atletik dan material perang
·
Abu Jahal – yang kurang dipercayai masyarakat
·
Abbas – kurang berkarakter
·
Muhammad – seorang Al Amin
Dalam senarai warisan Bani
Hasyim, seluruh harapan bergantung kepada pasangan muda Nabi Muhammad dan Siti
Khadijah. Setiap kali Siti Khadijah mengandung, akan ditunggu oleh penuh minat.
Berikut adalah kelahiran yang lahir dari pasangan ini: Zaynab, Ummi Kalthum,
Ruqayyah, Abdullah dan Qasim.
Tetapi dua anak lelaki Nabi
ini meninggal ketika bayi. Siti Khadijah juga sudah meningkat umur. Kemudian
mengandung lagi, dan lahirlah Fatimah.
Ketika lahir Fatimah,
puak-puak Arab mula mengejek Nabi sebagai abtar (ditulis dalam surah Al
Kautsar). Bermaksud buntung pewaris (terpotong pewaris). Kerana yang lahir
itu seorang perempuan, seorang Fatimah.
Kenapa begitu?
Dalam mana-mana masyarakat
sekalipun, keturunan garis warisan itu tidak bersambung dari anak perempuan.
Semuanya dari waris anak lelaki. Malah tradisi Nabi-Nabi terdahulu juga begitu.
Yang mewariskan keturunan mereka adalah dari anak mereka yang lelaki, bukan
perempuan.
Fatimah lahir memikul amanah
untuk menukar tradisi yang berakar umbi sekian lama. Legasi Nabi, diwariskan
melalui anak Nabi yang perempuan bernama Fatimah. Fatimah berkahwin dengan Ali
bin Abdul Talib, dari mereka lahir anak-anak yang menyambung keturunan Nabi.
Saya lontarkan juga soalan
kepada audien, bahawa waris Nabi bertebaran di seluruh pelusuk bumi dan dunia.
Mereka yang mengejek Nabi sebagai abtar, mereka-mereka itulah yang terpotong
waris kerana walaupun mereka banyak anak lelaki di zaman Nabi, tetapi keturunan
mereka tidak ramai di zaman sekarang ini. Jadi, siapakah yang abtar sebenarnya?
Itu satu contoh peranan yang
dibawa oleh Fatimah, sebagai penyambung warisan keturunan Nabi, sebagai penukar
tradisi yang warisan itu hanya layak melalui anak lelaki.
Kenapa perlu berlaku
peristiwa ini?
Kerana dalam banyak perkara,
Nabi membawa ajaran dan kehendak agama, bukan dalam bentuk wahyu semata, malah
contoh fizikal. Contoh fizikal ini lebih kuat suara dan saranannya, kerana ia
adalah sunnah yang ditunjukkan dari peribadi makhluk yang sangat mulia semesta
alam, iaitu Nabi Muhammad (selawat dan salam atas junjungan.)
Dalam kuliah 1 jam itu juga
saya terangkan dengan tradisi yang lebih indah yang ditunjukkan Nabi. Ditulis
dalam hadis cara Nabi melayan Fatimah:
· Rumah Fatimah adalah bersebelahan dengan rumah Nabi. Setiap
pagi Nabi akan pergi ke rumah Fatimah dan mengucapkan salam kepada Fatimah.
· Sekiranya Nabi berpergian ke luar, perang atau urusan lain,
Fatimah adalah orang terakhir yang Nabi jumpa, dan bila pulang Fatimah adalah
orang pertama yang Nabi cari.
· Nabi juga dilihat selalu mencium wajah Fatimah dan mencium
tangan Fatimah.
Satu soalan, kenapa Nabi
buat semua ini? Adakah kerana Fatimah anak kesayangan?
Saya melihatnya adalah
sunnah yang mahu diwariskan Nabi. Tentang perempuan, tentang anak perempuan,
tentang kasih sayang dan penghormatan itu perlu diberi seikhlas jiwa dari
seorang lelaki kepada seorang anak perempuan. Seterusnya perempuan itu sendiri
perlu dilihat sepenuh hormat, harta yang perlu dilindungi, sebagai seorang
manusia yang punya ruh dan karakter, seorang hamba Tuhan yang tetap mampu
berperanan dalam tugas agama dan melestari ajaran agama. Itulah Saidatina
Fatimah, signifikan kedudukan Saidatina di dalam masyarakat sewaktu kedatangan
Islam.
Masih ingat lagi tradisi
orang Arab yang menanam anak perempuan mereka? Masih ingat lagi wajah bapa yang
hitam kerana isterinya melahirkan anak perempuan? Ingat lagi segala penghinaan
terhadap wanita, dan Nabi menunjukkan bagaimana semua persepsi jahiliyyah ini
boleh diubah melalui Fatimah.
Seorang bapa mencium wajah
anak perempuan adalah revolusi. Seorang bapa menundukkan kepalanya untuk
mencium tangan anak perempuan adalah tindakan revolusi. Dan untuk saya seorang
perempuan, ia adalah gerak tindakan yang mempamerkan kehormatan dan kasih sayang
sekaligus. Perempuan tempat selayaknya untuk dia adalah untuk disayangi dan
dilindungi.
Ada banyak lagi tentang
Fatimah, yang ditulis ini hanyalah sedikit percikan dari sekian banyak isi dari
makalah nipis Ali Shariati.
Audien bertanya, karya ini
kesimpulannya untuk apa?
Saya ceritakan sedikit lagi,
kesimpulan yang saya tidak boleh bawakan dengan hanya beberapa perenggan. Saya
perlu ceritakan secara panjang lebar.
Buku ini bermula dengan
pertanyaan, siapa aku? Pertanyaan yang perlu ditanya oleh semua wanita.
Wanita-wanita sezaman dengan
bonda saya tidak mempunyai konflik identiti dan penerimaan tradisi. Bonda saya
menerima dirinya dengan peranan domestic di dalam rumah yang menjaga dengan
baik semua keperluan rumahtangga.
Saya pula bagaimana? Saya
dibesarkan di rumah tradisi, saya mewariskan peranan perempuan yang ditunjuk
contoh oleh bonda saya, tetapi kemudian saya dihantar belajar dan merantau. Di
tempat belajar saya menerima tradisi-tradisi moden baru seperti keilmuan,
keperluan untuk berkomunikasi dengan berlainan gender tetapi tidak punya talian
kekeluargaan, saya digesa untuk mentadbir urus beberapa perkara dan banyak
lagi. Saya juga masih lagi perlu menyelesaikan tugasan domestic di rumah
sebagai seorang perempuan.
Buku ini menggesa semua
orang, tidak tertakluk gender untuk bertanya siapa aku?
Saya juga bertanya.
Soalnya, dalam masyarakat
yang berbilang ini, adakah masyarakat mahu menerima definisi siapa aku yang
saya sendiri tentukan? Yang takzim mewarisi tradisi dan juga kehadapan menerima realiti yang berlangsung ketika ini.
Bolehkah masyarakat menerima seorang aku yang mereka sendiri definisikan?
Bolehkah masyarakat menerima seorang aku yang mereka sendiri definisikan?
Comments